Completed
338
“Kami sebenarnya datang ada hajat...” ketua rombongan memulakan bicara
membuatkan aku yang sedang menghendap dari dalam bilik jadi
tertanya-tanya. Rombongan apa pula yang datang secara tiba-tiba membawa
segala tepak sirih dan hantaran ini? Takkanlah rombongan meminang? Ish
ni dah macam kes Bang Bang Boom dah ni.
“Akak!” Ainna yang berada di dapur sebentar tadi segera berlari
mendapatkan aku, dia tersengih sampai ke telinga. Entah apa yang
menggembirakan hatinya aku sendiri tak pasti.
“Kenapa kecoh-kecoh kat luar tu dik?” aku menyoal sambil meneruskan
aktiviti menghendap tanpa rasa bersalah.
“Kak! Cikgu datang meminang! Cikgu datang meminang!” terkocoh-kocoh
Ainna datang memberitahu dengan penuh rasa teruja.
“Cikgu? cikgu mana pulak?” aku masih kebuntuan.
“Cikgu Rayyan la! Yang akak gila-gilakan tu...” Ainna tersenyum sinis.
Aku terkedu, mulutku kutekup untuk menutup mulutku yang terlopong, rasa
tidak percaya.
“Akhirnya impian akak jadi kenyataan. Kan? Faham jugak Cikgu Rayyan
dengan kiasan adik.” Ainna bercekak pinggang seolah merasa bangga dengan
sesuatu yang aku kurang mengerti.
“Apa maksud adik?”
“Hari tu adik beritahu cikgu yang ada orang sukakan dia. Mungkin dia
dapat tangkap yang orang tu kakak. Hehe. Pandai tak adik?”
“Pandaaiiii!” Aku tersenyum gembira.
Secara tiba-tiba ibu muncul dengan wajah sugul, entah mengapa aku
sendiri kurang periksa kerana asyik memberi tumpuan pada bicara Ainna
hingga terlepas untuk memasang telinga mendengar perbualan di luar.
“Masalah ni. Macam mana ibu nak buat ni?” ibu kelihatan gelisah sekali
sambil tak henti memandang kami berdua.
“Kenapa bu?” Ainna menyoal.
“Itu kat luar tu, ada rombongan nak meminang. Masalah betul!” ibu
memicit-micit kepalanya yang mula pusing.
“Masalah apa lagi ibu, kan ke orang tu dah setuju, terima ajelah
pinangan tu...” Ainna menyindir sambil menjeling ke arahku membuatkan
aku tersipu-sipu malu.
Ibu menunjukkan rasa terkejut namun matanya tak beralih dari memandang
Ainna.
“Kamu sanggup ke Ainna? Kamu tu baru tujuh belas tahun, baru lepas SPM.
Takkan kamu dah nak kahwin? Ibu tak izinkan!” ibu bernada tegas, namun
bukan itu yang mengejutkan aku, tapi isi percakapannya yang membuatkan
hatiku seolah ditusuk sembilu.
“Aaa... apa maksud ibu ni?” aku menyoal minta kepastian, dan berharap
agar apa yang kufikirkan tidak sama dengan kenyataan yang terjadi.
“Ni cikgu sekolah Ainna ni, ada ke patut dia nak meminang si Ainna ni.
Ish... budak kecik ni nak dibuat bini. Tak sesuai langsung!”
“Hah! Cikgu Rayyan pinang Ainna? Bukan pinang akak Umai?” Ainna juga
kelihatan terkejut dan ada riak simpati di wajahnya padaku. Aku cuma
mampu terdiam, air mata mula bertakung namun kutahan dari menitis di
hadapan ibuku. Biarlah aku dan Ainna saja yang tahu tentang isi hatiku ini.
“Dia datang pinang Ainna la. Kan bagus kalau dia datang pinang Umai ni
aje. Kan lebih molek.” Ibu mengomel sendiri.
“Kalau Ainna nak, Ainna terima ajela pinangan tu. bukannya senang nak
dapat lelaki macam tu.” aku bersuara walaupun kurasakan nada suaraku
sudah bergetar dek menahan sebak.
“Tak nak! Ainna tak nak la. Ainna tak pernah sukakan cikgu Rayyan pun!
Kan akak yang...”
“Shhh...” Aku segera membuat isyarat diam, membuatkan Ainna terhenti
menyambung ayatnya.
“Kamu sanggup terima cikgu kamu tu Ainna?”
“Tak naklah bu. Ainna nak sambung belajar lagi. lagipun memang Ainna tak
ada perasaan langsung kat dia. Peliklah kalau berkahwin dengan cikgu
sendiri. Eii!”
“Kalau macam tu...” ibu berjeda sendiri, membuatkan aku dan Ainna
tertanya-tanya apa yang direncana ibu saat itu.
Duhai hati, kau terluka lagi. Redha sajalah andai dia bukan jodohmu...
haish...
Share this novel