SAMBUNGAN ATAS 1

Horror & Thriller Completed 3981

Setelah selesai memasak kami pun makan di tingkat bawah sambil menonton televisyen. Allah sahaja yang tahu perasaanku ketika itu. Aku merasakan diriku seperti diperhati tetapi aku tidak melihat apakah yang sedang memerhatikanku. Rakanku makan dengan begitu berselera sekali. Sementara aku sesat dalam dunia seramku sendiri. Aku hanya menjamah sedikit sahaja makanan pada malam itu walaupun lauknya kelihatan sedap. Apa yang bermain difikiranku adalah cerita-cerita hantu yang sering diceritakan oleh kawan-kawanku semasa zaman sekolah dahulu. Di mana jika ada bunyi jatuh di atas bumbung pada waktu malam, itu adalah kepala penanggal. Itu menambahkan lagi rasa seram dalam diriku.

Jam menunjukkan jam 1030 pm, mata mula dibelai rasa mengantuk. Malam itu aku tidur di bilik rakan serumahku kerana ketakutanku masih belum reda. Sebelum ini aku tidak pernah merasa takut yang berpanjangan seperti ini. Aku tidur di bahagian katil yang bersebelahan dengan dinding, manakala rakan serumahku memilih untuk tidur di sebelah yang berdekatan dengan pintu kerana katanya dia sering bangun malam untuk pergi ke tandas.

Jam sudah menunjukkan jam 1145 pm, aku masih belum dapat melelapkan mata. Berkalih ke kiri, berkalih ke kanan mata bagaikan tidak mahu direhatkan. Semakin lama terasa semakin segar kelopak mataku. Tetapi kerana ketakutanku akibat bunyi bergolek tadi, aku menarik selimut sehingga ke kepala. Tidak sekali pun aku membiarkan mataku terbuka kerana aku masih belum bersedia untuk melihat sesuatu yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar. Peluh mula membasahi baju yang kupakai. Manakala rakan serumahku,” KROIH..KROIH…KROIH..” sudah dibuai mimpi indah.

Kerana tidak tahan dek kerana kepanasan, aku memberanikan diri untuk bangun dan memasang suis kipas yang berada di sebelah pintu. Kuhidupkan lampu kemudian menghidupkan kipas. Kututup kembali suis lampu dan aku terus berlari ke katil dan membungkus diriku dengan selimut. Ketika aku hampir terlena di dalam selimut tebal milikku, tiba-tiba mataku menjadi segar semula seolah-olah aku dikejutkan oleh sesuatu. Tidak lama selepas itu, aku tercium bau wangi yang entah dari mana datangnya. Aku yang masih di dalam bungkusan selimut cuba mengamati bau tersebut,” Macam bau colok,” bisikku. Aku hanya mampu berdoa,’ Ya Allah selamatkanlah aku.’ Waktu itu aku teringat pula akan cerita-cerita orang jika yang datang itu bau wangi itu adalah jin baik. Walaupun begitu, aku tetap tidak ingin melihat wajah yang datang itu.

Ketika itulah aku teringat pada nenek sebelah rumah di kampungku yang baru saja meninggal dunia tiga hari lalu. Sebelum kematiannya dia menderita sakit sehingga makan dan membuang najis terpaksa menggunakan alat bantu. Aku ada juga berpesan pada adikku yang berada di kampung agar membacakannya Surah Yassin dengan harapan Allah meringankan sakitnya. Seminggu selepas arwah keluar dari hospital, aku mendapat mesej daripada adikku bahawa arwah telah menghembuskan nafasnya yang terakhir. Adikku juga ada mengatakan, selesai sahaja dia membaca surah Yassin dengan lafaz Sadaqallahuladzim, emak yang ada bersamanya ketika itu memberitahu arwah sudah tiada. Innalillahiwainnaillahiraji’un. Semoga arwah ditempatkan dikalangan orang-orang yang beriman.

Pada keesokan paginya aku sudahpun bangun walaupun rasanya seperti baru sahaja aku terlelap. Dengan tidak membasuh muka terlebih dahulu, aku terus mengintai ke bumbung garaj yang dapat dilihat melalui tingkap di tingat atas. Tiada kesan atau apa-apa yang mencurigakan. Kemudian aku berlari-lari anak turun ke tingkat bawah dan pergi ke tempat yang memungkinkan benda yang bergolek semalam jatuh. Tidak ada apa-apa. Kemudian aku mendapatkan rakan serumahku yang berada dikebun kecilnya dibelakang rumah.

“Ada cium bau wangi tak semalam?? Bau colok?,”

“Bau colok?” dia mengerutkan dahi dan seolah-olah terkejut.

“Tiada,”

“Ala, mana nak bau. Dah tidur tak ingat dunia.”

Kemudian aku terus naik ke tingkat atas dan membasuh muka. Seperti biasa aku menyediakan sarapan. Tetapi dalam masa yang sama aku masih berfikir apa yang bergolek di atas atap semalam. Dan dari mana pula bau colok itu datang.

Bagi menghilangkan rasa takut dan menyedapkan hati aku lalu membuat andaianku sendiri. Aku mengandaikan malam itu ada burung yang ditimpa kemalangan lalu jatuh dan bergolek di atas bumbung macam filem Hindustan yang bergolek di atas rumput. Kalau mati mana bangkainya? Anggap sajalah ia rezeki kepada geng bulus.

Bau wangi colok di tengah malam?? Yang ini pula aku anggap datang dari ubat nyamuk (ubat nyamuk moden yang bila dibakar mengeluarkan bau wangi dan rupanya seperti colok). Walaupun sebenarnya malam itu ia tidak dibakar dan berada di tingkat bawah.

Apa yang menyeksakan bagiku, selepas peristiwa malam itu aku seakan fobia dengan kehadiran malam. Sebelum hari gelap walaupun cahaya matahari masih kelihatan aku sudahpun menutup tingkap dan melabuhkan kain langsir. Aku akan memastikan tidak ada celah-celah yang terbuka samada tingkap, pintu, mahupun pintu tandas. Jika terdapat tingkap yang pecah aku akan menutupnya dengan menyidaikan kain pada tingkap tersebut. Aku juga tidak memberi makan geng bulus di luar rumah sebaliknya hanya diberi di ruang tamu rumah. Setiap kali malam menjelma aku langsung tidak berani untuk keluar rumah walaupun lampu dinyalakan.

Setiap malam selepas waktu maghrib aku akan membaca Surah Yassin dan setiap malam Khamis pula aku akan bertahlil sekali. Bagi memulihkan kembali semangatku yang hilang aku mengambil inisiatif sendiri dengan menyediakan air Yassin. Berbulan aku mengamalkan meminum air Yassin dan kini, Alhamdulillah semangatku hampir pulih sepenuhnya. Hikmah terbesar daripada semua ini adalah, aku kembali mendekatkan diri kepada Allah SWT.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience