BAB 5

Drama Completed 338

“Aku terima nikahnya Nur Umairah binti Haji Ibrahim dengan mas kahwinnya
dua ratus ringgit tunai.” Dengan sekali lafaz, Muhammad Rayyan sah
menjadi suamiku.
Mungkin sepatutnya aku berasa bahagia kerana dia adalah insan yang
sangat aku cintai selama ini, namun apabila aku mengetahui yang dia
mencintai adikku sendiri, perasaan bahagia itu kini telah bertukar
menjadi nanah dalam hatiku yang sukar disembuh.
Aku tidak cemburukan Ainna, kerana adikku itu memang bisa menawan hati
sesiapa saja. Tetapi sesiapa saja yang duduk ditempatku pasti akan
merasa rendah diri dan malu. Ikutkan hati, aku memang sudah redha dan
tidak kisah dia tidak menjadi jodohku, namun Allah mengatur yang
sebaliknya bila akhirnya jodoh aku tetap dengan dia, namun dalam keadaan
yang kurang menyenangkan, di saat aku tahu yang dia mencintai adikku dan
bukannya aku.
Ainna yang beria menyuruh aku menerima cadangan ibu. Ibu pantas meminta
aku yang menggantikan Ainna kerana tidak mahu keluarga Cikgu Rayyan
mendapat malu. Ah sekarang aku yang tersepit. Bukan aku tidak cinta,
tapi aku tahu bukan aku yang dicinta. Seksanya perasaan ini Ya Allah!
“Assalammualaikum.” Kedengaran Rayyan memberi salam, namun aku tidak
berani mendongakkan wajah. Aku sekadar menjawab salam itu di dalam hati
dan merasa ruang katil disebelahku sedikit tenggelam bila Rayyan
melabuhkan punggungnya disitu.
“Hah!” kedengaran keluhan dari bibirnya membuatkan aku segera berpaling.
Ah bila dia dilihat dari tepi pun sudah bisa menggugat imanku, raut
wajahnya yang jernih, matanya yang bundar, tapi... aku sedar bukan aku
yang dicintainya! Bukan aku!
“Awak tahu kan. Kita sama-sama terpaksa. Awak tak cintakan saya. Saya
tak cintakan awak.”
‘Salah! Saya cintakan awak!’ aku menjerit di dalam hatiku sendiri.
“Ya, awak cintakan adik saya.” Kenyataan itu pula yang keluar lancar
dari bibirku.
Rayyan kelihatan tersentak, segera dia berpaling menghadapku.
“Jadi awak tahulah kebenarannya?”
“Saya belum pekak dan buta.”
Rayyan tergelak kecil sambil menggeleng-gelengkan kepalanya.
“Jadi sekarang tak perlulah saya jelaskan semuanya kan. Tapi saya nak
awak tahu yang saya bukanlah suami yang tidak bertanggungjawab, jadi
saya masih akan tunaikan segala tanggungjawab saya sebagai suami. Cuma
satu saja, tolong jangan minta saya cintai awak selagi saya belum
bersedia. Boleh?”
Aku cuma diam mendengar syarat Rayyan. Syarat yang kelihatan
diskriminasi dan langsung tidak berpihak padaku. Aku terpaksa merelakan
dia sebagai suamiku namun dia tidak seikhlasnya menerima aku sebagai
isterinya. Ah hukuman apakah ini?
Tapi... kerana cintaku ini, tanpa dipaksa aku mengangguk. Rayyan
tersenyum senang sebelum menghampiri aku.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience