26 Disember 2002. Lewat pagi, aku terkejut dari tidur. Mata aku yang membengkak ku buka berat. Mungkin kerana perut aku yang lapar merengek-rengek minta diisi, lena aku terganggu. Dari tengah hari tadi, sebutir nasi belum lagi menjengah perut aku. Lagilah dalam cuaca yang sejuk ini. Tubuh aku memang memerlukan makanan, sekurang-kurangnya adalah juga bahan bakar yang mampu mengeluarkan haba untuk memanaskan badan ku.
Aku melangkah ke ruang bawah untuk mencari sesuatu bagi mengalas perut. Dengan terjengket-jengket aku menuruni tangga, bimbang jika bunyi tapak kaki aku mengejutkan Zhafran. Buat masa ini, aku ingin mengelak dari bertembung dengannya.
Ruang dapur yang bercahaya terang menggamit perhatian aku. Sayup-sayup terdengar suara orang sedang berbual. Dengan perlahan aku menghampiri dapur. Di sebalik pintu, jelas aku dapat melihat kelibat Zhafran dan Siti Aisyah. Siti Aisyah masih berada di sini? Selewat ini? Tidakkah Zhafran sedar apa yang dilakukannya ini salah. Tadi, dia beria-ia memerli aku kerana berdua-duaan dengan Aryan Daniel di taman.
“Sudahlah tu, Aisyah. Kau perlu faham keadaan aku. Aku sudah janji dengan parents dia” kata-kata Zhafran menarik kaki aku untuk terus kaku di situ. Adakah ‘dia’ itu aku?
“Tapi sampai bila, Zhaf. Sampai bila kau perlu berkorban untuk dia. Sedangkan dia tak pernah berhenti menyusahkan engkau. Kau tak jemu ke, Zhaf? Menyeksa diri engkau sendiri begini demi kebahagiaan orang lain” suara Siti Aisyah pula kedengaran. Memang sah mereka sedang bercakap tentang aku. Tiada manusia lain yang sering menyusahkan Zhafran melainkan aku.
“Entahlah, Aisyah. Aku serba salah sebenarnya. Aku tak tahu bagaimana keadaan dia kalau aku mungkir janji. Aku tak sampai hati hendak hampakan parents dia. Dia satu-satunya harapan keluarga” beritahu Zhafran. Jelas ruang mata aku dapat melihat rasa bersalah di wajahnya. Atie tak akan apa-apa, abang. Seandainya abang ingin melepaskan janji abang demi mengejar bahagia abang, Atie reda. Jangan risau, abang. Atie akan kuat dan Atie takkan mengalah dalam perjuangan Atie di sini. Detik hati aku.
“Dalam keadaan macam ini pun kau masih hendak mempertahankan dia? Setelah apa yang dia buat pada kau, kau masih nak membela dia? Wake up, Zhaf. Dia hampir merampas kebahagiaan kau, tapi kau masih lagi hendak berlembut dengan dia?” tingkah Siti Aisyah membuatkan jantung aku berdetak laju. Rampas? Atie tidak pernah terniat untuk menjadi perampas kebahagiaan korang berdua.
“Kau jangan bimbang. Tiada siapa yang dapat merampas kebahagiaan aku melainkan takdir Ilahi. Aku akan pertahankan apa yang aku ada sehingga ke akhir nyawa aku” tegas Zhafran. Abang jangan bimbang. Atie akan sokong abang menggapai kebahagiaan abang bersama Siti Aisyah. Lirih hati aku pedih. Pedih namun itulah hakikat yang harus aku telan.
“Aku cemburu, Zhaf. Bertuahnya Atie dapat memiliki kau sebagai suami” ujar Siti Aisyah perlahan. Ada nada kecewa di situ. Tidak lama lagi Kak Aisyah akan mendapat hak milik kakak kembali. Walaupun, Atie mencintai abang Zhafran sepenuh hati, tapi cinta abang hanya pada kakak. Kakak yang bertuah sebenarnya. Atie hanya meminjam sekejap tuah Kak Aisyah. Monolog hati aku sayu.
“Aaarghhh..” dalam asyik aku mengintip perbualan di antara Zhafran dan Siti Aisyah, aku tidak dapat menahan rasa terkejut apabila aku merasa ada tangan sejuk yang menyentuh bahu aku. Aku benar-benar terperanjat sehingga jatuh terduduk. Sudah pasti keadaan itu mengundang perhatian Zhafran dan Siti Aisyah. Dan siapakah perempuan separuh abad yang sedang tersenyum ke arah aku ini?
“Mak Teh minta maaf, Atie. Memeranjatkan kamu” suara wanita itu pada aku.
“Sayang, kenapa ni?” Zhafran sudah berada di sisi aku. Intonasi Zhafran yang lembut makin membuatkan aku keliru. Sudah tidak marah lagi kah dia? Dia membantu aku bangun.
“Kesian, Atie. Pucat benar wajah dia. Tadi, Mak Teh tengok dia duduk terjengah-jengah dekat pintu dapur. Sengaja Mak Teh nak sapa Atie. Tak sangka boleh terkejut sampai macam ni” terang wanita itu setelah melihat aku hanya mendiamkan diri.
“Atie buat apa dekat situ? Mengendap abang ya?” Zhafran meleretkan senyum pada aku. Alamak, kantoi!
“Maafkan, Atie. Atie lapar. Atie cuma nak buat air coklat dan cari biskut di dapur” beritahu aku jujur. Jawapan aku berjaya meledakkan tawa Zhafran. Berubah benar lelaki ini. Mungkin dia ingin sembunyikan konflik yang sedang menimpa kami dari pandangan mata wanita yang dipanggil Mak Teh ini.
“Itulah, tadi Atie tidur lena sangat. Sampaikan abang kejut ajak makan pun Atie tak sedar” tutur Zhafran. Bahu aku dipeluknya erat membuatkan aku sedikit tidak selesa dengan pandangan sinis Siti Aisyah yang sedari tadi hanya menjadi pemerhati.
“Err.. minta maaf kalau Atie tanya. Mak Teh ini siapa, abang?” soal aku ingin tahu. Situasi yang cukup mengelirukan aku membuatkan aku tertanya-tanya.
“Mak Teh ini ibu saudara abang. Mak kepada Siti Aisyah. Dia orang baru sampai ke sini dari London tengah hari tadi. Masa tu Atie keluar ke rumah Suzie. Bila Atie balik dia orang pula ke luar. Tak sempat abang nak perkenalkan” Zhafran menerangkan aku dengan panjang lebar. Jadi, ini bermakna Siti Aisyah dan Zhafran adalah sepupu!
“Ooh. Minta maaf, Mak Teh. Terpaksa jumpa dalam keadaan macam ni” aku menyalami Mak Teh dan Siti Aisyah.
“Isteri kamu ni Zhafran memang suka minta maaf ye. Dari tadi lagi Mak Teh dengar dia duduk asyik minta maaf saja” omelan Mak Teh membuatkan Zhafran dan Siti Aisyah ketawa kuat. Aku hanya tertunduk malu.
“Sebab itulah yang buat Zhafran sayang dekat isteri Zhafran ni” kata-kata Zhafran itu membuatkan aku jadi tidak selesa. Alangkah indahnya jika apa yang dituturkan itu ikhlas dari hati Zhafran, bukan sekadar untuk mengaburi mata orang.
“Geli lah kau ni, Zhaf. Dahlah mak. Jom kita masuk tidur. Hari pun dah lewat sangat ni. Kami masuk tidur dulu ya Atie, Zhaf” pamit Siti Aisyah ke arah bilik ruang tamu yang berada di tingkat bawah. Setelah meminta diri, Mak Teh turut mengikuti anak perempuannya masuk ke bilik yang sama.
“Err..Atie nak ke dapur” sebaik kelibat Mak Teh dan Siti Aisyah menghilang, aku segera melangkah ke dapur. Tidak betah tinggal berdua dengan Zhafran. Apatah lagi wajah Zhafran yang sudah bertukar serius. Bimbang jika halwa telinga aku tidak mampu menerima sindiran pedas darinya lagi. Sangka aku, Zhafran akan berlalu ke biliknya. Namun, sebaliknya dia mengekori aku ke ruang dapur. Matanya tunak memerhatikan setiap pergerakan aku sehingga membuatkan langkah aku pincang. Tiada bicara yang meniti di bibirnya. Hanya matanya yang bergerak memerhatikan aku.
Usai membancuh coklat panas dan biskut kering, aku ingin melangkah ke bilik tidur aku. Canggung aku rasa jika mata Zhafran terus memerhatikan aku makan pula. Silap-silap boleh tercekik pula aku nanti.
“Atie nak ke mana pula dengan biskut dan air tu?” soalan Zhafran menghentikan langkah aku.
“Ke bilik” jawab aku sepatah.
“Duduk makan di sini. Abang teman kan Atie” ajak Zhafran sambil menunjukkan ke arah kerusi bulat. Sebuah ajakan yang berupa arahan.
“Lagipun, ada benda yang abang nak bincangkan dengan Atie” mendengarkan ayat itu, jantung aku berdegup kencang. Adakah saatnya sudah tiba? Tanpa suara, aku duduk di hadapan Zhafran. Aku menundukkan wajah sambil mengunyah biskut keju perlahan. Entah kenapa selera aku seakan mati walaupun perut aku berbunyi-bunyi minta diisi. Coklat panas yang aku sisip aku rasakan pahit saat itu.
“Atie masih ingat dengan janji kita sebelum kita berkahwin dulu?” bicara Zhafran benar-benar menyentakkan ku. Memang benar telahan hati aku. Saat untuk aku pergi sudah hampir tiba.
“Atie tak pernah lupa, abang” balas aku dengan suara yang bergetar.
“Mungkin sudah masanya abang menuntut pengorbanan dari Atie demi kebahagiaan abang. Walaupun permintaan abang akan membuatkan Atie terseksa, tapi untuk sekali ini abang akan pentingkan kebahagiaan abang. Abang dah penat menyembunyikan perasaan abang selama ini. Maafkan abang” setiap patah kata yang dituturkan oleh Zhafran seperti jarum yang mencucuk pedih nadi aku. Kental lah wahai hati. Tabahlah hati demi lelaki yang ku sayang ini.
“Abang tak perlu minta maaf dengan Atie. Atie faham sangat-sangat. Atie takkan sekali-kali salahkan abang kerana abang ada hak untuk bahagia. Abang kejar lah kebahagiaan abang. Jangan risaukan Atie lagi” suara aku sambil mengukirkan senyuman nipis. Sedaya upaya aku cuba menahan air mata aku daripada tumpah. Aku perlu tunjuk kepada Zhafran yang aku kuat. Apa yang perlu aku lakukan adalah meyakinkan Zhafran yang aku tidak akan apa-apa. Aku tidak mahu titisan air mata aku akan menjadi penghalang kebahagiaan Zhafran.
“Ya, memang itu yang abang sedang buat. Abang sudah lama tunggu kebahagiaan abang. Tapi, semakin lama abang tunggu, semakin sukar abang rasakan untuk memilikinya. Abang takut, jika abang terus begini, abang akan terus kehilangannya. Dan abang tidak mungkin dapat hidup tanpanya” jelas terpancar kesedihan di wajah Zhafran. Rasa sakit yang aku tanggung kerana cinta aku yang tidak mungkin bersambut tidaklah sehebat rasa pedih apabila aku melihat kelukaan di wajah Zhafran.
“Atie nak abang tahu yang Atie sentiasa akan sokong abang. Atie nak sangat abang bahagia. Kerana kebahagiaan abang adalah kegembiraan bagi Atie. Walau apa pun yang abang inginkan, Atie sanggup korbankan asalkan abang temui bahagia yang abang tunggu selama ini. Beritahu pada Atie, apa yang perlu Atie lakukan?” tutur aku perlahan. Aku tidak pasti adakah aku ikhlas dengan kata-kata ku itu. Namun, jujur nya hati aku benar-benar sakit. Tetapi apa pilihan yang aku ada kerana aku tahu cintanya tidak pernah menjadi milik aku. Aku harus reda dengan takdir ini dan aku cuba ku tunaikan apa saja permintaan Zhafran.
“Lupakan Aryan” aku benar-benar terkesima mendengar permintaan Zhafran yang langsung tidak pernah ku jangka.
“For God sake, lupakan Aryan demi abang. Will you?” ulang Zhafran sekali lagi setelah melihat aku termangu-mangu. Kali ini dalam nada yang cukup tegas.
“Atie tak faham. Apa maksud abang?” sesungguhnya aku benar-benar keliru. Apa kaitan Aryan Daniel dengan kebahagiaan Zhafran?
“Itulah pengorbanan yang abang nak Atie lakukan. Jangan sesekali berhubung dengan Aryan lagi. Walaupun mengingatinya pun abang tidak izinkan” tukas Zhafran sambil merenung mata aku dengan pandangan yang cukup tajam.
“Tapi apa..”
“Susah sangat ke Atie hendak tunaikan apa yang abang minta ini?” potong Zhafran dengan wajah yang masam. Aku belum habis bertanya lelaki ini sudah siap menyerang aku dengan soalan kesimpulan.
“Bukan. Atie cuma tak faham. Apa kaitan Aryan dalam hal ini?” soal aku membetulkan salah faham Zhafran.
“Ada kaitannya. Atie tidak akan pandang cinta abang selagi dalam hati Atie ada Aryan” sekali lagi ayat yang meniti di bibir Zhafran menyentakkan aku, membuatkan aku semakin keliru. Apa yang Zhafran sedang katakan ini langsung berlawanan dengan apa yang aku telah lihat, dengar dan faham selama ini. Cinta Zhafran? Maksudnya Zhafran cintakan aku? Benarkah? Atau adakah aku sedang bermimpi? Seandainya ini realiti, sudah pasti aku orang yang paling bahagia kerana mendapat cinta yang selama ini ku tunggu-tunggu dari seorang suami. Jika itu adalah pengorbanan yang dimaksudkan oleh Zhafran, dengan berbesar hati aku akan tunaikannya. Tapi, bagaimana dengan Siti Aisyah? Bukankah gadis itu yang dikejar oleh Zhafran selama ini? Terlalu banyak persoalan yang menjengah ruang fikiran aku.
“Aryan sudah lama mati dalam hidup Atie, abang. Cinta Atie padanya sudah lama hilang” luah aku perlahan. Ternyata luahan aku itu membuatkan mata Zhafran tunak merenung aku sehingga membuatkan aku menjadi malu. Lalu, aku bangun menuju ke arah sink untuk mencuci mug. Sebenarnya aku tidak betah direnung begitu. Muka ku ini dirasakan pijar.
“Buktikan pada abang yang Atie sudah melupakan Aryan. Sebab, selama ini apa yang abang lihat adalah sebaliknya” tanpa aku sedar Zhafran telah menghampiri aku. Cukup rapat sehingga aku dapat mendengar desah nafasnya.
“Buk..bukti? Ba..ba..bagaimana?” soal aku tergagap-gagap. Jarak tubuh aku yang terlalu dekat dengan Zhafran mengundang getar di jiwa. Sesak nafas aku menahan degupan kencang di dada.
“Ya, bukti. Dengan melakukan pengorbanan sebagai seorang isteri untuk menunaikan hak seorang suami. Laksanakan sebenar dan sepenuhnya tanggungjawab seorang isteri” kata-kata Zhafran itu membuatkan aku terpana. Aku cukup faham dengan apa yang dimaksudkan oleh Zhafran. Memang aku akui Zhafran mempunyai hak ke atas aku. Hak yang selama ini kami telah bersetuju untuk menafikannya. Langsung aku tidak menyangka yang Zhafran akan kembali menuntut haknya itu. Aku kaget. Aku takut. Dan yang pasti aku belum bersedia.
“Maafkan, Atie. Atie tak boleh” balas aku. Tanpa menunggu lebih lama, aku melangkah tergesa-gesa ke bilik tidur aku.
“Kenapa tak boleh?” nada suara Zhafran sudah kembali keras. Kekecewaan jelas tergambar di wajahnya tatkala melihat aku berlalu pergi. Namun, pantas dia mengejar aku sehingga ke kamar tidur aku. Pintu bilik yang cuba ku tutup sempat ditahan oleh Zhafran. Dia memaut lengan aku kuat sehingga membuatkan badan aku hilang imbangan dan wajah aku tersembam ke dada bidangnya. Zhafran terus erat merangkul tubuh aku, walaupun aku cuba meleraikan pelukan itu.
“Kenapa tak boleh? Kerana Aryan?” Zhafran mengulang kembali soalannya. Kali ini Zhafran menggoncang bahu ku. Aku hanya menggelengkan kepala menidakkan telahan Zhafran.
“Habis itu kenapa?” soal Zhafran lagi separuh menjerit.
“Kerana cinta Atie pada abang. Atie benar-benar tulus cintakan abang. Atie tidak mahu hubungan kita terbina kerana terpaksa. Sanggup kah abang hendak bersama dengan Atie sedangkan Atie tahu cinta abang pada Kak Aisyah” balas ku lirih.
“Huh? Maksud Atie?” soal Zhafran terpinga-pinga.
“Kak Aisyah adalah kebahagiaan abang kan. Memang di sisi agama, Atie adalah isteri abang. Dan abang berhak ke atas Atie. Tapi Atie tidak akan sekali-kali merampas abang daripada Kak Aisyah kerana Atie sedar yang Atie tidak pernah memiliki cinta abang” jelas aku dalam nada yang sebak.
“Nanti dulu. Daripada dulu sampai sekarang, Atie selalu kaitkan abang dengan Aisyah. Bukan Aisyah yang membuatkan abang bahagia. Tapi, kebahagiaan abang adalah Atie” kata-kata yang meniti di bibir Zhafran benar-benar membuatkan aku bungkam.
“Bukankah Kak Aisyah…” kali ini giliran aku pula menanyakan soalan kepada Zhafran, namun kata-kata aku disampuk laju.
“Ya, Aisyah pernah sukakan abang. Tapi abang hanya anggap dia tidak lebih daripada seorang kawan dan juga sepupu abang. Selepas pernikahan kita, Aisyah sudah dapat menerima yang cinta abang bukan miliknya, walaupun sebelum itu dia tidak pernah jemu mengejar cinta abang” beritahu Zhafran tenang. Dulu, Zhafran sering berkongsi cerita dengan aku tentang surat cinta daripada Siti Aisyah yang diterimanya. Sejak itu, aku mula galak mengusik Zhafran dengan Siti Aisyah. Pada mulanya memang dia tidak senang tapi kerana selalu sangat aku mengusiknya, akhirnya dia menjadi kalih. Dan aku pula menyangka Zhafran benar-benar menerima cinta Siti Aisyah.
“Dulu, abang gunakan Aisyah untuk meneka perasaan Atie. Abang benar-benar berharap Atie akan cemburu dengan cerita abang, tapi sebaliknya Atie seakan bersetuju abang dan Aisyah bersama” sambung Zhafran benar-benar membuatkan aku terkelu. Melihatkan aku yang hanya diam membisu, Zhafran meneruskan kata-katanya.
“Sebenarnya, sejak kecil abang sukakan Atie. Dan perasaan suka itu semakin hari berubah menjadi sayang. Semakin kita meniti usia dewasa, abang mula rindu kan Atie lebih daripada seorang sahabat. Cinta abang pada Atie semakin kuat walaupun kita terpisah beribu batu. Perasaan abang tidak pernah berubah walaupun waktu itu abang tahu hanya Aryan di dalam hati Atie. Abang sanggup menjadi pendengar yang setia pada setiap luahan cinta Atie pada Aryan walaupun hati abang ini sakit sangat. Abang sanggup telan setiap kisah bahagia antara Atie dan Aryan walaupun pahit. Abang bersabar walaupun abang rasakan kasih yang abang tunggu semakin jauh apabila Atie benar-benar bahagia dengan kehadiran Aryan” luahan Zhafran membuatkan air mata aku menitis untuk ke sekian kalinya. Aku sangka selama ini aku yang menunggu dan mengharapkan balasan kasih dari Zhafran. Tetapi Zhafran lebih lama menunggu cinta aku.
“Kenapa abang tidak luahkan perasaan abang dari dulu lagi?” soal aku dalam tangis.
“Abang takut abang akan dikecewakan. Abang lebih takut kehilangan Atie seandainya Atie menolak cinta abang. Namun, semakin lama abang pendam, perasaan itu semakin membunuh abang. Abang tidak berani meluahkan tetapi abang benar-benar ingin memiliki Atie. Kerana itu abang menggunakan alasan pernikahan untuk mengikat Atie dekat dengan abang” Zhafran berterus terang merungkaikan segala rahsia di sebalik perkahwinan kami. Selama ini aku menyangka Zhafran sanggup korbankan kebahagiaannya demi aku. Aku terharu.
“Jadi, abang mengambil kesempatan di atas kesulitan Atie?” tanya aku dengan nada marah yang dibuat-buat. Sengaja aku ingin melihat reaksi Zhafran. Mustahil aku akan marah walaupun Zhafran terang-terangan mengambil kesempatan kerana itu sebenarnya yang aku harapkan. Aku akui jauh di lubuk hati aku sememangnya rela menjadi isteri Zhafran. Walaupun ketika itu aku merasa sangat bersalah pada Siti Aisyah, tapi sebagai manusia biasa aku tidak dapat menolak rasa cinta dan ingin memiliki Zhafran.
“Abang minta maaf. Waktu itu abang terdesak. Abang tahu Aryan sentiasa menghubungi Atie melalui e-mel. Abang tidak rela Atie kembali kepada Aryan. Abang tak boleh benarkan itu berlaku. Kebetulan keputusan abah untuk membawa Atie pulang ke Malaysia memberikan peluang kepada abang untuk mencipta alasan bernikah dengan Atie” ujar Zhafran menjawab persoalan aku. Jelas di wajahnya terukir kebimbangan.
“E-mel? Macam mana abang tahu Aryan selalu hubungi Atie?” sekali lagi soalan aku seakan-akan memerangkap Zhafran. Beberapa ketika, Zhafran mendiamkan diri. Akhirnya, dia menghela nafas panjang.
“Sekali lagi abang minta maaf. Sebenarnya, setiap hati abang check e-mel Atie. Lain kali jangan tinggalkan password e-mel dalam buku nota” balas Zhafran selamba sambil mengukirkan senyuman seorang pesalah.
“Itu adalah privasi Atie. Abang tak berhak untuk mengganggu” bentak aku tidak puas hati.
“Abang tahu abang salah. Tapi, abang tak dapat tahan rasa cemburu abang. Apabila Atie menjadi isteri abang, perasaan cemburu abang semakin kuat. Dan setiap kali abang baca luahan cinta Aryan pada Atie dalam e-mel membuatkan abang sakit hati dan kecewa” tutur Zhafran cuba membela tindakannya. Pada mulanya, aku merasa terkilan dengan tindakan Zhafran, tetapi bila difikirkan aku rasa aku dapat menerima alasannya. Sebenarnya, tidak salah seorang suami mengambil tahu setiap urusan isterinya.
“Ooh, sebab itu abang dingin dengan Atie selepas kita kahwin? Selalu sindir dan sakitkan hati Atie. Sampaikan hendak pandang muka Atie pun abang tak ingin. Sampaikan ulang tahun perkahwinan kita abang lupa. Penat Atie masak tapi kena marah. Sedih tau” entah kenapa, air mata aku gugur apabila mengenangkan setiap layanan dingin Zhafran terhadap aku selama ini. Lantas, Zhafran memeluk tubuh aku, ingin meredakan rasa sayu yang bertandang di hatiku.
“Maafkan abang, sayang. Waktu itu, abang memang tak dapat mengawal perasaan abang. Abang marah pada Aryan kerana masih mengejar cinta isteri abang. Abang marah pada diri abang sendiri kerana tak berani meluahkan cinta pada Atie. Sedangkan setiap hari Aryan menghantar e-mel cinta pada Atie. I was jealous like hell! Abang janji abang tak akan buat lagi, sayang” pujuk Zhafran sambil menghadiahkan sebuah kucupan di ubun kepala ku. Sebuah kucupan yang cukup membahagiakan aku dan membuatkan perasaan aku terawang-awang.
“Habis tu sekarang ni berani pula berterus terang pada Atie?” aku memandang wajah Zhafran. Dia memperkemaskan rangkulan tangannya di pinggang aku. Tindakan Zhafran itu membuatkan aku mengulum senyum namun cepat-cepat aku sembunyikan senyum itu.
“Selama ini abang takut hendak mengaku cintakan Atie kerana abang sendiri tidak pasti perasaan Atie pada abang. Tapi abang benar-benar dah tak dapat menahan rasa sakit hati abang apabila tengok Atie dan Aryan di taman tadi. Jadi, abang bertekad untuk meluahkan segala-galanya. Abang tak peduli dah sama ada Atie menerima cinta abang atau tidak. Abang ingat nak paksa Atie saja untuk cintakan abang. Tapi, tak sangka rupanya abang sudah lama memiliki cinta Atie” terang Zhafran sambil tangannya mengelus lembut pipi kanan aku. Tangan kirinya masih lagi merangkul erat pinggang aku supaya rapat dengan tubuhnya. Aku pula melarikan wajah hangat aku.
“Betul abang tak ada apa-apa dengan Kak Aisyah?” tanya aku apabila tiba-tiba teringatkan perbualan yang aku curi-curi dengar di antara Zhafran dan Siti Aisyah tadi.
“Betul, sayang. Kalau tak percaya, kita pergi tanya Aisyah sekarang, nak?” bersungguh-sungguh Zhafran menidakkan.
“Hish, tak naklah. Tak baik ganggu orang tengah tidur. Atie cuma tertanya-tanya siapa yang abang dan Kak Aisyah duduk mengumpat dekat dapur tadi. Mati-mati Atie ingatkan abang dan Kak Aisyah duduk mengata Atie” jujur aku memberitahu. Zhafran tergelak kuat.
“Mengumpat? Atie ingat abang ni ketua gossip ke?” Zhafran tersenyum sambil mencuit hidung aku. Aku hanya memasamkan wajah. Tidak berminat membalas usikan Zhafran kerana yang lebih utama aku inginkan jawapan darinya.
“Merajuk ke ni, sayang? Muncung lagi mulut tu, nanti abang cium baru tahu” mendengar ayat itu aku pantas menutup mulut aku dengan tangan aku. Zhafran ketawa nipis melihat tindakan spontan aku.
“Okay lah, jangan buat muka macam tu lagi. Abang akan ceritakan semuanya. Tapi, sebelum tu kita duduk dulu. Lenguh dah kaki abang ni, sayang” sambung Zhafran lagi. Kemudian, dia menarik tangan aku ke arah katil dan kami berdua duduk di situ. Baru perasan sejak dari tadi kami asyik berdiri.
“Ceritalah” gesa aku lembut apabila aku lihat Zhafran seakan berjeda buat seketika.
“Abang nak ceritalah ni. Tak sabar betul isteri abang ni” ujar Zhafran sambil mencubit pipi aku. Aku menyeringai dengan kesan cubitan tangan kasar Zhafran.
“Abang ni…” kali ini aku pula mencubit lengan Zhafran. Geram kerana lelaki ini seperti bermain tarik tali.
“Okay, okay” akhirnya Zhafran mengalah dan kemudian wajahnya berubah kembali serius. Dia menarik nafas dalam dan menghembuskan nya kuat.
“Tadi kami bercerita tentang Aryan” tutur Zhafran perlahan namun masih jelas di telinga aku.
“Aryan?” Zhafran hanya mengangguk mengiakan pertanyaan aku sebelum menyambung kata.
“Sejak kecil Aryan adalah pelajar nakal tetapi pintar. Suatu hari, abang tangkap dia sedang mencuri di kedai runcit. Dari situ abang tahu keluarga Aryan orang susah dan sejak itu abang baik dengan parents Aryan. Kerana kasihan abang berjanji dengan parents dia untuk jaga Aryan dan pastikan dia tidak tersasar. Abang juga bantu Aryan dan keluarganya dari segi kewangan. Tapi, bantuan abang itu tidak mampu mengubah Aryan. Sebaliknya, dia terus lupa diri. Kerana hidup susah, dia menjadi hamba duit. Sehingga sanggup betting beribu ringgit untuk mempermainkan Atie” Zhafran menghentikan kata-katanya sambil melemparkan pandangannya pada aku. Mungkin dia ingin menebak perasaan aku apabila kisah yang pernah membuatkan hati aku kecewa diungkit kembali. Aku melemparkan senyuman pada Zhafran tanda kisah itu sudah tidak berbekas di hati aku.
“Abang dapat tahu melalui kawan abang yang kebetulan satu universiti dengan Aryan. Perangainya semakin menjadi-jadi apabila dia datang belajar di London. Aryan benar-benar telah tersasar apabila dia mula terjebak dengan pengedaran dadah sehingga dia telah dibuang universiti bulan lepas. Semuanya kerana duit” cerita Zhafran benar-benar mengejutkan aku.
“Kenapa abang rahsiakan dari Atie?”
“Abang tak sampai hati sebab abang takut Atie akan terluka dan kecewa. Dulu, Atie kan separuh mati cintakan Aryan”
“Nonsense. Atie cuma cintakan abang. Hanya abang selama-lamanya di hati Atie. Semangat yang abang titipkan buat Atie tanpa jemu telah melenyapkan semua rasa cinta Atie pada Aryan lama dulu. Kalau awal-awal abang beritahu, tak adalah penat Atie duduk makan hati je dengan mood swing abang tu” beritahu aku berterus terang. Pantas tubuh aku dirangkul Zhafran.
“I love you so much, sayang. Maafkan abang atas semua kesilapan, abang” ucap Zhafran romantis di cuping telinga aku membuatkan bulu roma aku meremang. Indahnya perasaan mencintai dan dicintai ini.
“Nampaknya, balik Malaysia nanti banyaklah abang kena belikan Atie aiskrim poli. Dah tak terhitung dah kesalahan abang ni” ujar aku mengusik Zhafran.
“Emm… abang ingat nak tukar cara denda lah lepas ni kalau siapa-siapa antara kita yang buat salah. Apa kata, orang yang buat salah, sebagai denda dia akan kena cium. Aiskrim poli ni dah lapuk lah” ujar Zhafran sambil menyungkitkan kedua belah keningnya nakal.
“Eh, mana aci. Itu denda yang berat sebelah. Seronoklah abang kena cium nanti” balas aku sambil melemparkan jelingan manja. Zhafran sudah mengekek ketawa.
“Apa salahnya, sayang. Dari ciuman boleh kita ehem ehem…” tutur Zhafran perlahan sambil melemparkan pandangannya pada katil queen milik aku. Satu cubitan ku hadiahkan buat Zhafran. Gatal!
“Eiii..gatal lah abang ni. Sejak bila otak abang berwarna biru ni”
“Sejak kahwin dengan Atie lah. Dah setahun lebih abang puasa ni, sayang. Sayang tak rasa rugi ke? Kalau tak mungkin sekarang kita dah ada baby” gurauan Zhafran membuatkan aku tersipu. Jauh benar angannya.
“Amboi.. kerja pun tidak, ada hati nak ada baby” balas aku sambil memicit hidung mancung milik Zhafran. Pantas, lelaki itu mencapai tangan aku dan digenggamnya erat.
“I love you so much. Mmmuah” sebuah ciuman hinggap di pipi aku lama.
“I love you too” balas aku masih lagi menahan malu. Aku rebah dalam pelukan hangat Zhafran.
Penantian aku pada sebuah cinta sudah berakhir. Walaupun penantian itu suatu penyeksaan, namun jika kebahagiaan yang dijanjikan di hujung penungguan ku, aku tidak ralat. Tidak sia-sia aku menunggu kasih mu. Dan yang lebih manis, apabila dia juga turut menunggu kasih aku.
Share this novel