BAB 3

Romance Completed 1046

MALAM itu seperti malam-malam sebelumnya. Aku lebih senang berpaling ke arah pintu kaca di bilik kami. Aku mencari-cari sang rembulan yang menemani aku seperti malam-malam sebelumnya. Namun, malam ini sang rembulan bagaikan merajuk dengan aku. Bintang juga seolah-olah berpakat dengan sang rembulan agar tidak menemani aku malam ini.

Dadaku berdebar apabila Edi merebahkan badannya di sebelahku. Aku memegang kuat bantal gulingku. Aku hanya berdoa dalam hati agar Edi tidak mengganggu ketenanganku malam ini. Aku berharap aku tidak tidur bermandikan air mata seperti malam-malam sebelumnya sambil disaksikan sang bulan dan bintang.

“Tak baik tidur memalingkan badan daripada suami. Tak tahu ke?” ujar Edi lemah.

Mendengar kata-katanya, cepat-cepat aku memalingkan badanku dan memandang wajah Edi yang kelihatan sangat mengantuk. Matanya sudah terpejam rapat. Aku agak dia sudah tidur kerana badannya sudah kaku.

Aku memberanikan diri. Perlahan-lahan, jari-jemariku menyentuh rambut Edi. Turun ke dahinya. Aku lihat baik-baik keningnya. Nipis dan kemas. Jariku kembali menyentuh matanya. Biasanya mata itu terlihat sepet jika tanpa kaca mata. Mengingat itu, bibirku mengukir senyum. Alisnya aku lalukan pada jemariku. Lentik. Aku sentuh alisku sendiri. Hampa. Tidak selentik alis Edi. Jari jemariku menari pula di atas hidung Edi. Mancung. Dan akhir sekali aku sentuh bibir Edi. Bibir itu merah kerana Edi tidak pernah merokok. Aku senyum sendiri. Dia kesayangan aku. Hanya dia dalam hati aku.

Aku terperanjat apabila tangan Edi tiba-tiba memegang jariku yang masih mendarat di atas bibirnya. Mahu kusentap jari-jemariku saat itu juga dan berpura-pura aku mengingau hingga terpegang bibirnya tetapi aku lihat mata Edi masih terpejam rapat. Aku lepaskan keluhan. Lega. Rasa mahu tercabut jantungku. Jari-jemariku masih dalam genggaman Edi. Aku leraikan satu-persatu jari-jari Edi yang memegang kuat jari-jemariku.

Comforter yang ada di atas katil itu aku tarik agar badan Edi dibaluti supaya dia tidak kedinginan. Aku sendiri berlindung di bawah comforter yang sama biasanya kerana kedinginan. Aku palingkan semula badan menghadap pintu kaca yang sengaja langsirnya aku tidak tutup. Aku dapat lihat sebutir bintang yang akhirnya memunculkan dirinya. Aku tersenyum sendiri.

“Lain kali jangan buat macam tu lagi.”

Edi bersuara memecah kesunyian malam.

Aku yang terkejut, tidak berpaling. Bantal gulingku, aku peluk kuat. Dalam hati, aku sudah menyumpah-nyumpah diri sendiri. Aku ingat Edi betul-betul sudah tertidur tadi. Patutlah susah benar nak lepaskan jari-jari aku tadi. Rupanya Edi belum tidur.

Belum habis lagi traumaku, tiba-tiba aku rasa kepalaku dibelai oleh tangan seseorang. Aku pasti itu tangan Edi. Tidak jadi aku nak lelapkan mata. Aku hanya tunggu reaksi seterusnya dari Edi.

“Jangan rugikan diri kau sendiri untuk aku. Ingat tu,” ujar Edi sambil menarik comforter hingga menutupi badanku sampai leher.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience