BILIK Fatasya berselerak dengan buku-buku teks setebal satu inci. Kulit buku yang berwarna putih itu dihiasi dengan tulisan yang bukan tulisan rumi. Fidtri terkejut melihat keadaan bilik adiknya. Dia mengambil keputusan untuk menerjah masuk ke bilik adiknya seteolah ketukannya tidak berjawab.
Fidtri mencari susuk tubuh adiknya. Bilik yang gelap menyukarkan pencariannya. Namun dia tetap tidak menyalakan lampu, khuatir adiknya tidak selesa dan akan melakukan sesuatu di luar batasan.
Bunyi heretan kerusi membantu Fidtri menjejaki adiknya. Dia mendekati arah itu. Lantai bilik yang agak luas itu kini hampir dipenuhi dengan buku. Dalam usaha menghampiri adiknya, Fidtri mengutip buku-buku itu satu persatu dan menyusunnya di tepi dinding.
“Adik…”
Esak tangis Fatasya mula kedengaran. Fidtri mula bimbang. Dia hampir kaget mendengar tangisan itu. Tangisan penuh masalah.
“Adik… mari sini, mari dekat abang.”
Fidtri menarik pergelangan tangan adiknya yang berjaya dicapai. Perlahan. Fatasya akhirnya keluar dari persembunyiannya. Di celah antara almari baju dan dinding bilik.
Fidtri membawa adiknya untuk duduk di sofa yang terletak di hujung katil. Duduk bersebelahan. Fidtri menarik kepala adiknya ke bahu. Dia mahu adiknya merembeskan segala tangisan di bahunya. Dia mengusap belakang gadis itu.
Tangisan kian reda. Fatasya mengangkat muka yang disembamkan ke bahu abangnya sebentar tadi. Dia tundukkan wajah. Fidtri cuba mencari wajah yang cuba disembunyikan. Lelehan airmata Fatasya disapu.
“Kenapa, dik?”
Fatasya menunjukkan wajahnya, semula.
“Are you okay?”
Anggukan Fatasya meragukan Fidtri.
“Tak apalah. Adik kemaskan buku-buku ni dulu. Sekejap lagi dah masuk Maghrib. Kita solat berjemaah ya? Abang tunggu adik di bilik solat ya?”
Sekali lagi Fatasya mengangguk. Sebaik susuk tubuh abangnya hilang daripada pandangan, dia bangkit untuk menyusun semula buku-buku yang bertaburan di atas lantai. Dia terduduk berdekatan dengan susunan buku yang abangnya tempatkan di tepi dinding sebentar tadi. Dia menangis teresak-esak.
Share this novel