12 April 1999.
Aku melangkah kaki dengan rasa debar ke dewan sekolah. Peluh dingin memercik di dahi. Bibir aku tidak jemu membisikkan kalimah-kalimah suci sebagai perisai penenang diri. Hari ini keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akan diumumkan. Keputusan yang bakal mencorakkan hala tuju kehidupan aku selepas ini. Keputusan yang akan menentukan sama ada impian yang aku lakarkan sejak tiga tahun yang lalu akan terlaksana atau tidak. Ya, impian untuk mengikut jejak langkah Zhafran, yang kini sedang menyambung pengajian di University of Warwick, United Kingdom. Bukan itu sahaja, aku juga berazam untuk mengambil jurusan yang sama dengan Zhafran, kejuruteraan komputer.
Sampai sahaja di dewan sekolah, aku lihat sudah ramai pelajar yang sedang beratur untuk mendapatkan keputusan masing-masing. Pelbagai aksi dan ragam yang disajikan di hadapan mata aku. Ada yang berwajah gembira, mungkin sedang meraikan keputusan cemerlang yang diperoleh. Tidak kurang juga yang berwajah moyok, mungkin keputusan yang dicapai tidak seperti yang dihajati. Bagaimana pula dengan nasib aku nanti? Dalam menahan rasa gentar di hati, aku sabar menunggu giliran ku.
“Tahniah, Atiya Mawaddah. Kamu mendapat keputusan yang cemerlang. Pangkat satu dengan lapan agregat” tutur Cikgu Rukiah, guru matematik tambahan aku sambil menghulurkan slip keputusan kepada aku.
“Betul ke cikgu? Alhamdulillah” tanya aku seakan tidak percaya. Aku menyambut slip keputusan dengan tangan aku yang sudah sejuk beku. Gred yang dicetak di atas slip itu ku tilik satu persatu. Walaupun aku tidak mendapat keputusan yang melayakkan aku untuk menjadi pelajar terbaik sekolah, namun aku bersyukur kerana sekurang-kurangnya aku berada di dalam kelompok pelajar cemerlang. Syukur akhirnya doa aku dimakbulkan oleh-Nya.
“Alhamdulillah. Kamu sudah belajar bersungguh-sungguh. Keputusan yang kamu dapat ini memang berbaloi dengan usaha kamu” ujar Cikgu Rukiah sambil menganggukkan kepalanya mengiakan pertanyaan aku.
“Terima kasih, cikgu. Ini semua berkat bimbingan dan tunjuk ajar cikgu juga” balas aku sambil menyalami dan memeluk tubuh kurus Cikgu Rukiah. Jasa dan pengorbanan seorang guru yang sanggup membakar diri seperti lilin demi anak didik mereka memang patut dihargai.
Usai mengucapkan terima kasih kepada guru-guru yang pernah bertungkus-lumus menabur jasa dalam mendidik ku, aku menyertai beberapa rakan sekelas aku yang sedang meraikan kejayaan mereka. Kegembiraan berganda-ganda yang aku rasakan apabila semua rakan dalam study group aku mendapat keputusan yang disasarkan. Tidak sia-sia usaha kami bersengkang mata menelaah setiap mata pelajaran secara berkumpulan selama ini.
Tidak sabar ingin ku khabarkan berita yang cukup menggembirakan ini kepada ibu dan abah yang setia menanti di rumah. Saat ini, aku rasa ingin terbang ke United Kingdom, ingin ku kongsi keputusan ini dengan Zhafran. Ingin melihat senyuman bangganya setiap kali aku mendapat kejayaan walau dalam apa jua perkara yang aku lakukan. Dengan sedikit usaha lagi, impian aku untuk mengikut jejak langkah Zhafran pasti akan terlaksana. Insya-Allah!
Share this novel