USAI mengimamkan solat, Fidtri menoleh ke arah adiknya. Fatasya tunduk. Bahu Fatasya disentuh.
“Kalau adik ada masalah, adik bagitahu abang ya? Abang akan cuba tolong. Lagipun, cuma kita dua beradik yang tinggal di rumah ini. Abang tahu adik lebih selesa untuk bercerita dengan kak long, tapi, untuk sementara, adik cerita pada abang ya?”
Fatasya tersenyum. Dia mengangguk. Ya, dia seringkali menceritakan masalahnya kepada Farisah, kakak mereka yang sulung. Pada Fatasya, hanya kakak dia sahaja yang mampu memahaminya.
Fatasya bangkit untuk menyimpan telekung yang sudah dilipat kemas. Fidtri hanya mengekori langkah adiknya dengan ekor mata. Selesai mengemaskan bilik solat, Fatasya meninggalkan abangnya sendiri. Dia menghilangkan diri ke bilik tidurnya yang berselerak.
Fatasya duduk di birai katil. Air matanya bergenang. Sekejap dia terngiang-ngiang suara guru kaunseling sekolahnya, “Kalau kita ada masalah, mengadu pada-Nya. Dia yang Maha Memahami keperluan hamba-Nya. Dia yang menurunkan masalah kepada kita, dan hanya dia yang ada penyelesaiannya. Dan, ingat, Dia tidak akan menguji hamba-Nya dengan ujian yang tidak mampu ditanggung oleh hamba-Nya itu.”
‘Ya Allah, aku terlalu banyak melakukan maksiat terhadap-Mu. Sudah terlalu banyak titik noda di hati ini. Ya Allah, sudikah Engkau mengampunkanku? Sungguh, aku berasa seperti tidak layak untuk menerima keampunan-Mu Allah.’
Share this novel