Part 1

Romance Series 1890

Part 1

YASNA MALAIKA mengeluh perlahan. Blog backpacker terkenal dari Malaysia itu dibaca berkali-kali sampai dia tidak sedar kedai GS25 yang mahu ditujuinya sudah tinggal beberapa langkah sahaja lagi dari tempatnya berdiri.

Sebaik saja mengangkat kepala, beberapa orang yang keluar dari kedai itu memandangnya dengan dahi berkerut-kerut. Agaknya hairan kenapa dia berdiri di hadapan kedai itu
macam patung.

Sekali lagi dia hembus nafas. Kali ini lebih keras dan sedikit kuat. Sudah tidak kisah andai ada yang masih memandangnya pelik. Memang hatinya sedang galau sekarang. Galau memikirkan keputusan gilanya ini hingga membawanya jauh ke negara Korea Selatan!

Ah, sudah! Makin difikir, makin sakit pula hatinya. Ada baiknya dia dahulukan mana yang patut. Barulah dia menyambung langkah ke kedai itu untuk membeli T-Money.

T-Money tersebut akan dia gunakan sepanjang berada lima hari di sini. Fungsinya lebih kurang sama macam Touch and
Go di Malaysia.

Usai membeli barang penting itu, Yasna Malaika tidak terus keluar. Dia berjalan-jalan keliling kedai dan berhenti pada satu deretan minuman berbentuk yogurt. Pantas keningnya terangkat kemudian memandang sekeliling. Nak ambil ke atau tak?

Kalau di Malaysia, dia langsung tidak pandang benda itu. Tapi di sini perasaan untuk minum membuak-buak pula. Mentang-mentanglah kat Korea.

“Jangan risau. Minuman tu selamat diminum oleh orang Islam.” Tiba-tiba satu suara muncul membuatkan Yasna Malaika terloncat sedikit.

Lantas pemilik suara itu dicarinya. Pandangannya mati pada satu wajah lelaki berkulit putih dan bermata sepet yang berdiri tidak jauh darinya.

“Sorry?” soal Yasna Malaika mahukan kepastian andai dia tidak salah dengar lelaki di sebelahnya ini cakap Melayu. Rupa Korean kut.

Tanpa menjawab, lelaki kacak itu mengambil satu botol minuman berbentuk yogurt tersebut lalu diberikan pada Yasna Malaika. Teragak-agak gadis itu menyambut. Sebaik minuman itu bertukar tangan, lelaki itu tersenyum kecil.

Ya, Allah! Dia tidak bermimpikan? Kenapalah kacak sangat lelaki yang sedang berdiri di depannya ni?

“Er… orang Melayu atau er… Korean?’ tersekat-sekat suara Yasna Malaika bertanya. Entah, lelaki itu faham atau tidak soalan yang dia tanyakan tadi sedang dia sendiri tidak pasti lelaki yang berdiri di hadapannya itu orang Korea atau Malaysia. Tapi lagak percakapannya tadi bagai tidak kekok pula. Muka macam orang Korea, tapi reti pula cakap Melayu.
Lancar pula tu. Mix kut?

“Ya, Malaysian. Travel seorang?’ soalnya kemudian.

Yasna Malaika angguk-angguk laju. Sudah macam belatuk pun ada. Menyedari tindakan itu, cepat-cepat dia berhenti.

“Kenapa muka macam…” belumpun sempat Yasna Malaika bertanya lebih lanjut, tiba-tiba ada lelaki lain yang menjerit ke arah mereka berdua.

“Abang! Cepat!” seseorang memanggilnya dalam bahasa Korea.

Serentak lelaki itu dan Yasna Malaika menoleh ke arah yang sama. Kemudian dia angkat tangan dan memandang ke arah Yasna Malaika semula.

“Ada jodoh, kita jumpa lagi. Enjoy your holiday!” ucapnya sebelum berlalu.

Yasna Malaika tidak sempat membalas, lelaki itu sudah berlari kecil keluar dari tempat tersebut.
Yasna Malaika jadi tidak puas hati.

“Ada jodoh, jumpa lagi?” dia mengulang kembali ayat tersebut dengan gaya mencebik. Itupun kalau ada jodohlah kan.

Tanpa menunggu lama, Yasna Malaika menuju ke kaunter pembayaran. Sudah lebih sejam dia membuang masa di terminal ini. Dia patut berada di hostelnya untuk berehat, kerana perjalanannya esok bakal mencabar minda dan fizikal. Maklumlah, travel alone.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience