Part 5

Romance Series 1890

Part 5

SATU emel dihantar pada ibunya, mengatakan yang dia sudah selamat tiba di Korea Selatan dan sedang berehat di dalam hostel. Sengaja dia hantar mesej melalui emel kepada ibunya kerana tidak mahu diganggu sepanjang berada di negara K-pop tersebut.

Biarlah, dia mahu bersendirian. Dia juga tidak membeli simkad lain untuk memudahkan keluarganya menghubunginya di situ. Segala mesej-mesej yang masuk di telefonnya itu nanti tidak akan dibalas sampailah dia menjejakkan kakinya semula ke Malaysia.

Tingkap yang tertutup rapat lantas dibuka. Dia pandang keluar, namun yang nampak cuma lampu-lampu jalan dan kedai yang menerangi kawasan tempat tinggalnya itu. Dia pandang jam tangannya pula. Dekat jam 6 petang. Tanpa menunggu lama, dia terus mencapai barangan mandiannya untuk membersihkan diri sebelum menunaikan solat Maghrib dan seterusnya Isyak. Meskipun dia penat, kewajipan sebagai seorang Muslim harus diutamakan.

Usai menunaikan solat Maghrib dan Isyak, Yasna Malaika kembali memandang keluar tingkap. Hatinya sedikit tenteram sesudah menunaikan perkara wajib tersebut.

Lama pandangannya mati di hadapan deretan bangunan yang kelihatan semakin sibuk meski jam sudah melewati jam lapan malam. Waktu di sini dan Malaysia tidak sama. Awal satu jam berbanding di Malaysia, kerana itu dia sudah merasa mengantuk. Lelah petang tadi masih terasa ditambah dengan keadaan perasaannya yang masih berduka.

Esok, Abang Daris akan bertunang. Maksudnya, lepas ni dia sudah tidak boleh berharap apa-apa lagi pada abangnya itu.

Meskipun dia cintakan Abang Daris, tapi tidak sekali-kali dia akan cuba merosakkan hubungan yang dibina. Perlahan-lahan, dia pasti dapat menerima hakikat yang hubungannya dengan Abang Daris itu cuma layak sebagai adik-beradik sahaja. Tidak lebih dari itu.

Kenangan masa lalu segera menerpa ke minda. Lelaki itu terlalu baik padanya. Tidak pernah berkasar, dan kalau bercakap pun lembut sahaja. Marah macam mana sekalipun dia, kalau Abang Daris memujuk terus padam api amarahnya itu.

Di mata Yasna Malaika, Ahmad Daris adalah pilihan hati yang paling tepat. Namun, apakan daya lelaki itu pilih orang lain.

Sebab Abang Daris anggap dia adik sajakah? Sebab tu Abang Daris tak pernah cuba faham perasaannya selama ini. Perasaan yang dia simpan dari kecil untuk berkahwin dengan Abang Daris. Menjadi isteri dan ibu kepada bakal anak-anak mereka nanti.

Tapi, nampaknya angan-angan itu hanya mampu jadi fantasi sampai bila-bila. Abang Daris akan kahwin dengan Kakak Adresia.
Air mata bagai terlalu murah saat ini, terus mengalir bagai tidak mahu berhenti. Sakit, kecewa dan pedih dalam hati hanya dia saja yang mengerti.

Allah, kuatkan dia dalam menempuh hari-hari yang mendatang. Jangan hadirkan rasa benci pada Abang Daris kerana bukan gadis itu pilihannya. Jangan juga hadirkan rasa dendam pada Kakak Adresia kerana merampas orang yang benar-benar dia cintai. Ya, Allah hati ini tidak kuat tanpa-Mu.

Sedang gadis itu terus berduka mengenangkan nasibnya, telefon bimbitnya tiba-tiba mengeluarkan bunyi ‘bip’. Tanda ada emel baru yang masuk. Dari ibu agaknya. Dia berlalu ke situ. Simbol kotak emel dibuka, namun bukan dari ibunya. Dari seorang sahabat yang begitu memahami situasinya itu sekarang.

“Assalamualaikum Yasna. Dah sampai Korea ke? Kenapa tak update dengan aku. Baru pergi Korea dah sombong nampak. ;p” - Husna

Tertawa Yasna Malaika membaca emel tersebut. Bukan sombong, cuma dia lupa maklumkan pada sahabatnya itu. Mesej ditaip pantas untuk membalas kembali emel itu.

“Walaikumsalam. Jam 8.20 pagi tadi aku sampai Incheon Airport. Penat sangat sampai terlupa mesej sesiapa hari ni kecuali mak aku.”- Yasna Malaika.

“Cubalah cerita pengalaman kau masa sampai sana tu. Teruja aku nak dengar. Ada jumpa artis Korea tak? Jealous nyeeeeeeee….”- Husna

Sekali lagi Yasna Malaika ketawa. Nasib baik cuma dia saja dalam bilik kecil tersebut. Buatnya ada orang lain, mesti kena bebel suruh keluar bilik.

“Nantilah aku balik Malaysia aku cerita kat kau. Sekarang ni, aku perlu cari ketenangan jiwa. Kau tau kan kenapa aku sampai sini?”- Yasna Malaika.

Sayu dia membalas mesej sahabatnya itu. Dengan Husna dia tidak pernah berahsia. Diceritakan segala rasa dalam hati. Husna juga tahu, Abang Daris itu adalah calon pilihan hatinya dari kecil. Tapi kini, itu semua jadi memori sahaja.

“Baiklah. Aku tunggu. Sementara kau di situ, aku cadangkan kau kelilinglah mana-mana tempat yang menarik. Sambil-sambil cari jodoh. Kot-kot ada mamat Korea yang sesat berkenan dengan kau kat sana, kau juga yang untung kan?”- Husna

Dia pasti, waktu Husna taip mesej itu dia sudah ketawa guling-guling atas katil. Dari dulu Husna berangan mahu berkahwin dengan orang Korea. Entah, apa yang istimewanya sampai berangan begitu sekali. Penangan Song Jong Ki lah ni agaknya. Tak habis-habis.

“Aku nak berehatlah, Hus. Nanti apa-apa aku emel kau balik. Selamat malam dan assalamualaikum.”- Yasna

Sengaja Yasna Malaika mengakhiri perbualan mereka di situ saja. Walaupun setiap mesej yang dia tulis itu kelihatan seperti dia sudah tenang, namun jauh di lubuk hatinya dia masih bersedih.

“Ok. Baik-baik di situ. Jaga diri dan jangan buat benda-benda bodoh pula. Ingat Allah dan banyakkan istighfar. Aku sayang kau tau, ingat tu. Walaikum salam dan good night too!”- Husna

Emel terakhir dari sahabatnya itu dibaca dalam hati. Sayu sedikit hatinya dengan keprihatinan Husna padanya. Mujur sahabatnya itu memahami keadaannya, kalau tidak hendak diluahkan pada siapa lagi. Telefonnya kembali senyap.

Dia menuju ke tingkap semula. Cermin tingkap yang terbuka kemudian ditutup. Dia mahu lelapkan mata sampai subuh nanti. Esok pagi, dia cuba menjelajah tempat ini dengan berbekalkan informasi dari beberapa blogger yang pernah datang ke sini. Mudah-mudahan tidak sesat.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience