BAB 1

Romance Completed 3284

LANGKAHKU kian memanjang. Peluh mulai merintik di dahi. Termengah-mengah nafasku ketika mendaki bukit menuju ke fakulti. Tak guna! Hatiku membentak. Jam di pergelangan tangan sudah menujukkan pukul 8.40 pagi. Bermakna kelas sudah bermula sepuluh minit yang lalu.

Ketika itu, terbayang wajah pensyarahku, Encik Fikri yang padaku cukup bengis tetapi ‘poyo’! Setahu aku, Encik Fikri cukup pantang kalau pelajarnya datang lebih lewat darinya.

Sikapnya yang mudah mengamuk dan garang tak bertempat itu membuatkan aku sering menggelarnya ‘bapak singa’. Sesuai dengan karektornya yang meloyakan tekakku itu.

Aduh! Macam manalah aku boleh terlewat bangun pagi tadi? Yang budak berdua tu pun satu, bukannya nak kejutkan aku. Tahu-tahu aja dah pergi. Kawan sebilik apa namanya ini kalau tak mahu tolong-menolong!

Sempat aku menyeranah dua orang rakan sebilikku. Kadang-kala aku sendiri tak faham akan sikap mereka yang suka melakukan hal masing-masing tanpa mempedulikan antara satu sama yang lain.

Bukankah sebagai rakan yang tinggal sebilik harus mengambil berat dan saling membantu rakan sebilik yang lain?

Tiba di hadapan pintu bilik tutorial. Dengan lafaz bismillah, aku membuka perlahan dedaun pintu tersebut lalu memberi salam.

“Assalamualaikum,” ucapku perlahan. Tanpa mendengar sebarang suara, semua mata tertumpu ke arahku. Dengan wajah kalut, aku melangkah perlahan menuju ke tempatku.

“Nanti dulu, Cik Dylea! Siapa yang benarkan awak duduk?” Langkahku terhenti sebaik suara bapak singa itu bergema di segenap ruang bilik tutorial tersebut. Dengan hati yang berdetak, aku ke hadapan kelas semula.

“Apa alasan awak lewat ke kelas saya pagi ni?” suaranya bergema lagi. Aku tertunduk, tak sanggup menentang wajah bengis bapak singa itu.

“Saya… err… saya…” tergagap-gagap aku hendak menjawab. Puas aku memikirkan alasan yang terbaik untuknya.

“Saya apa!” sergahnya menyentakkanku.

“Saya terlewat bangun!” Alamak… macam mana boleh terlepas ni? Aduh… bodoh! Bodoh! Aku mengutuk diriku sendiri.

“Oh, awak lewat bangun! Apa awak buat malam tadi?” Argh! Apa aku nak jawab ni? Takkan aku nak jawab dengan jujur, yang aku berchatting malam tadi? Matilah kalau macam ni! Kuketap bibirku kuat, memandang keadaan sekeliling. Kesemua mata masih tertumpu ke arahku yang sedang terkulat-kulat di hadapan kelas.

“Awak tahu tak Dylea. Masa awak masuk tadi, saya dah mulakan pembelajaran. Bila pintu tu terbuka, saya terpaksa berhenti. Okey, saya nak tanya kepada semua. Waktu dia masuk tadi, mengganggu tak agenda kita?” Semua senyap. Mungkin serba-salah hendak menjawab.

“Saya tanya, mengganggu tak?” Mereka mengiakan dalam keterpaksaan.

“Tengok, Dylea. Kawan-kawan awak yang lain pun kata mengganggu. Jadi sekarang, awak tahu apa nak buat, kan?” soalnya. Aku mengangguk, memahami apa yang dimaksudkan oleh bapak singa ini.

“Ya, Encik Fikri.”

“Jadi awak tunggu apa lagi?” kuhelakan nafas berat, lalu melangkah perlahan keluar dari bilik tutorial yang panas berbahang itu dengan perasaan yang sebal. Puas hati kau, wahai bapak singa?! Dahlah kau malukan aku depan kelas. Lepas tu kau halau aku keluar dari kelas dan secara tak langsung membuatkan kedatanganku pagi ini kosong! Tak guna kau, bapak singa! Bentak hatiku geram.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience