KEPUTUSAN ujian bulanan sudah dikeluarkan. Markah murid kelas tingkatan empat dan lima di tampal pada papan kenyataan. Dari jauh Fatasya hanya memerhati gelagat murid yang berpusu-pusu untuk melihat markah mereka. Fatasya terus melangkah ke kelas. Langsung tiada niat untuk menjenguk keputusannya.
Fatasya duduk di tempatnya. Dia mengeluarkan sebuah buku untuk menjadi santapan mindanya pagi itu sementara menunggu waktu perhimpunan. Muhaini dan Nadhirah masih tidak kelihatan. Hanya beg mereka terletak elok di tempat duduk mereka. Mungkin mereka juga antara murid yang berasakan di hadapan papan kenyataan sebentar tadi, agak Fatasya sendiri.
“Tasya!” Suara Muhaini mengejutkan Fatasya. Fatasya menoleh.
“Tahniah, awak dapat markah tertinggi dalam subjek Kimia!” Fatasya terkebil-kebil. Antara percaya dengan tidak tentang perkara yang baru sahaja disampaikan ini.
“Kimia?” deras anggukan daripada Muhaini dan Nadhirah. “Tapi …,” Fatasya mematikan katanya di situ. Sebentar kemudian dia meraup wajahnya dengan dua tapak tangannya. Syukurnya dipanjatkan ke hadrat Illahi.
Share this novel