ATAS 1

Horror & Thriller Completed 3981

Hari ini fikiranku menerawang melayang-layang terkenang pada satu insiden yang cuba aku lupakan namun sukar. Walaupun telah lama berlaku ia sering menghantuiku ketikaku bersendirian. Mungkin itu bukan satu alasan untuk aku menolak takdir dengan menolak nyawa yang dipinjamkan padaku. Kerana itu jugalah yang memberiku kekuatan padaku untuk meneruskan kehidupan walaupun payah untuk melangkah.

Hari Jumaat malam Sabtu..ketika itulah aku benar-benar diuji dan disitulah titik noktah pada keberanianku selama ini. Pada malam itu, hampir 100% semangatku hilang yang menjadikanku seorang yang berbeza dari sebelumnya.

Malam itu, tidak seperti kebiasaannya aku dan rakan serumahku menikmati makan malam agak lewat. Kebiasaannya pada jam 8 pm kami telahpun selesai makan malam dan akan menonton televisyen di tingkat bawah. Malam itu sesi masak-memasak orang bujang bermula jam 8.35 pm. Aku ada membela beberapa ekor kucing. Tahun ini akan bertambah lagi kerana Si Kancil(nama kucingku) sedang mengandung.

Sementara rakan serumahku memasak di dapur yang berada di tingkat atas, aku menyediakan makanan untuk kucing-kucingku yang sudah terlewat makan dek kerana tuannya. Setelah menggaulkan nasi dengan isi ikan sisa lauk semalam, aku pun turun ke tingkat bawah dan dengan beraninya aku membuka pintu utama. Tanpa dipanggil geng bulus berebut-rebut di depan bekas makanan khas yang tersedia di bawah garaj di luar rumah. Kepekatan dan kedinginan malam tidak mematahkan niatku untuk melayani geng bulus menikmati hidangan malam itu.

Sambil memerhati geng bulus menikmati juadah dengan berselera, aku membelai-belai setiap ekor kucingku. Sedang asyikku melayani geng bulus dikesunyian malam itu, tiba-tiba aku terdengar bunyi benda jatuh di atas bumbung garaj. BUUKK!!! Bunyinya seperti buah kelapa jatuh di atas zink. Sangat kuat.

Aku tersentak lantas menoleh ke arah datangnya bunyi tersebut. Kemudian kedengaran pula bunyi objek tersebut sedang bergolek. Seperti bunyi buah kelapa yang jatuh di atas zink dan bergolek. GEDUKGEDUKGEDUKGEDUKGEDUK!!! Aku menjadi panik bila objek yang bergolek itu seakan-akan tidak ada penghujungnya. Aku terus menunggu tetap tidak ada yang jatuh di hujung ke atas tanah melalui atap tersebut. Ketika itulah tiba-tiba sahaja bulu tengkukku merinding. Aku tidak menunggu lama lagi. Aku terus meninggalkan geng bulus yang masih asyik dengan juadah mereka dan terus cabut masuk ke dalam rumah. Dengan pantas aku menutup dan mengunci pintu rumah lalu melompat tangga naik ke tingkat atas. Aku terus mendapatkan rakan serumahku yang hamper siap memasak.

Aku terus bertanya padanya,”Ada dengar bunyi jatuh atas atap tadi??”.

“Tiada, kenapa?,"

“Betul tak dengar? Betul-betullah,”

“Betul. Tak dengar apa-apa.” Jawabnya serius.

Dari situ aku mula tidak sedap hati. ‘Takkan bunyi kuat macam tu dia tak dengar’. Bunyi tersebut seolah-olah ada buah kelapa jatuh dari tempat yang tinggi kemudian menimpa atap zink dan bergolek tapi tidak jatuh-jatuh seolah-olah tidak ada penghujungnya. Tetapi sangat mustahil buah kelapa kerana pokok kelapa hanya berada di sekitar pagar rumah dan pokoknya rendah. Sangat jauh dari bumbung rumah.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience