BAB 6

Romance Completed 6489

7 April 2001.

Aku menguatkan pemanas yang dipasang di ruang tamu. Coklat panas yang aku bancuh untuk menghilangkan rasa sejuk ku sisip sedikit. Walaupun sekarang adalah musim bunga, tapi bahang kesejukan sangat terasa terutamanya pada waktu malam. Sejuk sehingga mencengkam ke tulang besi urat dawai ku. Untuk seorang yang berdarah khatulistiwa seperti aku, sejuk sedikit pun kadang-kadang sudah membuatkan aku menggigil. Sedangkan orang putih di sini masih boleh bersenang lenang dengan pakaian yang tidak cukup kain.

Aku memerhatikan jam di dinding yang baru menunjukkan pukul lapan malam namun suasana di luar sudah gelap pekat dan sunyi sepi. Malam ini malam minggu. Biasalah, masyarakat di sini menggunakan sepenuhnya malam minggu untuk berhibur dan memabukkan diri. Mungkin itu adalah sebagai salah satu cara mereka melepaskan tekanan kerja yang mereka hadapi. Jadi, malam-malam minggu begini aku sudah biasa ditinggalkan sendirian di rumah yang aku kongsi bersama dengan dua orang pelajar bukan Islam. Seorang berasal dari Italy bernama Maria dan seorang lagi dari Dublin bernama Irish. Bukannya aku tidak mahu tinggal bersama dengan pelajar Melayu namun komuniti pelajar Melayu di kawasan Coventry ini agak kecil. Lagipun, ramai pelajar dari Malaysia atau Brunei adalah lelaki. Tengok sajalah jurusan yang aku ambil, majoriti pelajar di dalam kelas aku adalah lelaki dan aku satu-satunya pelajar perempuan Islam yang ada! Tidak mungkin aku akan tinggal serumah dengan pelajar lelaki walaupun ada segelintir pelajar Islam yang datang belajar di sini seakan tidak kisah dengan halal haram. Terlalu terpengaruh dengan budaya masyarakat di sini. Jadi, aku tidak mempunyai banyak pilihan.

Aku sebenarnya tidak kisah berkongsi rumah dengan orang asing walaupun pada mulanya aku merasa agak kekok. Lagipun, masing-masing mempunyai bilik tidur sendiri. Jadi, privasi aku tidaklah terganggu. Cuma, kadang-kadang aku merasa tidak selesa apabila Maria atau Irish sering membawa pulang teman lelaki mereka untuk bermalam. Walaupun aku cuba menerangkan ketidakselesaan aku tapi mereka seperti tidak dapat menerima. Budaya mereka yang mengamalkan pergaulan bebas cukup berbeza dengan budaya kita. Dan aku digelar mereka sebagai kolot. Hidup di negara asing memang perlu kuat menahan godaan. Jika tidak, mudah benar kita akan terpesong dan terikut-ikut budaya bebas mereka.

Tiba-tiba aku dikejutkan dengan bunyi deringan telefon. Aku sudah dapat mengagak siapa yang menelefon aku pada waktu-waktu begini. Hati aku berbunga gembira. Kehadiran Zhafran benar-benar membuatkan aku tidak pernah merasa terasing walaupun berada di tempat orang. Layanannya terhadap aku, bicaranya yang sering dikongsi dengan aku, rengekan manjanya pada aku membuatkan perasaan aku sering dijentik rasa bahagia. Adakah ini yang dinamakan cinta? Jika benar apa yang aku rasa ini cinta, bagaimana harus aku buang jauh perasaan yang dalam diam kian bertunas di hati aku ini. Kerana aku sedar perasaan sayang Zhafran terhadap aku hanyalah sayang seorang sahabat. Cinta Zhafran hanya menjadi milik Siti Aisyah.

“Assalamualaikum, abang” aku mengucapkan salam setelah melihat nama yang tertera di skrin telefon bimbit aku. Terdengar salam aku dijawab lemah oleh Zhafran. Jelas nada suaranya menggambarkan yang dia kepenatan. Sebagai pelajar tahun akhir, Zhafran sibuk menyiapkan kerjanya di makmal dan projek tahun akhirnya. Namun, walau sibuk macam mana sekali pun, Zhafran tidak pernah gagal untuk menghubungi aku bertanya khabar jika hari itu dia tidak dapat menemui aku di kampus.

“Atie dah makan?” tanya Zhafran mengambil berat. Dia memang menjaga ketat jadual pemakanan aku. Alasannya, dia tidak mahu aku diserang gastrik lagi.

“Sudah. Atie masak nasi goreng. Abang dah makan?” jawab aku. Sejuk-sejuk begini memang perut aku cepat lapar. Sentiasa minta diisi. Namun, mujurlah aktiviti aku di sini lebih banyak berjalan kaki. Sekurang-kurangnya kalori yang aku makan akan dibakar sebagai tenaga.

“Belum lagi. Abang tak sempat nak makan. Ini pun baru balik dari makmal. Penatnya” adu Zhafran kepada aku.

“Mana boleh abang tak makan. Nasihatkan Atie pandai ya. Tapi diri sendiri tak terjaga. Kalau sakit nanti tak siap pula tesis abang” kali ini giliran aku pula membebel kepada Zhafran. Lelaki itu hanya meletuskan tawa halus.

“Dah jadi mak nenek ya sekarang ni. Belajar dari sapa ni?” tanya Zhafran sambil menguap. Jelas aku dapat menangkap suaranya yang menahan ngantuk.

“Belajar dari abang lah. Abang kan sifu terbaik Atie. Tutup mulut tak menguap tu?” soal aku mengusik. Sengaja ingin membuatkan Zhafran merasa sedikit keceriaan. Lelaki itu cuma ketawa malas.

“Tutuplah, cik adik. Nanti kan tak fasal-fasal bapak iblis bermastautin pula. Letih betul abang hari ini. Mata pun dah tak mampu nak buka ni. Abang ingat lepas mandi abang nak tidur kejap” beritahu Zhafran lemah.

“Abang kenalah makan dulu. Tak baik tidur dengan perut kosong. Atie masakkan abang nasi goreng kegemaran abang. Sejam nanti Atie hantar ke rumah abang. Boleh?” aku menawarkan diri. Tidak sampi hati aku membiarkan lelaki kesayangan ku ini kelaparan. Lagipun, aku memang kenal sangat dengan Zhafran. Dia jarang meminta sesuatu dari aku secara terang-terangan. Sebaliknya, Zhafran lebih suka berkias secara halus, mengharapkan aku sendiri faham dengan kiasannya.

“Betul ke ni? Terima kasih. Tapi Atie tak perlulah hantar, abang pergi ambil sendiri nanti. Bahaya jalan seorang diri malam-malam” ujar Zhafran. Nadanya berubah ceria. Aku hanya melemparkan senyum simpul. Kan dah kata!

“Bukannya jauh pun. Cuma beberapa blok je. Abang kan penat” aku tidak kisah menghantar makanan ke rumah Zhafran. Lagipun jarak rumah sewa Zhafran dan rumah sewa aku tidak lah jauh. Zhafran memang menyuruh aku menyewa di kawasan rumah sewanya. Senang dia hendak memantau aku jika aku nakal, katanya. Dan kebetulan Maria dan Irish sedang mencari teman serumah pada waktu itu.

“Tak ada. Jangan degil. Sejam lagi abang datang ambil. Masak sedap-sedap tau. Abang nak mandi ni. Bye” tegas Zhafran dan terus mematikan talian. Tanpa berlengah aku terus ke dapur untuk menyediakan makan malam buat Zhafran. Untung Zhafran ada aku di perantauan ni. Kalau lapar, boleh juga makan nasi goreng. Bukan calang-calang orang yang dapat merasa air tangan sakti milik Atiya Mawaddah. Sempat aku berjeda di dalam hati. Perasan!

Empat lima puluh minit kemudian, nasi goreng yang dijanjikan sudah siap dimasak. Aku memasukkan nasi goreng itu ke dalam Tupperware. Kemudian, aku mendengar ketukan kuat di pintu. Awal pula Zhafran datang. Mungkin perutnya sudah tidak dapat menahan lapar. Setelah menyarungkan tudung di kepala, tanpa teragak-agak aku membuka pintu sambil melemparkan senyum. Namun, senyuman aku mati tatkala melihat bukan wajah Zhafran di depan mata. Sebaliknya, yang berdiri di hadapan aku kini adalah Vincent, teman lelaki Maria.

“Hi, Vincent. Are you looking for Maria? But she is not here” beritahu aku. Melihat Vincent yang berkelakuan agak pelik membuatkan aku merasa gelisah. Matanya kelihatan kuyu, tubuhnya sedikit terhuyung hayang dan ditambah dengan bau tengit yang begitu mencengkam hidung aku. Aku tahu lelaki ini sedang mabuk!

“I don’t want to see her. I’m here to be with you” Vincent bersuara sambil tersedu. Aroma yang amat meloyakan keluar dari mulutnya membuatkan aku menjauhkan sedikit diri aku darinya. Lelaki ini berada dalam keadaan luar sedar dan sudah mula mengarut.

“I think you should go back to your home” tutur aku berbasa-basi sambil menutup pintu. Namun, belum sempat aku mengunci pintu, Vincent telah menolak daun pintu dengan kasar membuatkan aku jatuh terduduk.

“What are you trying to do?!” nada suara aku sudah berubah kuat. Bengang dengan tindakan kurang biadab Vincent.

“Nothing, darling. I just want to love you” suara Vincent membuatkan aku merasa seram sejuk.

“You are so beautiful” lelaki asing itu menghampiri aku dan cuba merentap tudung di kepala aku. Keadaan Vincent yang bertukar agresif kerana berada di bawah pengaruh alkohol membuatkan aku menjadi kecut.

“Help..hh” aku cuba menjerit dengan sekuat hati. Namun tindakan pantas Vincent menekup mulut aku membuatkan gema jeritan aku tenggelam di dalam tangannya yang besar itu. Kemudian, aku menggigit tangan Vincent membuatkan lelaki itu mengaduh kesakitan dan melepaskan pegangannya.

Tanpa berlengah aku melarikan diri menaiki tangga untuk menuju ke bilik aku. Vincent mengejar aku dan ketika berada di tengah-tengah tangga, aku dapat rasakan tangan Vincent berjaya mencengkam kaki kiri aku. Aku cuba menarik kaki aku dengan sepenuh kudrat perempuan yang aku ada. Namun ternyata tenaga lelaki Vincent lebih gagah. Rentapan kuat Vincent membuatkan tubuh aku jatuh menggelongsor di atas anak-anak tangga seperti bola. Perit yang aku rasakan akibat hentakan yang menusuk tulang punggung tidaklah sehebat ketakutan yang sedang beraja di hati.

“I’m begging you Vincent. Please, don’t do this to me” aku merayu pada Vincent saat lelaki itu cuba merentap baju t-shirt berlengan panjang yang ku pakai. Namun, rayuan aku hanya sia-sia. Lelaki itu dengan rakus mengoyak lengan baju aku. Tudung yang aku pakai sudah tercampak entah ke mana. Dalam pada itu, aku cuba meronta sekuat hati. Tubuh Vincent yang semakin mendekat aku tolak kasar. Tindakan aku itu membuatkan Vincent menjadi bertambah berang. Lelaki itu tanpa belas menampar pipi aku berulang kali bertujuan untuk melemahkan diri aku. Berpinar-pinar pandangan mata aku akibat pukulan kuat itu. Darah pekat mengalir di tubir bibir aku. Tidak cukup dengan itu, tubuh aku ditendang kuat mengundang rasa senak yang cukup berbisa di badan aku. Saat itu aku sudah tidak mampu melawan. Tubuh aku sudah longlai dan terkulai. Hanya doa yang mampu aku panjatkan di dalam hati. Memohon perlindungan daripada-Nya untuk memelihara kehormatan diri aku. Tidak sanggup maruah aku jatuh ke tangan lelaki yang tidak berhak.

“What the hell are you doing? You bastard!” dalam keadaan mamai aku dapat mendengar suara Zhafran menjerit marah. Aku dapat menangkap bayangan Zhafran yang tangkas menyerbu ke arah Vincent dan melepaskan tumbukan padu ke muka lelaki asing itu.

Aku hanya mampu memerhatikan pertelingkahan di antara Zhafran dan Vincent. Namun, keadaan tubuh aku yang semakin lemah membuatkan aku sudah tidak mampu membuka mata. Pandangan mata aku menjadi gelap dan aku tidak sedar apa yang berlaku seterusnya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience