BAB 7

Romance Series 40224

Esok, genaplah tiga minggu hubungan Raz Azminda dan Hafiz. Bermakna hanya tinggal seminggu sahaja lagi tempoh masa yang disyaratkan oleh Raz Azminda untuk mereka bersama. Namun Raz Azminda masih tidak pasti dengan hatinya. Dapatkah dia menerima Hafiz sebagai jodohnya?

Walau begitu, yang pasti dia suka bersama Hafiz. Tiga minggu yang dilalui bersama Hafiz memang membahagiakan. Lelaki itu cukup menghiburkan. Soal mengambil hatinya, Hafiz tidak pernah kering idea.

Bersama Hafiz, dia melakukan banyak perkara yang tidak pernah dilakukan selama hidupnya. Hafiz membawanya lari dari hidupnya sebelum ini yang hanya penuh dengan glamour dan kemewahan. Sampai bila pun Raz Azminda tidak akan melupakan peristiwa dia dan Hafiz sekali lagi menaiki motosikal dan bermandi hujan dipertengahan jalan sehingga akhirnya mereka terpaksa berteduh di bawah jambatan.

Menggigil- gigil Raz Azminda menahan kesejukan. Ikutkan hati, Raz Azminda memang marah dengan Hafiz dan ingin mengamuk di situ, namun kemudiannya dia tidak dapat menafikan bahawa dia suka dengan cara Hafiz melayan dirinya. Hafiz dengan gentlemannya menyarungkan jaket miliknya ketubuh Raz Azminda. Sudahnya Hafiz yang teruk kesejukan.

Masa yang terluang bersama Hafiz juga memberikannya peluang mempelajari banyak perkara baru dan pengalaman yang tidak pernah dirasainya. Dia yang tidak pernah pergi memancing selama ini buat pertama kalinya terpaksa meredah semak semata- mata mahu menemani Hafiz memancing di tasik.

Bayangkan dia sudah bersiap- siap dengan kasut tumit tinggi dan make- up yang tidak mahu kalah akhirnya terpaksa menghabiskan harinya berjemur di tepi tasik. Dan sepanjang hari itu juga dihabiskan dengan membebel di telinga Hafiz kerana marahkan lelaki itu yang suka membuat kejutan yang tidak diingini. Namun, ianya bukanlah sesuatu yang tidak diingini sangat. Raz Azminda mengaku, kejutan yang dilakukan Hafiz hari itu memberi hikmah kepadanya kerana buat pertama kali dia berasa tenang dan damai menikmati keindahan alam ciptaan Yang Maha Esa.

Kata Hafiz, memancing memberi banyak faedah kepada manusia. Selain dapat bermuhasabah diri dengan menikmati keindahan alam seperti itu, memancing juga mengajar manusia erti kesabaran. Mana tidaknya, selama berjam- jam mereka di situ, seekor ikan pun tidak memakan umpan mereka. Sekali lagi Raz Azminda membebel di telinga Hafiz, namun Hafiz selamba sahaja menjawab, “Tak dapat ikan pun tak apa, janji saya dapat pancing awak.”

Raz Azminda tidak dapat menafikan setiap kata- kata yang keluar dari mulut Hafiz itu menambat hati wanitanya. Baginya, Hafiz memang pandai bermain kata. Namun yang paling dia suka ialah kata- kata itu semuanya datang dari hati lelaki itu dan bukan sesuatu yang direka semata- mata mahu menawan hatinya. Hafiz juga mempunyai tabiat yang berbeza dari lelaki yang lain. Sementelah lelaki lain akan memberi bunga kepada teman wanita mereka, Hafiz pula lebih suka menghadiahkannya coklat setiap kali mereka berjumpa.

“You saja je nak bagi I gemuk kan makan coklat- coklat yang you bagi ni?” Raz Azminda bersuara manja.

“Buat apalah saya nak buat awak gemuk? Awak dah memang gemuk…” Balas Hafiz bersahaja, membuatkan Raz Azminda terlopong. Geram dia mendengar kata-kata Hafiz itu. Belum ada lelaki yang pernah mengatakan dia gemuk!

Walaupun Hafiz selalu menghadiahkannya dengan kata- kata manis, lelaki itu juga tidak lokek dengan kata- kata yang sengaja mahu membuatkan Raz Azminda bengang. Pernah juga dia bertanya pada Hafiz, “Kenapa awak selalu buat saya marah?”

“Sebab saya suka tengok muka awak masa marah, lagi cantik dari biasa.” Tutur Hafiz membuatkan Raz Azminda terkulat- kulat menahan malu. Wajahnya mula merona merah.

“Dan saya jugak suka tengok muka awak masa malu. Muka awak akan merah semula jadi, extra blushing, without blusher.” Tutur Hafiz lagi kali ini separuh berbisik sambil mengukir senyum manis. Kata- kata Hafiz itu membuatkan Raz Azminda hilang kata. Lelaki itu sering sahaja membuatkan dia tidak tentu arah. Dia akui, Hafiz memang romantik.

“Well, I’m Raz Azminda Tan Sri Razlan kot,” jawab Raz Azminda seperti biasa setiap kali dipuji. Sedangkan kata- kata itu hanya untuk menutup getar di hatinya.

Hafiz memang benar- benar lain. Dalam suatu masa, dia akan meluahkan apa sahaja dia rasa tanpa memikirkan Raz Azminda akan marah atau tidak, dan pada suatu masa yang lain, dia boleh membuatkan gadis itu melayang- layang dek kata- katanya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience