BAB 2

Romance Completed 3662

BERBULU matanya melihat tubuh lelaki itu mendekati mejanya. Areej meneruskan membaca baris-baris ayat di dalam buku latihan yang sedang disemaknya. Berpinar mata melihat halusnya tulisan tangan anak didiknya yang seorang ini. Sudahlah saiz tulisan yang kecil dan senget-senget, di tambah lagi dengan bahasa yang tunggang-langgang menjadikan otak tepu untuk mengesan kesalahan.

“Nah, suka sangat tertinggal pen dalam kelas.”

Areej terkejut mendengar suara itu. Sebatang pen marker Artline 500 warna merah tergolek di depannya. Segera Areej memandang lelaki yang masih berada di hadapan mejanya. Bertembung dengan renungan tajam mata si lelaki, Areej mengetap bibir menahan marah.

“Apa masalahnya?” soal Areej berani.

“Tak elok membazir marker!” jawabnya bersahaja.

“Ehh, saya beli dengan duit saya bukan duit orang lain!” balas Areej.

Lelaki yang bernama Aish Muhammad itu hanya tersengih. Sengihan yang amat menyakitkan hati Areej yang memandangnya.

“Bukan duit panitia ke?” Aish seakan mahu menyemarakkan lagi ketegangan ini.

“Kalau duit panitia pun, apa masalah Cikgu Aish? Ada menyusahkan Cikgu Aish ke? Cikgu nak susah hati sangat ni kenapa?”

Aish hanya ketawa kecil. Merah padam wajah wanita dihadapannya ini. Jelas sangat marah dan sakit hati. Anak mata Areej menjeling sahaja. Raut wajah yang selalu senyum dan ceria itu lenyap apabila berhadapan dengan Aish. Aish Muhammad dan Areej Nisrina memang seperti anjing dan kucing!

“Sensitif sangat. Sikit-sikit sentap…” tutur Aish perlahan.

“Yang Cikgu Aish menyibuk sangat ni kenapa?” tempelak Areej dan cuba mengawal suara. Iqlima di meja hujung seakan memandang penuh perhatian. Begitu juga pada Kak Faziah dan Kak Ana yang sekejap-sekejap memandang dan meneruskan sesi menyembang semula.

“Orang dah pulangkan barang dia, bukan nak ucap terima kasih ke apa..tak patut betul.”

Areej mengetap bibir sekali lagi. Masih mengekalkan kesabaran dalam diri. Melayan kerenah Aish tidak pernah menyenangkan. Lelaki itu kaya dengan bahasa sindiran.

“Just go away…please….” ujar Areej dalam suara yang bergetar. Sesi ‘bersembang’ ini perlu ditamatkan. Jika Areej tidak mengalah, lelaki itu akan terus menyerangnya tanpa henti. Aish tidak pernah mengalah. Hanya Areej yang sering menoktahkan perbalahan dengan merendahkan ego dirinya. Biarlah Aish sentiasa bangga dirinya menang setiap kali berbalah dengan Areej.

“I won’t…” suara Aish kedengaran perlahan. Galak benar Aish meneruskan mengusik dan menyakat Areej yang sudah merah wajahnya. Wanita itu sedang menahan marah. Namun, Areej tidak pernah gagal mengawal perasaan marahnya itu. Wanita yang bernama Areej Nisrina begitu banyak bersabar dan mengalah. Aish tersenyum penuh makna.

Areej melepaskan keluhan. Ditala kembali pandangan mata ke arah Aish yang masih tercegat berdiri di depan mejanya. Lelaki itu masih dengan lagaknya yang bersahaja. Ada senyuman di wajah itu namun tidak cukup untuk melembutkan hati panas Areej. Aish Muhammad Bin Abdul Razak. Mengenali dirinya sudah mencecah tempoh dua tahun. Dua tahun yang penuh dengan segala cabaran dari lelaki itu. Di antara Aish Muhammad dan Areej Nisrina tidak pernah wujud situasi aman damai. Ada saja angin kencang atau ribut taufan yang melanda. Yang pasti menyebab utama cuaca menjadi huru-hara di antara mereka adalah Aish Muhammad! Lelaki itu punya lidah yang amat berbisa.

“Cikgu Aish, mana post mortem Sejarah!”

Areej terkejut. Aish tersentak. Tubuh Cikgu Hasanah tercegat di pintu tengah Bilik Guru ini. Guru Penolong Kanan 1 itu memandang Aish dan Areej silih berganti. Ada riak hairan.

“Mana dia post mortem yang saya minta pagi tadi?” Cikgu Hasanah menyoal sekali lagi apabila tiada sahutan suara dari Aish.

“Dah ada. Cikgu Hasanah nak sekarang ke?” Aish berjalan meninggalkan meja Areej.

“Iyelah. Sekarang. Jangan lambat-lambat!” Suara Cikgu Hasanah tegas.

Areej menyembunyikan sengihan mendengar kata-kata Cikgu Hasanah pada Aish. Padan muka!

“Okey…okey…” Aish membuka laci di mejanya dan mencapai kertas yang diminta oleh Cikgu Hasanah itu. Silapnya juga kerana melengah-lengahkan menghantar laporan yang diminta sejak pagi tadi. Cikgu Hasanah bukan seorang yang gemar tertunggu-tunggu. Sikap tegas selaku Penolong Kanan Pentadbiran sememangnya tidak pernah gagal dilaksanakan.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience