BAB 7

Romance Completed 3284

HARI yang ditunggu-tunggu tiba jua. Keputusan peperiksaan turut telah diumumkan seminggu yang lalu. Alhamdulillah, aku lulus kesemua matapelajaran yang kuambil sekaligus menandakan perjuanganku telah pun tamat.

Hari ini, aku akan bergelar tunangan orang. Di majlis yang serba serdehana itu, aku hanya memakai sepasang kebaya satin peach yang diadun dengan kain lace berwarna kuning air. Kepalaku turut terlitup dengan sehelai selendang lace dari warna yang sedondon dengan bajuku.

Wajahku hanya disolek nipis, biar ia kelihatan asli. Mama dan ayah hanya tersenyum melihatku. Namun, walaupun bibirku sentiasa terukir dengan senyuman, tetapi jauh di sudut hatiku masih tertanya-tanya siapakah gerangan tunanganku itu.

Sehinggalah jari manisku disarungkan dengan sebentuk cincin belah rotan oleh bakal emak mentuaku. Kurenung wajah tua itu lama. Wajahnya seiras wajah seseorang, tetapi aku tidak dapat mengecamnya.

Sebaik selesai majlis pertunangan, aku melangkah ke halaman rumah untuk menghantar pihak keluarga lelaki yang mahu beransur pulang. Sehinggalah kenderaan rombongan lelaki hilang dari pandangan, barulah aku melangkah untuk masuk semula.

Namun, langkahku mati tiba-tiba. Seperti ada sesuatu yang menarikku untuk menoleh ke belakang semula. Alangkah terkejutnya aku dengan kehadiran Encik Fikri. Dia bersalaman dengan saudara-maraku yang berada di luar pagar. Yang menghairankanku, sebaik dia bersalaman dengan ayah, terus sahaja ayah memeluknya erat.

“Encik Fikri! Apa Encik Fikri buat kat sini? Macam mana Encik Fikri boleh tahu rumah saya ni?” soalku bertubi-tubi. Encik Fikri hanya tersenyum. Eh, senyum pulak orang tua ni! Getus hatiku.

“Tak payahlah berencik-encik lagi, Dylea. Mulai sekarang, panggil aja abang,” ucapnya bersahaja. Abang? Apahal pulak aku nak kena panggil dia abang? Buang tabiat ke?

“Maafkan abang, Dylea sebab tak berterus-terang dengan Dylea. Sebenarnya, memang abang yang rancang pertunangan ni. Abang jatuh hati pada Dylea sejak kali pertama abang tengok Dylea menangis semasa di bawah pokok hari tu. Abang tak tahu macam mana nak luahkan perasaan abang ni pada Dylea. Tambahan pulak, waktu tu Dylea masih belajar. Abang tak mahu pelajaran Dylea terganggu. Sebab tu abang tunggu sampailah Dylea habis study. Kalau Dylea nak tahu, Puan Aisyah yang selama ini menjadi orang tengah antara kita. Dia yang cadangkan abang supaya hantar rombongan meminang,” terangnya panjang. Terkejut beruk aku dibuatnya.

Terkaku aku di situ. Tak percaya, lelaki yang berada di hadapanku ini adalah tunanganku. Siapa sangka, dia yang dulunya cukup kubenci akhirnya bakal menjadi teman seumur hidupku. Ah, takdir Ilahi. Sesiapapun takkan tahu akan rancanganNya.

“Dylea, sudi tak Dylea terima abang seadanya?” soalnya lembut. Aku tertunduk membisu. Malu hendak bertentang mata dengannya. Di saat ini, aku rasa seperti mahu menangis tetapi airmataku bagaikan degil untuk keluar. Tak sangka, segarang-garang Encik Fikri ini, rupa-rupanya terselit juga sikap lembut dan romantiknya.

“Dylea…” Tanganku digenggamnya erat. Aku rasa hendak menjerit pun ada. Mana tidaknya, pensyarah yang dulu menjadi musuh nombor satuku akan menjadi suami aku.

“Keputusan dah pun dibuat. Majlis pertunangan pun dah selesai. Nak kata apa lagi? Didie akan belajar terima abang seadanya,” ucapku perlahan.

“Terima kasih, sayang. So, boleh abang panggil Didie?” soalnya. Aku mengangguk. Akhirnya airmata yang bertakung di tubir mataku menitis jua. Tangan Encik Fikri kusalam dan kucium lembut. Ops! Bukan Encik Fikri, tetapi Abang Fikri…

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience