Dia termenung jauh di hadapan komputer riba. Melihat gambar-gambar lama yang kian dirobek waktu. Lalu dia tersenyum kecil mengingat masa lampau yang penuh kenakalan.
Matanya terfokus kepada gambar seorang kanak-kanak berambut panjang. Itu Nahairah. Kawan baiknya. Mereka sama-sama membesar di kampung sehinggalah bersama-sama menjejak kaki ke menara gading. Suka duka mereka tetap bersama.
"Haz! Kau Buat apa?" Sergah Nahairah.
Shazwa terperanjat. Hampir tercampak komputer ribanya. Wajahnya cemberut menandakan sakit hati apabila tiba-tiba disergah. Nahairah perasan riak wajah Shazwa berubah.
"Sorry..sorry.. aku gurau je. Tak tahu pulak kau terperanjat. Termenung jauh nampak? Teringat pakwe lama ke?" Nahairah tergelak.
"Sorry sorry, naik lori lah. Kau buat lagi sekali, aku campak kau keluar balkoni ni." Shazwa sengaja mengugut.
Bukan dia tak kenal Nahairah. Nampak sopan tetapi perangainya gila-gila. Memang tak makan saman!
"Hahaha. Kau ingat aku kisah. Kau lupa aku ni spiderwoman? Sikit pun wa talak helan.." Nahairah ketawa mengekek.
Shazwa hanya ketap bibir. Ceh! Tahulah hobi dia wall climbing.
Nahairah seorang gadis lincah. Hidupnya sentiasa gembira setiap masa menyebabkan ramai yang sukakannya. Tambahan pula dia berperwatakan menarik pakej lengkap seorang model. Paling menarik perhatian adalah lesung pipit di pipi yang menghiasi wajah kala dia tersenyum.
Berbeza pula dengan Hazliza, wataknya lebih kasar dan serius. Perwatakannya juga seperti lelaki dengan rambut pendek dan topi yang sentiasa menemaninya. Ramai yang mengusik mengatakan Shazwa itu 'dua alam' namun Nahairah tidak kisah. Baginya, dia lebih mengenali Hazliza yang gemar dipanggil Haz itu kerana mereka membesar bersama-sama.
Share this novel