BAB 8

Romance Completed 1046

SETELAH pasti semuanya sudah terhidang di atas meja, aku hulurkan kendi kepada Edi. Edi menyambut huluranku tanpa sepatah kata. Edi menadah tangan membaca doa makan. Aku turut menadah tangan dan mengaminkan doanya.

“Nara nak cakap sesuatu,” ujarku sewaktu menghulurkan nasi yang sudah disenduk ke dalam pinggan Edi.

“Aku pun nak cakap sesuatu,” ujar Edi perlahan.

Aku diam. Aku hulurkan mangkuk berisi ayam masak kari kegemaran Edi kepadanya. Edi mengambil seketul ayam beserta kuah dan menghulurkan kembali mangkuk tersebut kepada aku.

Dan sudahnya, kami sama-sama diam. Aku tidak jadi memberitahu hal yang aku mahu maklumkan pada Edi. Edi juga tidak berketik sedikit pun sehingga selesai makan. Aku angkat pinggan dan gelas ke sinki seperti biasa. Tidak seperti selalu, Edi menemani aku sehingga aku selesai membasuh pinggan pada hari itu. Dan kami mendaki anak tangga menuju bilik tidur bersama-sama tanpa sepatah kata.

Edi duduk di birai katil. Aku duduk bersimpuh di hadapannya. Aku tidak peduli. Hari ini, biarlah aku merendah diri. Biarlah aku yang menyerah kalah dalam perebutan cinta Edi. Tangan Edi aku capai dan aku genggam erat. Aku lihat Edi memandang aku dengan wajah pelik, namun dia tidak menepis pegangan tanganku seperti selalu.

“Abang, Nara izinkan abang kalau abang nak menikah dengan Lisa,” ujar aku tenang. Inilah perkara yang aku ingin beritahu Edi sewaktu di meja makan tadi. Rasa terluah semua rasa yang merenggut ketenangan hatiku sejak lima tahun yang dulu.

“Nara tahu kita memang tak boleh hidup bersama dari dulu lagi. Cuma waktu tu Nara fikir, apa salahnya kalau Nara mencuba. Tapi lima tahun dah Nara cuba, dan Nara tak pernah berhenti mencuba untuk buat abang cintakan Nara. Tapi lima tahun tu juga Nara kecewa. Dalam hati abang tak pernah ada nama Nara . Dalam hati abang cuma ada Lisa ,” ujarku panjang lebar.

Edi hanya diam mendengar setiap kata-kataku. Aku rasa sepanjang lima tahun ini, ini kali pertama dia mendengar setiap kata-kataku dengan penuh minat. Mungkin berminat setelah aku memberikan lampu hijau kepadanya untuk bernikah dengan Lisa.

“Nara tahu Nara tak boleh ganti tempat Lisa dalam hati abang. Nara tahu Nara tak cantik macam Lisa. Nara tahu Nara tidak sebaik Lisa. Tapi percayalah, Nara dah cuba jadi isteri yang terbaik untuk abang. Nara tak tahu lagi macam mana Nara nak buat lagi supaya abang boleh nampak semua kelebihan yang ada pada Nara yang Lisa tak ada. Nara dah penat abang. Nara dah penat sangat jadi isteri abang sepanjang lima tahun ini. Maafkan Nara . Nara mohon abang lepaskanlah Nara ,” ujarku dalam sendu. Air mata yang mengalir aku kesat.

Edi menarik tangannya dari genggamanku dan berlalu ke bilik mandi. Aku pula dengan sisa kekuatan yang ada, menapak keluar mengambil angin di balkoni. Aku pandang langit malam. Kelam tanpa bulan dan bintang. Masih merajukkah bintang dan bulan pada aku?

Aku masuk apabila yakin Edi sudah terlelap. Sejak aku suarakan isi hatiku tadi, aku lihat Edi hanya bersandar pada kepala katil dan memandang potret perkahwinan kami yang tergantung di dinding bilik. Sekejap-sekejap aku lihat dia memandang ke arah aku.

Aku tarik comforter agar menutupi badan Edi. Aku renung wajahnya dalam-dalam.

“Maafkan Nara abang. Nara terpaksa buat semua ini. Untuk abang, untuk Nara, untuk kita,” ujarku separuh berbisik di telinga Edi sebelum aku baring menghadap ke luar.

Tidak lama kemudian, tangan Edi memeluk pinggangku dari arah belakang. Aku agak terperanjat namun aku hanya membiarkannya. Aku berpura-pura sudah tidur.

“Betul Nara dah buat keputusan? Abang harap Nara dapat fikir elok-elok sebelum buat keputusan,” bisik Edi di telingaku.

Lidah ku keluh untuk menutur kata. Sama sekali aku tidak memberi respon. Enough is enough! Aku sudah membuat keputusan setelah lima tahun aku berfikir. Isteri mana yang sanggup nak tinggal bertahun-tahun dengan suami yang tidak pernah mencintai dirinya? Isteri mana yang sanggup melihat suaminya keluar dengan perempuan lain di hadapan mata?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience