Tarikh Mei 17 1988.
Ya kau takkan lupa dan aku masih ingat tarikh keramat ini. Ingatan ku di bawa untuk mengimbau kenangan pada sebuah pertemuan. Pertemuan di antara dua orang kanak-kanak yang telah menjalin sebuah ikatan persahabatan yang akrab.
Kring! Loceng berbunyi nyaring menandakan waktu rehat telah bermula. Setelah Cikgu Zariah menamatkan kelas, aku bergerak seorang diri menuju ke kantin sekolah bersama dengan botol air Ribena yang dibekalkan oleh ibu ku. Dengan muka yang cemberut, langkah kaki ku ayun lemah. Aku melilau pandangan, memerhatikan suasana sekeliling dengan perasaan asing. Pelbagai ragam kanak-kanak yang sebaya dengan aku langsung tidak menarik minat ku untuk merasa teruja berada di situ.
“Ibu, Atie nak balik rumah” bisik ku lirih. Tubir mata ku digenangi air mata. Masuk hari ini, sudah tiga hari aku dimasukkan ke Sekolah Kebangsaan Ibn Qayyim dan ditempatkan di darjah 1 Amanah. Semalam dan kelmarin, abah ada datang menjenguk aku pada waktu rehat. Jadi, kurang lah sedikit rasa sedih yang bersarang di hati. Tetapi hari ini apabila abah memutuskan untuk membiarkan aku berdikari, aku menjadi sayu dan merasa canggung. Pagi-pagi sebelum ke sekolah aku mengamuk. Memberontak kerana aku tidak biasa apabila terpaksa berjauhan dengan ibu walaupun hanya untuk tempoh beberapa jam. Aku memang budak yang cengeng kan!
“Atiya Mawaddah” aku terpisat-pisat tatkala mendengar nama ku dipanggil. Kelihatan seorang budak lelaki yang lengkap dengan uniform coklat dan bertali leher menghampiri ku. Aku perhatikan budak lelaki itu dengan pandangan pelik. Kenapa dia pakai baju warna lain? Tak sama warna macam baju aku dan budak-budak lain? Terbit rasa ingin tahu di hatiku.
“Duit awak jatuh tadi” budak lelaki itu menghulurkan duit syiling lima puluh sen pada ku. Aku menyeluk poket ku. Sah, duit yang abah berikan tiada. Dengan teragak-agak aku mengambil duit itu dan bersedia untuk berlalu pergi.
“Kenapa muka awak sedih?” budak lelaki itu mengekori ku. Entah kenapa soalan budak lelaki itu membuatkan hatiku bertambah sayu. Aku hanya membiarkan sepi pertanyaannya.
“Awak tak suka sekolah dekat sini ke? Ke awak rindu dekat mak awak?” tanya budak itu lagi tanpa putus asa. Apabila dia menyebut perkataan ‘mak’, aku sudah tidak dapat menahan kesedihan. Di saat itu juga akhirnya aku meraung memanggil-manggil nama ibu.
“Ibu..” teriak aku dalam tangisan yang semakin menjadi-jadi. Wajah budak lelaki itu berubah pucat. Mungkin dia tidak menyangka soalannya itu boleh membuatkan aku menangis.
“Shhh..awak janganlah nangis. Ramai orang tengok tu, awak tak malu ke?” pujuk budak lelaki itu. Saat itu, aku sedar ramai budak-budak yang telah mengerumuni kami berdua. Tangisan aku yang nyaring sudah semestinya menggamit rasa ingin tahu mereka.
“Saya nak ibu saya..” tangisan aku semakin mendayu-dayu. Air mata aku sudah berjejeran jatuh membasahi pipi ku. Hingus meleleh keluar dari lubang hidung.
“Bila dah habis waktu sekolah, nanti ibu awak datanglah ambil awak. Sshhh..jangan nangis ye” budak lelaki itu menepuk-nepuk bahu ku lagak seperti seorang abang. Namun, pujukan itu langsung tidak berjaya membuatkan aku berhenti meraung.
“Saya nak ibu saya sekarang juga” raung ku lagi langsung tidak termakan dengan kata-kata budak lelaki itu.
“Awak berhentilah menangis. Apa kata, saya belanja awak aiskrim poli nak?” kata-kata budak lelaki itu membuatkan aku serta-merta berhenti menangis. Terbayang di ruang mata keenakan dan kesejukan aiskrim polipop yang boleh dipatahkan di bahagian tengahnya menjadi dua. Langsung membuatkan aku terlupa pada ibu.
“Betul awak nak belikan saya aiskrim poli?” tanya ku dengan suara yang sengau. Air mata dan hingus ku kesat dengan lengan uniform sekolah aku. Memang tidak senonoh!
“Betul, saya tak tipu. Jom kita pergi beli sekarang” ajak budak lelaki itu sambil memimpin tangan ku ke arah kantin. Akhirnya, wajah aku yang moyok telah bertukar ceria apabila aiskrim polipop berada di tangan. Senyuman lebar terukir di wajah. Dengan penuh aksi aku mematahkan aiskrim itu dengan menggunakan kepala lutut ku. Tanpa lengah, aku menghisap sebahagian aiskrim polipop yang telah dipatahkan dengan asyiknya. Budak lelaki itu tidak berkelip-kelip memandang ku, mungkin terliur.
“Nah, awak ambil yang ini” aku mengunjukkan sebahagian lagi aiskrim polipop yang tinggal kepada budak lelaki itu. Tanpa teragak, dia menyambut aiskrim yang aku hulurkan. Pelik juga apabila budak itu tidak mahu membelikan aiskrim polipop untuk dirinya sendiri.
“Nama awak apa?” baru aku teringat yang aku masih belum tahu nama budak lelaki itu. Teruk betul aku ini kan? Dah dapat hadiah aiskrim baru nak berkawan.
“Nama saya Alif Zhafran Bin Hakimi. Nama awak Atiya Mawaddah kan?” beritahu budak lelaki itu sambil turut asyik menikmati aiskrim polipop.
“Mana awak tahu?” soal aku pelik.
“Tu, dekat baju awak tu” budak lelaki bernama Zhafran itu menunjukkan tag nama yang melekat di bahagian kiri baju sekolah aku.
“Umur awak berapa tahun?” tanya aku lagi.
“Umur saya sepuluh tahun. Awak baru darjah satu kan?” aku hanya membalas pertanyaan yang diutarakan Zhafran dengan anggukan. Padanlah fizikal budak lelaki ini jauh lebih tinggi dari aku.
“Kenapa awak pakai baju warna lain ek?” aku bertanya ingin tahu.
“Sebab saya kan pengawas” aku memandang Zhafran pelik, tidak memahami apa yang diperkatakan olehnya.
“Pengawas tu apa?” tanya ku lagi.
“Cikgu cakap pengawas ini macam penolong pada cikgu. Kena jaga disiplin murid-murid dekat sekolah ini. Ambil nama pelajar yang datang lewat ke sekolah, kena jaga barisan masa perhimpunan” terang Zhafran.
“Ooooo…Nanti saya pun nak jadi pengawas juga lah” aku hanya memuncungkan mulut. Aku hanya mengiakan sahaja penerangan Zhafran walaupun sebenarnya aku tidak berapa faham pun. Maklumlah, apalah sangat tahap kefahaman seorang budak berusia tujuh tahun jika hendak dibandingkan dengan Zhafran yang berumur sepuluh tahun pada masa itu. Tetapi, jauh di dalam hati kanak-kanak aku, aku menyimpan azam untuk bergelar pengawas. Aku ingin mengikut langkah Zhafran.
Sejak hari itu, aku menjadi rakan sepermainan Zhafran yang paling kamceng. Sikap Zhafran yang sering melindungi dan membela aku seperti adiknya sendiri membuatkan aku merasa selamat apabila berada di sisinya. Keakraban kami juga menyebabkan hubungan Zhafran dengan ibu dan abah aku turut menjadi rapat. Yalah, rumah keluarga aku diibaratkan seperti rumah kedua Zhafran. Malah, boleh dikatakan Zhafran banyak menghabiskan masa bersama aku. Mungkin dia merasa sunyi berada di rumah besarnya sendiri. Mama Zhafran sudah meninggal dunia semasa melahirkannya. Papa Zhafran pula sibuk dengan kerja sehingga jarang memberikan perhatian kepada anak tunggalnya itu. Sejak hari itu juga, aku sudah tidak lagi meraung apabila dihantar ke sekolah. Malah, semakin hari aku semakin seronok dengan dunia baru aku sebagai seorang pelajar sekolah. Punyai ramai kawan dan yang paling penting ada Alif Zhafran Hakimi.
Share this novel