ATAS 2

Horror & Thriller Completed 3981

Pada malam pertama sekitar pukul 1.45 pagi aku beritahu pembantu rumah aku supaya matikan lampu dan tidur. Dia tak mendengar apa yang aku katakan dengan jelas jadi dia pun lalu di depan bilik aku sambil bertanya, "Ma'am bilang apa?" Dia berdiri di depan pintu bilik tidur aku sambil aku memberitahunya agar lampu dimatikan dan terus masuk tidur. Tiba-tiba kami berdua terus senyap dan tercegat. Aku tanya, "Kenapa Nurul (nama pembantu aku)?" Dia cuma katakan, "Ma'am malam ni bisa aku tidur di bilik Ma'am?" Aku pun cakap, "Boleh..." Jadi pada malam itu kami semua tidur di bilik aku termasuk anak-anak aku.

Pada keesokan harinya aku tanya padanya, "Kamu ada rasa apa-apa tak semalam?" Dia beritahu malam semalam apabila dia berdiri di luar bilik tidur aku, dia rasakan seperti ada benda lalu di belakangnya seperti berangin. Pada malam kedua, anak aku pula yang nampak. Ketika waktu Maghrib, anak lelaki aku yang berusia tujuh tahun berkata dia ternampak lembaga hitam lari dari dapur masuk ke bilik tidur aku dan sewaktu ia terjadi, aku berada di dalam bilik. Dia lari sambil menangis sekuat-kuatnya dan berkata, "Mummy... Mummy... Mummy... There is a ghost in your room!" Aku terperanjat. Aku beritahunya bahawa di rumah tiada hantu dan mungkin dia penat agaknya.

Pada malam ketiga aku baru balik dalam pukul tiga pagi, anak aku bangun dan menggesa agar aku tidak meninggalkannya seorang diri dalam bilik. Aku tertanya-tanya dalam hati, kenapa budak ni berkelakuan macam ni? Aku langsung ke dapur nak ambil air dan anak aku ikut sambil berjalan nak masuk bilik balik, dia terus pekik sekuat-kuatnya. Aku angkat anak aku dan tutup blik tidur. Aku pun tanya dia kenapa dia berkelakuan sebegitu? Dia beritahu aku bahawa dia ternampak lembaga putih tanpa kepala lalu di belakang aku ke hulu ke hilir.

Aku langsung hidupkan lampu bilik dan pada malam itu aku dan pembantu tak tidur langsung!

Selepas dua minggu kemudian sekitar pukul sepuluh pagi dan aku masih tidur, aku tersedar kerana aku terdengar seperti ada seorang budak perempuan yang berbisik ke telinga aku, "Mak nak susu..." kata budak itu. Yang hairannya aku boleh tercakap dengan dia, "Tanya Nurul..." Entah macamana aku rasa terperanjat lalu tersedar dari tidur dan aku ternampak seorang budak perempuan di dalam bilik aku, sambil berdiri di hujung katil, sedang memerhatikan aku. Badan budak itu kotor sekali! Seluruh badannya, penuh dengan lumpur yang separuh kering. Dia merenung aku, apalagi aku lari sampai tersungkur sambil memekik nama pembantu rumah aku.

Pada hari itu aku tak masuk dalam bilik langsung. Selama dua hari selepas kejadian itu, rumah aku senyap tak ada benda pun yang mengganggu kami. Tetapi pada malam Jumaat, semasa aku hendak masuk tidur sambil terlayang, aku rasa seperti ada benda memegang kaki aku. Aku tepis dan pusing ke kanan. Kaki aku masih rasakan seperti ada benda yang memegang. Kali ini ibu jari aku ditarik. Aku cuba hidupkan lampu tepi katil dan pada ketika itulah aku ternampak sosok lembaga hitam di tepi aku dengan matanya yang merah dan suaranya yang garau.

Aku terus pekik dan lari dari bilik tidur aku. Ini bukan sahaja gangguan yang pernah berlaku ke atas diri aku, pembantu rumah aku pun diganggu, kadang-kadang pada pukul empat pagi pembantu aku akan mengetuk pintu bilik aku sambil bertanya, "Ma'am mau apa?" Aku pula akan menjawab bahawa aku tidak memanggilnya. Dia kata dia dengar suara aku memanggilnya. Selalu juga bila tiba waktu malam, kami semua akan mendengar bilik tamu aku semacam ada orang sedang membuang barang, seolah-olah sedang melemparkan sesuatu di dinding. Kadangkala kedengaran seperti ada benda yang pecah, tetapi apabila kami periksa pada keesokan harinya, kami lihat tidak ada apa-apa pun yang pecah.

Rumah ini baru setahun aku duduk di sini. Jiran di sebelah hujung aku memberitahu aku bahawa jiran sebelah aku terjun bunuh diri kira-kira seminggu sebelum aku berpindah ke sini. Kadang-kadang macam-macam benda boleh didengar, cuma aku kuatkan saja iman. Ini rumah aku, aku takkan mengalah. Cuba bayangkan tiap-tiap malam ada sahaja yang terjadi di rumah ini.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience