BAB 2

Romance Completed 1046

Setibanya di dapur, aku meluahkan segala rasa yang bersarang di dalam hati ke sinki. Aku buka pili dan membiarkan air mengalir laju sama laju dengan air mataku saat ini. Rupa-rupanya air mataku ini terlalu murah untuk insan yang bernama suami.

Mendengar derapan tapak kaki Edi yang menuruni anak tangga membuatkan aku terasa sesak berada di dapur itu. Aku tahu dia dengar tangisan aku tadi. Cepat-cepat aku hapus air mata dan menutup pili. Aku pura-pura bersahaja. Sama sekali tidak memandang wajah Edi yang sudah mengambil tempat di meja makan. Lauk yang sudah ku masak pagi tadi aku hangatkan kembali.

“Tak payah kau nak bazirkan air lain kali. Aku yang bayar bil air tu. Mahal kau tahu tak?” jerkah Edi.

Ikutkan hati, mahu sahaja aku cili-cilikan mulut Edi itu. Biar dia tahu kata-kata dia pedas macam cili tu. Namun, aku tolak perasaan itu jauh-jauh. Mangkuk yang sudah berisi lauk ikan parang asam pedas dan sayur peria goreng aku letakkan atas meja. Pinggan dan cawan Edi aku letakkan di hadapannya. Aku sendukkan nasi buat Edi dan menuangkan air jus oren kegemarannya ke dalam cawan.

Edi hanya memandang setiap gerak geri aku tanpa bicara. Aku juga tidak berani untuk bersuara. Bagi aku, daripada Edi bersuara dan mengucapkan kata-kata yang membuat aku sakit hati, lebih baik dia diam. Aku tidak duduk makan sama kerana seleraku mati.

“Nara naik atas dulu. Nak solat maghrib,” ujarku seraya meninggalkan Edi di situ seorang diri. Terlupa berpesan sesuatu, aku kembali ke dapur. Edi memandangku dengan wajah pelik.

“Pinggan dan cawan tu, biarkan sahaja atas meja dulu. Nanti Nara kemaskan lepas solat,” ucapku perlahan dan berlalu kembali.

Aku mendaki satu-persatu anak tangga dengan hati berbunga. Bertambah juga Edi makan masakan aku. Alhamdulillah. Setidaknya Edi makan apa yang aku masak.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience