BAB 7

Romance Completed 3662

SAMBUTAN Hari Guru yang amat meriah dan menyeronokkan. Gelak tawa semua pelajar dan sikap terbuka guru-guru dalam menyertai aktiviti yang telah dirancangkan menjadikan pelaksanaan program itu mencapai kejayaan yang maksimum.

Areej puas hati. Nurul Iman selaku Pengarah Program Sambutan Hari Guru sudah mampu melepaskan nafas lega yang amat sangat. Gandingan Areej dan Nurul Iman setiap tahun dalam menjayakan program ini tidak pernah gagal.

Cuma Areej merasakan sambutan Hari Guru tahun ini amat mengujakan. Senyuman di wajah semua guru adalah satu hadiah yang amat bernilai dan penghormatan yang sangat berharga. Aktiviti sukaneka di tapak perhimpunan tadi tamat dan diteruskan dengan acara di kantin pula.

Pelajar-pelajar yang memikul tanggungjawab untuk menjayakan aktiviti ini sudah bersiap sedia. Acara di kantin ini adalah acara kemuncak di mana sesi penyampaian hadiah dan satu slot istimewa untuk mengusik seorang guru yang terpilih. Areej dan Nurul Iman berdoa semoga tidak terpilih untuk slot istimewa itu.

Berdebar melihat Aizat dan Hanafi selalu pengacara majlis sedang mengoncang sebuah tin biskut yang mengandungi nama-nama guru yang akan dipilih melalui cabutan. Mulut Nurul Iman sudah terkumat-kamit membaca sesuatu. Mungkin Nurul Iman berdoa semoga namanya tidak terpilih. Areej juga semakin tidak senang duduk. Jantung ini berdebar-debar. Rungutan daripada Cikgu Ana, Cikgu Intan, Ustazah Musliha dan Ustazah Faizah mula kedengaran. Nampaknya semua guru-guru menanti dengan penuh debaran dan suspen.

“Hahh, kami dah ada nama cikgu yang terpilih ni. Nak tau tak?” suara Hanafi yang lantang itu menggegarkan segenap ruang kantin. Para pelajar mula bersorak-sorak.

“Apa lagi Napi, sebutlah nama cikgu tu,” sampuk Aizat pula.

“Jeng…jeng…jeng…silakan Cikgu….Cikgu….Aish Muhammad!!” laung Hanafi dan serentak itu tepukan gemuruh daripada pelajar-pelajar. Areej dan Nurul Iman saling berpandangan dan melepaskan nafas lega. Wajah-wajah tegang guru-guru lain juga sudah mengendur. Iqlima sakan benar ketawa kecil, mungkin kerana melepaskan kelegaan dan suka apabila Aish yang menjadi sasaran.

“Cikgu Aish….sila naik ke pentas yang indah ini…”jemput Aizat. Areej memandang Aish yang masih berlagak tenang dan tiada riak terkejut kerana namanya terpilih. Ustaz Zikri yang duduk disebelahnya sudah menolak-nolak tubuh Aish yang seakan tidak mahu bangun dari kerusi. Pelajar-pelajar lelaki sudah mula nakal dan memanggil-manggil nama Cikgu Aish berulang-ulang kali.

Melihat lelaki itu bingkas bangun, tepukan gemuruh daripada pelajar bergema. Langkah yang diatur Aish amat tenang dan penuh gaya. Areej yang memandang lelaki itu ikut sama mengagumi perwatakkan yang dipamerkan. Sejak bila pula Aish ini dilihat amat segak dan kacak? Areej mengetap bibir. Aish yang sudah berada di atas pentas bersama Hanafi dan Aizat sudah melambai-lambai pada pelajar. Lelaki itu hanya senyum dan terus senyum.

“Cikgu, slot istimewa ni memang cukup istimewa. Sebab nama cikgu dah terpilih, cikgu kena jawab semua soalan daripada saya dan teman saya ni. Jawapan cikgu kena jujur dan ikhlas. Jangan tipu-tipu. Kalau tipu berdosa kan cikgu?” usik Hanafi pada Aish.

Aish mengambil mikrofon yang dihulurkan oleh Aizat. “Malang betul saya hari ini.”

Kata-kata Aish itu mengundang tawa guru dan pelajar.

“Cikgu dah sedia?” soal Hanafi. Aish hanya mengangguk. Suasana yang meriah tadi serta-merta menjadi tenang.

“Soalan yang pertama adalah…berikan nama cikgu dan umur cikgu.”

“Aish Muhammah Bin Abdul Razak. Umur 31 tahun.”

“Cikgu berasal dari mana? Apa nama kampung cikgu?”

“Asal Chenderong Balai Teluk Intan, nama kampung Parit Tali Air 7.”

“Nama ibu bapa cikgu apa? Bilangan adik-beradik berapa orang? Cikgu anak yang ke berapa?” bertalu soalan dari Aizat pula.

“Nama ibu Hajah Aminah, nama bapa Haji Abdul Kadir. Adik-beradik enam orang, saya anak yang keenam. Anak bongsu macam Cikgu Areej Nisrina!” ujar Aish dan memandang wajah Areej yang sudah tergamam. Suasana kembali bingit dengan sorakan dan teriakan pelajar.

“Ehhh…sebut nama Cikgu Areej pulak.” Usik Hanafi bersahaja.

“Ada lagi soalan ni. Apa status cikgu sekarang? Single and available? Tunangan orang atau suami orang? Jawab jangan tak jawab!” Aizat sudah menggamatkan suasana.

“Tidak lagi single and available. Masih belum menjadi suami orang tapi saya sudah bertunang dengan seseorang yang amat saya cintai dan sayangi.” Aish masih tidak melepaskan pandangan pada Areej yang hanya terkebil-kebil tidak bersuara. Kedengaran ketawa kecil Cikgu Hasanah dan Cikgu Rozita.

“Fuhhh…romantik ni. Boleh cikgu bagi tahu kami siapa tunang cikgu tu? Kami semua makin excited ni nak tahu.” Hanafi tersenyum lebar. Aizat sudah menggelejat di atas pentas. Pelajar-pelajar semakin tidak sabar ingin tahu.

Aish melepaskan nafas yang seakan menyekat kerongkong. Anak mata Areej yang tidak mengalihkan pandangan pada dirinya seakan memberi satu kekuatan untuk meluahkan hakikat yang sebenar. Mikrofon dipegang erat.

“Cik Areej Nisrina Binti Mustaqim adalah tunang saya…Saya Am…Saya Aish Muhammad!” Lancar sekali sebaris ayat ini keluar dari mulut Aish. Terdengar jeritan Nurul Iman. Kebanyakkan guru-guru sudah melopong tidak percaya. Pelajar-pelajar diam seketika tetapi kemudian meletus tepukan gemuruh seakan mampu meruntuhkan binaan kantin ini. Areej kaku. Am…Aish Muhammad???? Ya Allah…..

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience