Part 3

Romance Series 1890

Part 3

SETELAH membeli tiket bas, Yasna Malaika kemudian menuju ke platform 05B dan mencari-cari nombor bas 6015. Kebetulan bas yang dicarinya itu berada di hadapannya, terus saja dia nak ke atas dan mencari tempat duduk paling belakang. Mahukan privasi kononnya. Namun hampa bila beberapa orang gadis juga menuju ke arah yang sama.

Dia duduk di situ sambil-sambil memandang keluar tingkap. Pemandangan sepanjang perjalanan tersebut satu pun tidak menarik minatnya. Entah, mungkin galau yang beraja di jiwa yang membuatkan dia jadi begitu.

Gila! Dia datang sini sebab nak cari ketenangan. Bukan nak mengingatkan semua perkara yang berlaku di Malaysia.

Kerana terlalu penat, Yasna Malaika cuba menutup matanya. Namun keadaan bising dalam bas tersebut membuatkan gadis itu tidak jadi melanjutkan hajatnya tadi.

Terpaksalah dia bertahan hingga sampai ke perhentian yang ditujuinya.

*****

WAJAH tidak puas hati Yasna Malaika membuatkan Makcik Haliza tidak sedap hati. Sejak semalam, anak tunggalnya itu bertingkah begitu. Lebih banyak mendiamkan diri dari hari kebiasaannya.

Pasti hal yang berkaitan dengan anak angkat lelaki keluarga itu, Ahmad Daris yang membuatkan Yasna Malaika jadi begitu. Tidak semena-mena, satu hembusan nafas keluar dari mulutnya.

“Itu pilihan abang kamu sendiri, Yasna,” pujuk Makcik Haliza.

Namun gadis itu tetap mendiamkan diri, tanda dia tetap tidak setuju dengan keputusan Ahmad Daris mahu bertunang dengan orang lain. Bukan pilihan sesiapa, tetapi pilihan hati abangnya itu sendiri.

“Yasna tahu, mak. Tapi, betulkah selama ini abang langsung tak ada perasaan dengan Yasna? Apa kurangnya Yasna, mak?” mahu menitis air mata Yasna Malaika saat ini.

Pilu hatinya mengenangkan abang angkatnya itu bakal jadi milik orang lain. Hatinya bagai dirobek-robek sebaik keputusan tersebut diluahkan pada mereka sekeluarga semalam.

Bukan dia benci pilihan hati abang angkatnya itu, cuma dia tidak boleh menipu dirinya sendiri kerana dia terlalu sayangkan Ahmad Daris. Sejak kecil lagi dia sudah memasang angan-angan mahu berkahwin dengan abang angkatnya itu, alih-alih Ahmad Daris pilih orang lain.

Makcik Haliza geleng kepala. Dia sendiri sudah mati kutu mahu lempar ayat apa lagi pada Yasna Malaika, agar gadis itu mengerti yang selama ini Ahmad Daris cuma menganggapnya sebagai adik kandungnya sendiri meski mereka tidak ada apa-apa pertalian keluarga.

“Dia dah anggap kamu macam adik kandungnya sendiri, Yasna. Terimalah hakikat ni.” Yasna Malaika geleng kepala laju. Wajah tegangnya tadi sudah bertukar sayu. Mungkin bila-bila masa saja air mata bakal tumpah di pipinya yang mulus itu.

“Jangan begini, sayang.” Sekali lagi Makcik Haliza memujuk, agar anak gadisnya itu tidak terus berharap pada yang tidak pasti.

Baru saja dia mahu memeluk Yasna Malaika, gadis itu menjarakkan dirinya. Air mata yang cuba ditahan-tahan sejak tadi akhirnya tumpah juga. Dia tewas dalam menahan rasa kecewa.

“Yasna sayangkan Abang Daris, mak. Sayang sangat.” Bergetar suaranya saat melontarkan ayat itu. Air matanya juga terus mengalir bagai tidak mahu berhenti sahaja.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience