BAB 10

Romance Completed 1046

AKU sudah siap-siap memindahkan pakaian aku ke dalam bagasi. Sejak pulang kerja seminggu yang lalu, aku sudah mula memindahkan sedikit demi sedikit pakaianku ke dalam bagasi. Aku tahu harinya akan tiba di mana aku akan keluar dari rumah ini.

Beg yang sudah siap dikemas, aku zip. Aku sandarkan beg pada dinding. Sebuah keluhan aku lepaskan. Aku memandang sekeliling bilik. Bingkai gambar perkahwinan kami aku lihat sekali lagi. Mungkin hari ini hari terakhir bingkai gambar itu akan tergantung di dinding bilik ini. Mungkin selepas ini gambar perkahwinan Edi dan Lisa pula yang akan tergantung di situ.

Puas melihat semua isi bilik itu, aku menarik beg keluar. Namun, aku teringat sesuatu. Aku buka almari baju. Sehelai kemeja-T yang selalu dipakai oleh Edi, aku keluarkan daripada almari. Aku mencium kemeja itu dan menyimpannya dalam beg. Setidaknya, jika aku rindukan Edi, aku ada bajunya ini.

Edi sudah menunggu aku di ruang tamu. Aku membawa turun begku ke bawah. Aku duduk bersebelahan dengan Edi sementara menunggu Aqil yang akan datang menjemputku. Wajah Edi aku pandang. Wajah itu tidak ceria seperti selalu. Tidak seceria saat Edi bersama Lisa. Edi turut memandangku. Aku melemparkan sebuah senyuman kepadanya.

Tiba-tiba Edi menarik tanganku. Menggenggam erat jari-jemariku saat itu. Aku berlagak tenang. Aku masih senyum seperti tadi. Aku tidak mahu hari terakhir aku berhadapan dengan Edi aku masih menunjukkan wajah sedih aku kepadanya seperti waktu aku harus berterus-terang dengannya tentang kisah silamku dulu.

“Salah ke kalau abang cintakan Nara sekarang?” soal Edi serius. Wajahnya kelihatan sugul.

“Cinta tak pernah salah abang. Tapi Nara yang salah sebab Nara permainkan cinta abang pada Nara dulu. Nara juga bersalah sebab menjadi penghalang cinta abang dengan Lisa ,” ujarku perlahan.

“Abang tak pernah cintakan Lisa. Dalam hati abang cuma ada Nara seorang. Abang dapat terima semua kekurangan Nara . Tapi abang tak dapat terima bila Nara cuba sembunyikan benda tu dari abang,” luah Edi.

“Nara tahu Nara patut berterus-terang pada abang. Tapi masa tu Nara rasa Nara belum kuat untuk hadapi semua tu macam Nara hadapi kehidupan kita selama lima tahun ni. Nara tak ada niat pun nak tipu abang. Nara tak sangka abang dapat tahu dulu daripada orang lain. Nara tahu abang kecewa dan marah pada Nara selama ini, cuma Nara buat-buat tak tahu supaya Nara tak terluka lagi,” ujarku jujur. Tidak ada apa lagi yang mahu aku sembunyikan daripada Edi.

Mendengar ayat yang aku tuturkan itu, Edi terus memeluk tubuhku erat. Tersedu-sedu dia menangis di bahuku. Aku tidak tahu mahu bereaksi bagaimana. Aku hanya biarkan Edi meluahkan rasanya hari itu sebelum aku pergi buat selama-lamanya daripada hidupnya. Belakang badannya aku usap perlahan. Membiarkan dia meluahkan segala rasa yang selama ini terbuku di hatinya.

“Abang tak pernah bencikan Nara. Malah makin hari abang makin cintakan Nara. Makin hari abang makin tak tahu apa kelemahan Nara kerana apa yang abang nampak adalah kesempurnaan pada diri Nara,” ujar Edi tersedu-sedu.

Edi menolak badanku ke belakang perlahan-lahan. Aku melihat wajanya yang begitu kusut buat pertama kali.

“Nara ni yang abang kenal dulu tak macam ni. Nara yang abang kenal dulu tak berhijab. Nara yang abang kenal dulu tak berpurdah. Nara yang abang kenal dulu tidak berstoking. Tapi lihatlah Nara yang sekarang. Nara dah banyak berubah untuk abang,” ujar Edi beria-ia. Aku sedar setiap kata-kata Edi itu ada betulnya. Aku memang berniat untuk berubah sejak Edi bersetuju untuk bernikah denganku lima tahun lalu.

“Nara tak berubah untuk abang. Nara berubah demi Allah. Ingat abang pernah cakap dengan Nara dulu salah satu daripada tujuh ciri perempuan yang akan abang jadikan calon bakal isteri adalah perempuan yang berubah kerana Allah. Bukan kerana abang,” ujarku mengingatkan Edi kembali tujuh ciri-ciri yang pernah dia beritahu kepadaku dulu.

Edi mengangguk. Genggaman tangannya semakin kuat.

“Nara, jangan pergi dari hidup abang lagi,” rayu Edi. Kali ini aku lihat air mata mengalir laju dari tubir matanya.

Aku tahu hal ini pasti terjadi saat aku akan meninggalkan Edi. Lidah aku kelu untuk berkata-kata. Air mataku sudah kering untuk dialirkan. Hidup bersama Edi lima tahun ini, aku rasa aku sudah menjadi Nara yang tabah dibandingkan lima tahun dulu.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience