BAB 5

Romance Completed 3662

TERDIAM dan hanya mendengar bait-bait kata yang dituturkan oleh Cikgu Hasanah. Suara itu tegas dan menggerunkan perasaan. Semua ini salah Aish. Lelaki itu yang sengaja menempah masalah. Perasaan amarah Areej seakan membuak di dalam hati dan jiwa. Jaga kau Aish Muhammad! Siap nanti aku kerjakan lepas ni!! Bentak hati Areej.

“Selesaikan masalah kamu berdua. Ini yang penting!” Cikgu Hasanah mengeluh dan menyandarkan tubuh di kerusi.

“InsyaAllah.” Lelaki yang duduk di sebelahnya itu bersuara perlahan.

“Kena selesaikan, jangan pandai nak ucap InsyaAllah saja. Jadi profesional. Tunjukkan tauladan dan sikap yang terpuji pada pelajar-pelajar. Bukan pamerkan sikap kebudak-budakkan macam yang berlaku tadi. Imej seorang guru perlu dititikberatkan.” Cikgu Hasanah masih memberi nasihat. Dipandang wajah dua orang guru itu.

“Ini semua salah saya.”

Areej tercengang mendengar pengakuan dari lelaki itu. Seketika dia memandang wajah Aish. Aish masih dengan wajah yang tenang. Terpandang juga wajah Cikgu Hasanah yang sudah mengukir senyuman. Wajah guru Penolong Kanan itu tidak lagi tegang seperti tadi.

“Saya bukan nak dengar pengakuan siapa yang salah, siapa yang teraniaya. Kalau kamu dah mengaku salah, itu tindakan yang paling terpuji, Cikgu Aish. Jangan ulangi kesalahan ini lagi. Bina hubungan yang baik. Tak rugi kalau kamu berdua bekerjasama. Lagi pun kamu berdua antara orang kanan sekolah ini yang saya percayai. Boleh Areej?” Pandangan Cikgu Hasanah pada Areej pula kerana wanita ini tetap mendiamkan diri.

“InsyaAllah.” Hanya janji ini yang mampu diberikan pada Cikgu Hasanah.

“Bagus. Lapang fikiran saya.” Cikgu Hasanah masih senyum sehingga kami melangkah keluar dari biliknya. Sapaan Farah dari meja pada Areej tidak diendahkan. Terpandang juga wajah Kak Zehan, Kak Saleha dan Rizuan yang tercengang-cengang melihat derap langkah kaki Areej dan Aish yang seakan tidak sempat-sempat mahu keluar dari ruang pejabat ini.

Arah tuju kaki Areej hanya satu. Keinginan fikiran dan langkah kaki ini pantas memanjat anak tangga untuk menuju ke Pusat Sumber Sekolah di tingkat atas. Hanya itu saja tempat yang mampu memberi ketenangan pada Areej apabila bersengketa dengan Aish. Di situ jugalah tempat Areej membiarkan guguran air mata mengalir tanpa henti jika hati ini disayat-sayat dengan kata-kata pedas Aish Muhammad. Aish Muhammad tidak pernah menjaga hatinya.

Menolak pintu Pusat Sumber yang lengang dan sunyi, tangisan yang ditahan tadi tidak mampu untuk dibendung lagi. Teresak-esak Areej menangis sambil menekup wajah. Derap kaki itu kedengaran tetapi hanya diabaikan saja. Mungkin Nurul Iman yang menuruti langkah kakinya ke Pusat Sumber ini. Hanya Nurul Iman yang mengerti perasaannya, yang akan menenangkan dan mendengar segala keluh-kesah Areej.

“Areej…” suara garau itu menyentakkan Areej. Nada suara itu seakan pernah didengarinya sebelum ini. Tapi otak sudah tepu untuk memikirkan dalam-dalam. Di hadapannya ini tercegat tubuh Aish yang memandangnya. Pandangan Aish yang lain daripada kebiasaan. Tiada renungan mata yang tajam atau sengihan sindiran. Renungan itu lebih kepada pandangan mata yang amat mendamaikan jiwa dan hati Areej.

“I’m so sorry…”ucap Aish perlahan tetapi jelas didengari oleh Areej.

“Untuk apa lagi Cikgu Aish? Saya dah penat sangat nak berhadapan dengan cikgu. Cukuplah.” Areej merintih dalam tangisan yang belum reda.

“Sorry…lots of sorry from the bottom of my heart….”

Areej menggeleng kepala. Mimpikah dia hari ini kerana mendengar lelaki yang mempunyai ego tahap petala langit kelapan ini memohon maaf?

“Kita noktahkan sengketa dua tahun saat ini…” ujar Aish.

“Dah terlambat sangat…” Areej membalas dengan sikap yang sengaja dikejamkan.

Aish mengeluh perlahan dan duduk di kerusi mengadap Areej yang basah wajahnya dengan linangan air mata yang masih mengalir.

“Kita masih ada waktu untuk membina hubungan.”

“Saya tak perlukan hubungan itu wujud antara kita. Tiada istilah kita, Cikgu Aish. Hanya saya dan Cikgu Aish,” putus Areej tegas.

“Saya yakin kita masih ada ruang dan waktu!” Giliran Aish pula yang bertegas.

“Wujudnya saya di sini hanya sebagai seorang pendidik yang berbakti untuk anak-anak didik saya. Saya sedar siapa diri saya ini.” Areej bingkas bangun.

“Areej…maafkan saya…” tutur Aish perlahan. Langkah kaki Areej terhenti seketika. Mengapa setiap kali lelaki itu memanggil nama Areej, jantung ini berdegup lain macam? Debaran ini juga seakan memberi satu perasaan yang aneh. Areej keliru dengan perasaan sendiri.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience