BAB 3

Romance Completed 6489

13 Jun 1994.

Aku melabuhkan punggung di bangku sekolah membawa bersama rasa sunyi yang mengisi setiap inci ruang hati. Masuk hari ini, sudah hampir lima bulan Zhafran telah berpindah sekolah ke MRSM Taiping. Sejak itu, aku lebih gemar menyepikan diri di kawasan belakang sekolah pada waktu rehat. Langsung aku sudah tidak berminat mengisi perut di kantin. Selera aku seakan-akan mati. Hari-hari yang aku lalui di sekolah sudah tiada lagi keceriaan. Sudah tiada lagi rasa seronok dan bahagia. Rindunya aku pada Zhafran. Aku rindu dengan usikannya. Aku rindu dengan kata-kata nasihatnya. Aku rindu..

“Woit, Hippo. Jiwang sorang-sorang dekat sini nampak” teguran suara halus berbunyi nyaring itu benar-benar memeranjatkan aku. Sekali dengar dah serupa macam suara pontianak. Seram!

“Kakak nak apa?” tanya aku acuh tidak acuh pada Sofia, pelajar perempuan tingkatan empat yang perasan diva di sekolah. Tetapi, memang dia popular pun. Siapa yang tak kenal dan budak lelaki mana yang tidak tertawan dengan gadis yang memiliki wajah pan-Asian dan susuk tubuh tinggi lampai persis model ini. Namun sayang sekali. Keperibadiannya tidak secantik wajahnya. Aku tidak tahu kenapa Sofia dan kawan-kawannya suka benar mengejek aku dengan panggilan Hippo. Aku tahulah aku ini gemuk, tapi aku juga ada perasaan. Dulu, sewaktu sekolah rendah, Aryan Daniel tidak pernah henti membuli aku. Dan, setiap kali itulah pasti Zhafran akan datang membela aku. Tetapi kini aku hanya keseorangan menahan setiap cemuhan dan hinaan. Abang Zhafran, sampai hati abang tinggalkan Atie seorang diri dekat sini. Dalam diam hati aku merintih hiba.

“Zack, kau tengok muka budak Hippo ni. Sememeh nya. Sudahlah diri itu tak cantik, buat muka macam tu makin bertambah hodoh” ejek Sofia langsung tidak menghiraukan pertanyaan aku. Kata-katanya itu mengundang gelak berdekah-dekah dari geng kumpulannya.

Tanpa berlengah, aku terus bangkit dan bergerak untuk meninggalkan Sofia dan kawan-kawannya. Tidak guna aku terus berada di situ jika hanya untuk menyakiti hati aku sendiri. Sementelah, aku ini bukanlah berani sangat pun. Rasa rendah diri dengan kekurangan diri membuatkan aku sering mengalah sebelum berjuang. Sebelum diri aku ini dibuli dengan lebih melampau, baik aku beredar dari situ.

Kedebuk! Tubuh aku tersembam jatuh menyembah bumi. Aku tahu Zack dengan sengaja telah menahan kakinya semasa aku melintas di depannya membuatkan kaki aku tersadung kakinya. Habis comot tudung dan uniform putih sekolah yang aku pakai akibat simbahan tanah berpasir.

“Kesian si Hippo ni. Agaknya kaki kecil dia dah tak mampu nak tampung berat badan dia yang besar tu. Sebab itulah jatuh macam nangka busuk. Hahahaha..” herdik Zack dengan suara yang lantang sambil meledakkan tawa. Kata-katanya itu disambut dengan gelak kuat Sofia dan kawan-kawannya yang lain. Saat itu, air mata aku sudah laju membasahi pipi. Aku tidak tahu apa dosa aku pada mereka sehingga sering menjadi mangsa usikan mereka. Aku hanyalah budak tingkatan satu dan mereka semua sebaya dengan Zhafran. Mereka sebagai senior sepatutnya berperangai lebih matang. Macam abang Zhafran. Dia tidak pernah mempersendakan figura aku ini.

“Hoi, apa korang dah buat ini?” jerkah satu suara serta-merta membuatkan aku berpaling ke arah datangnya suara itu. Aku cukup kenal dengan suara itu. Abang Zhafran!

“Atie okay? Jangan risau. Abang ada” soal Zhafran sebaik menghampiri tubuh aku yang masih terjelepok di atas tanah. Aku memandangnya tidak berkelip. Susah aku hendak percaya Zhafran kini berada di depan aku. Adakah ini suatu ilusi atau halusinasi?

“Korang semua memang tak berhati perut” bentak Zhafran ke arah Sofia, Zack dan beberapa orang pengikut mereka. Sofia dan Zack hanya menikus melihat wajah bengis Zhafran.

“Err..kita orang tak buat apa-apalah, Zhafran. Dia ini yang tak dapat balance tubuh, terus jatuh tersembam depan kaki Zack” ujar Sofia cuba mencipta alasan. Sengaja dia melembutkan suara supaya Zhafran termakan dengan dalihnya.

“Kau jangan nak tipu aku lah, Sofia. Aku nampak semuanya tadi” tukas Zhafran. Itulah abang Zhafran yang aku kenal. Dia bukannya seorang yang bodoh, mudah ditipu hidup-hidup.

“Betullah, Zhafran. Buat apa kami nak bohong kau. Kalau kau tak percaya, kau tanya sendiri si Hippo..ops si Atiya ni” dalam hendak meyakinkan Zhafran, sempat lagi Zack tersasul memanggil aku dengan panggilan gelaran.

“Mata aku masih belum buta lagi untuk menilai apa yang aku nampak. Telinga aku masih belum tuli lagi untuk aku faham ejekan dan hinaan korang yang aku dengar” tingkah Zhafran tegas.

“Aku rasa lebih baik korang semua pergi dari sini sebelum aku report pada cikgu Nordin. Aku tidak tahulah apa nasib korang jika perlakuan korang ini sampai ke lembaga disiplin sekolah” sambung Zhafran dengan melemparkan kata-kata ugutan. Nyata kata-kata itu berjaya merubah wajah Sofia, Zack dan konco-konco mereka yang lain menjadi pucat. Mestilah mereka merasa kecut apabila mendengar amaran dari mulut bekas pengawas sekolah. Akhirnya mereka semua berlalu dengan riak wajah yang sebal. Sempat lagi Sofia menghadiahkan aku dengan jelingan yang cukup tajam.

“Atie tak apa-apa? Mari abang tolong Atie” soal Zhafran sekali lagi cukup mengambil berat terhadap diri aku. Jelas terpancar riak kebimbangan di wajahnya. Dia membantu aku untuk bangun dan melibas kotoran yang melekat di baju sekolah aku. Cukup prihatin kan? Macam manalah aku tak rindu dan sayang pada Zhafran. Kehilangannya boleh membuatkan hidup aku menjadi nanar.

“Atie okay. Tapi kenapa abang boleh ada dekat sini?” tanya ku dengan wajah yang kehairanan. Mana tidak peliknya. Bukankah sepatutnya Zhafran berada di sekolahnya sekarang ini. Hendak kata cuti sekolah belum lagi. Hendak kata hari minggu pun tidak. Takkan dia kena gantung sekolah kot.

“Sebenarnya abang nak beritahu Atie satu rahsia ni” ujar Zhafran dengan wajah yang gusar.

“Apa dia?” tanya aku sedikit tidak sabar.

“Abang sebenarnya lari dari sekolah” beritahu Zhafran dengan nada suara berbisik.

“Hah? Jadi sebab itulah abang ada dekat sini?” soalan aku hanya dibalas dengan anggukan Zhafran. Nyata aku memang terkejut dengan kata-katanya. Macam mana Zhafran yang cukup terkenal sebagai seorang pelajar yang berdisiplin ini tergamak berbuat begitu.

“Kenapa? Abang kena buli ke?” tebakan aku membuatkan Zhafran ketawa kuat. Hairan betul aku dengan perlakuan Zhafran ini. Kelakar ke soalan aku tadi? Bukankah budaya ragging itu biasa di sekolah berasrama.

“Tak ada siapa yang berani nak buli abang. Ini kan Alif Zhafran. Sekali abang buka bunga silat pun dia orang lari mencicit-cicit” jawapan Zhafran yang mendabik dada membuatkan aku mencebik. Zhafran memang tidak suka dikaitkan dengan perkara yang boleh menunjukkan kelemahannya. Apatah lagi dia memang mahir dengan ilmu persilatan diri. Sentiasa hendak buktikan pada semua yang dia adalah lelaki Melayu sejati.

“Habis tu, kenapa abang lari dari sekolah?” aku mengulangi soalan yang sama.

“Abang tak seronoklah belajar dekat sana, Atie. Abang tak boleh fokus. Abang lebih suka belajar dekat sini. Dekat dengan Atie. Boleh jumpa dengan Atie selalu” luah Zhafran sambil mengenyitkan matanya kepada aku. Aku mencebik sekali lagi apabila mendengar kata-katanya yang terakhir itu. Tetapi dalam hati dah berbunga gembira. Nampaknya harapan kembali terbuka untuk Zhafran pindah ke sekolah ini.

“Cakap sajalah yang abang tak boleh berpisah dengan Kak Aisyah” tingkah aku mengusik. Siti Aisyah, gadis berperwatakan lembut dan cantik merupakan pelajar sekelas yang paling rapat dengan Zhafran. Aku ada juga terdengar gossip yang Zhafran dan Aisyah bercinta walaupun Zhafran tak pernah mengakuinya. Tapi kalau betul-betul pun apa salahnya. Mereka berdua memang padan pun.

“Apa kaitan dengan Aisyah pula? Tak ada kena mengena nya” tukas Zhafran dengan wajah yang masam. Dia memang tidak suka jika aku mengusiknya dengan Siti Aisyah. Luar nampak tidak suka, tetapi dalam hati siapa yang tahu kan.

“Yalah, Kak Aisyah kan kekasih pujaan hati abang. Mana tahan kalau terpaksa berjauhan lama-lama kan” kata ku masih lagi ingin mengusik Zhafran. Seronok sebenarnya melihat wajah Zhafran yang sentiasa berlagak macho itu berubah riak marah.

“Amboi, tak padan dengan umur 13 tahun, dah pandai nak cakap fasal cinta. Abang baru tak ada dekat sini lima bulan tau. Macam-macam ilmu mengarut Atie dah tuntut ya” Zhafran mencubit pipi aku yang gebu dengan rasa geram.

“Aduh, apa abang ni. Sakitlah. Atie tak sukalah abang buat macam ini” aku mengaduh sambil menepis tangannya sedikit kuat. Perlakuan Zhafran itu membuatkan wajah aku mencuka. Zhafran merasa pelik dengan tindak balas aku.

“Kenapa marah sangat ni? Bukannya Atie tak biasa abang cubit pipi Atie. Sakit sangat ke?” tanya Zhafran pelik. Aku menggosok pipi kanan aku. Sebenarnya, cubitan Zhafran tidaklah kuat pun. Aku tahu dia cubit-cubit sayang saja tu. Namun, sejak aku memasuki alam remaja ini, aku rasakan perbuatan itu sudah tidak sesuai.

“Mari abang tengok” sambung Zhafran lagi sambil menghampiri aku. Terbit rasa bersalah di wajahnya.

“Tak ada apalah, abang. Sikit saja” tolak aku sambil menjarakkan sedikit ruang dari Zhafran. Wajah Zhafran tiba-tiba berubah dengan penolakan ku.

“Oh, okay” tutur Zhafran pendek dengan riak sedih. Nada suaranya seperti orang yang sedang berkecil hati. Timbul rasa bersalah di dalam hati aku kerana membuat Zhafran berjauh hati.

“Atie minta maaf, abang. Sebenarnya, abang tak boleh dah sentuh-sentuh Atie macam tu. Atie dah besar, dah akil baligh. Ibu cakap berdosa tau kalau bersentuhan dengan lelaki bukan muhrim” balas aku berterus terang. Jika dulu memang aku tidak kisah Zhafran melayan aku begitu. Bertepuk tampar itu perkara biasa. Tapi sekarang aku kenalah jaga pergaulan aku. Sebulan yang lalu, aku telah melalui fasa perubahan menjadi seorang anak gadis yang mana detik dosa pahala aku sudah mula dihitung. Walaupun Zhafran telah aku anggap seperti abang aku sendiri, tapi yang haram tetap haram.

“Ooo, maafkan abang. Jadi maknanya Atie dah jadi anak dara sunti lah sekarang ni?” Zhafran melemparkan senyuman meleret pada aku. Kedua-dua belah keningnya diangkat sambil menghantar isyarat mata yang berbaur usikan. Entah kenapa tiba-tiba aku merasa malu dengan pandangan mata Zhafran. Tiba-tiba aku menjadi kekok dengan Zhafran. Macam manalah aku boleh tersasul memberitahunya yang aku sudah akil baligh. Mulut ini tak tahu nak berlapik langsung kalau bercakap dengan Zhafran.

Kringg! Mujurlah loceng telah berbunyi menandakan waktu rehat sudah tamat. Buat pertama kali, aku merasa lega kerana mempunyai alasan untuk melarikan diri daripada Zhafran. Kalau tidak selama ini, asyik nak mengekor saja ke mana Zhafran pergi.

“Atie masuk kelas dulu lah abang” pamit aku ingin berlalu dari situ.

“Okay, nanti balik tunggu abang dekat depan pintu pagar sekolah. Abang belanja Atie aiskrim poli sebagai tanda abang minta maaf. Lain kali abang tak buat lagi” beritahu Zhafran lembut. Senyuman mengusik masih tidak lekang di bibirnya. Aku hanya menganggukkan kepala dan membalas senyumannya dengan rasa gembira. Kesejukan dan rasa nyaman aiskrim polipop sudah terbayang di ruang mata. Dan yang paling menggembirakan aku, kami akhirnya bersekolah di bawah satu bumbung yang sama!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience