BAB 9

Drama Completed 3227

DERINGAN loceng menandakan waktu menjawab sudah tamat. Fatasya meraup wajahnya dengan kedua-dua tapak tangan. Langsung dia tidak sedari bahawa tingkahnya itu diperhatikan oleh Muhaini dan Nadhirah. Fatasya mengemaskan mejanya yang sedikit berselerak dengan alat tulis.

“Saya nak pergi jumpa Ustazah Lina sekejap. Nanti kita balik sama-sama ya?”

“Okey. Kami tunggu awak nanti.”

Fatasya menghilangkan dirinya dari penglihatan rakan sekelasnya. Pagi tadi dia meminta supaya Ustazah Lina meluangkan sedikit masa untuknya. Banyak perkara yang dia perlu dia luahkan kepada gurunya itu sebagai ganti kepada kakaknya, Farisah. Ustazah Lina guru yang paling rapat dan sering berkongsi cerita dengan Fatasya.

Fatasya menjengah ke dalam bilik guru mencari kelibat Ustazah Lina. Ustazah Lina melambai-lambai ke arah Fatasya mengisyaratkan supaya Fatasya masuk. Fatasya duduk bersila di atas lantai sementara Ustazah Lina melabuhkan punggungnya di atas kerusi berdepan dengan Fatasya.

“Ya Fatasya? Apa yang awak nak bincang dengan saya tu? Macam serious je.” Ustazah Lina membuka bicara.

“Ustazah …,”

“Ya Tasya?”

“Saya tak tahu dari mana saya nak mulakan.”

“Relax. Tarik nafas dalam-dalam. Tenangkan hati. Biarkan hati tu berzikir. Minta Allah permudahkan urusan ini.” Ustazah Lina tampak tenang dan menenangkan hati Fatasya yang bercelaru.

“Saya tak tahu apa agama saya sekarang, ustazah.” Ustazah Lina sedikit tersentak mendengar kenyataan Fatasya. Fatasya memberanikan diri mengangkat muka untuk bertentang mata dengan Ustazah Lina.

“Sejak saya mula didatangi haid, saya tak pernah solat dengan sempurna. Solat saya tak pernah cukup 5 waktu sehari semalam. Apatah lagi nak tunaikan yang sunat. Ustazah, saya pernah dengar penceramah-penceramah cakap, kata mereka, sekali kita tinggalkan solat kita, gugur iman kita. Betulkan, ustazah?”

“Fatasya, solat bukan mainan. Sebenarnya, solat tu merupakan salah satu cara untuk kita tunjukkan tanda syukur kita kepada Allah. Allah ciptakan awak, pernah awak bersyukur? Allah beri nikmat kesihatan, berikan awak ibu bapa yang sayang pada awak, keluarga yang care tentang awak, pinjamkan oksigen pada awak tanpa minta sebarang bayaran, pernah awak bersyukur? Jadi, dengan solat sahaja boleh membuktikan bahawa awak menghargai dan sangat berterima kasih kepada Allah atas segala nikmat yang awak terima sekarang ni.”

“Saya tahu. Tapi entahlah ustazah. Saya tak tahu kenapa berat sangat saya nak tunaikan solat. Kalau solat pun dah hilang entah kemana, hendak mengaji jauh sekali. Sampai ke tahap sekarang, saya rasa lidah saya dah keras untuk sebut kalimah Allah. Saya rasa berdosa sangat, ustazah.” Ustazah Lina memegang bahu Fatasya lembut. Esak tangis Fatasya mula kedengaran. Dia tahu gadis itu benar-benar menyesali perbuatannya.

“Ustazah, apa agama saya sekarang ustazah? Saya dah murtad ke?”

“Allah Maha Pengampun, Tasya. Balik nanti, awak buat solat sunat Taubat. Mohon keampunan dari-Nya. Fatasya, Allah tak pernah kecewakan hamba-Nya. Allah tak kejam. Allah Maha Penyayang dan memahami keperluan hambanya. Mohon pada-Nya.” Ustazah Lina berbicara dengan senyuma. Manis. Fatasya hanya mengangguk. Tangannya terus menyeka air mata yang masih deras mengalir.

“Tapi sebelum tu, awak kena belajar mengaji semula. Kalau mengaji tak betul, macam mana nak solat. Betul tak?”

“Betul. Ustazah boleh bantu saya?”

“InsyaAllah. Sekarang ni, awak balik dulu. Buat apa yang saya cakapkan tadi. Tenangkan hati. Jangan serabutkan otak sangat. Awak tengah exam, kan? Fokus pada exam. Jangan terlalu fikirkan masalah awak. Tapi jangan pula lupakan Allah yang akan sentiasa membantu permudahkan urusan awak.”

Fatasya senyum. Senyumannya dibalas Ustazah Lina. Langkah Fatasya dituruti dengan ekor mata Ustazah Lina.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience