BAB 1

Drama Completed 2649

Sofie berlari laju mengejar bas yang baru saja bergerak pergi itu. Bas cuma berhenti sekejap untuk menurunkan penumpang. Sofie yang berkejaran di belakang langsung tidak dihiraukan oleh si pemandu. Sofie mengah. Nafasnya turun naik. Dengan langkah hampa dia menapak dan duduk di kerusi tempat menunggu bas.

Huh… Sofie mengeluh. Hari ini dia terlepas bas lagi. Maknanya hari ini lambatlah dia pulang ke rumah. Sama seperti semalam. Hampir jam sepuluh malam baru Sofie terpacak depan pagar rumah. Mak dan ayah pasti akan risau.

Tangannya menyeluk ke dalam poket baju kurung kuning cair yang menjadi pilihannya hari ini. Sofie meraba-raba poket untuk mencari telefon bimbitnya. Dia hendak menghubungi mak dan ayahnya mahu memberitahu bahawa dia akan pulang lewat seperti malam semalam kerana terlepas bas.

Sekali lagi Sofie mengeluh apabila telefon bimbitnya kehabisan bateri. Apalah malang sungguh nasibnya hari ini. Sudahlah terlepas bas, ini bateri telefon pula habis. Jadi bagaimana dia mahu memberitahu mak dan ayah?

Dummm!

Bunyi guruh berserta kilat yang terang memancar tepat di hadapannya membuatkan Sofie terperanjat. Hampir saja telefon dalam genggamannya terlepas. Angin kuat mula bertiup kencang. Hari mahu hujan ke? Hati Sofie sudah tidak senang. Sekejap-sekejap dia menjenguk ke arah kanan. Mahu melihat bas yang dinanti. Tetapi tidak juga tiba.

Sofie duduk berpeluk tubuh di atas bangku itu. Beg galasnya dirapatkan ke dada. Dia menanti dengan sabar. Langit sudah mula suram. Sofie mengerling jam di pergelangan tangannya. Hembusan nafasnya kedengaran lagi, kali ini lebih deras.

“Mana bas ni? Kalau bas tak datang juga, aku naik teksi!” gumamnya perlahan.

Sofie nekad jika bas tidak muncul dia akan naik teksi. Biarlah wang belanjanya habis pun. Janji dia dapat pulang awal hari ini. Sudahlah kembarnya, Ryan mahu pulang hari ini. Sofie tidak mahu lewat menyambut kepulangan Ryan.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience