BAB 4

Romance Completed 3662

MIMPI jadi kenyataan. Inilah kesimpulan yang telah dibuat. Wajah emak yang ceria, abah yang masih dengan sikap tenang dan raut muka Kak Linda yang berseri-seri dan ‘bling-bling’. Hanya wajah diri ini yang terkulat-kulat tidak berperasaan. Ke mana perginya semua rasa hati dalam dirinya? Tiada. Kosong. Yang menghantui minda ini cuma bayang-bayang kehidupan yang bakal berubah. Status diri ini sudah naik taraf satu anak tangga. Daripada status single and available, Areej Nisrina kini sudah menjadi tunangan orang. Tunang kepada seorang lelaki yang hanya mahu dikenali dengan nama Am. Diri lelaki itu tidak dikenali, apatah lagi untuk bersua muka. Hanya suara garaunya itu yang sering menjadi halwa telinga Areej sejak kebelakangan ini. Lelaki itu tidak pernah jemu menghubunginya, bertanya khabar, bergurau senda dan berusaha untuk memupuk perhubungan. Hanya Areej yang kaku, tanpa reaksi, tiada perasaan. Jangan salahkan diri ini. Lelaki itu masih misteri untuk mendampingi diri ini.

Satu demi satu barang-barang hantaran itu hanya dipandang sepi. Hantaran daripada pihak lelaki yang lengkap dari hujung rambut hingga ke hujung kaki. Semuanya serba biru, seakan mengetahui juga warna kegemaran dan kegilaan Areej yang satu ini. Nilai mas kahwin dan juga hantaran yang telah ditetapkan semasa rundingan siang tadi tidak mengundang sebarang keterujaan Areej. Biarlah, Areej tidak kisah dengan semua itu. Biarpun lelaki itu meletakkan nilai yang rendah atau sikit, Areej tidak akan membantah. Wang ringgit bukan menjadi isu utama saat ini. Yang masih berlegar-legar diruang kepala yang sudah sarat dengan pelbagai andaian ini cuma satu. Siapa lelaki itu? Bagaimana rupanya, sikap dan perwatakkan dirinya? Aku ini akan mengahwini siapa sebenarnya? Hati kecil Areej bertalu-talu menyoal. Minda dan fikiran tiada jawapan pada persoalan itu.

“Muka monyok ye, tak seronok ke?” suara Kak Linda menerjah masuk.

Areej mengalihkan pandangan daripada deretan hantaran yang masih tidak berusik itu ke arah wajah berseri-seri Kak Linda.

“Macam mana nak seronok kalau tunang sendiri pun tak kenal langsung!” Areej bersuara.

“Nanti kenal la jugak. Sabar je,” pujuk Kak Linda bersahaja dan duduk di birai katil. Dibelek-belek gubahan sirih junjung yang cantik dan kreatif itu.

“Akak cakap senanglah. Emak pun macam tak faham je perasaan Areej ni. Orang lain tu bila dah tunang memang happy memanjang, makin tak sabar nak kahwin. Tapi Areej ni makin takut tau. Entah siapa yang Areej nak kahwin ni. Akak faham tak ni?” luah Areej satu demi satu.

Linda hanya senyum. Kasihan juga pada adik bongsunya yang seorang ini. Cemberut wajah Areej jelas menunjukkan dirinya yang sedang protes dan marah. Namun, Linda percaya Areej akan bahagia bersama lelaki itu.

“Marah ke?” tanya Kak Linda dan memandang wajah mencuka Areej.

“Bukan marah je tapi bengang, sakit hati, sakit jiwa, sakit otak!” marah Areej.

“Janganlah emo sangat. Cubalah jadi wanita yang penyabar sikit. Apa yang emak, abah dan kami adik-beradik buat ini semua untuk kebaikan dan kebahagian adik akak yang bongsu ni. Fikirkan saja semua ni adalah takdir dan qada qadar Allah SWT. Areej tak mencari jodoh tapi jodoh yang mencari Areej. Jodoh, ajal, maut, rezeki kan Allah yang tentukan? Dah lupa?” tutur Kak Linda perlahan.

Areej terdiam dan melepaskan nafas. Kata-kata Kak Linda tidak mampu dibidas kerana semua intipatinya adalah benar dan sahih. Ini semua ketentuan Allah SWT untuk setiap makhluk ciptaanNya. Mana mungkin hambaNya yang kerdil ini mampu untuk menepis jauh-jauh semua dugaan dan ketentuan ini jika sudah tertulis di Loh Mahfuz.

“Areej memang tak kenal langsung ke keluarga Am tu? Langsung tak pernah jumpa?” selidik Kak Linda. Areej pantas mengeleng kepala.

“Mana kenal.” Areej menjawab ringkas.

“Emak dan ayah dia baik kan? Untung Areej dapat bakal mak ayah mentua sebaik tu. Sekarang ni, selain dapat suami yang penyayang, baik, romantik, bertanggungjawab, kena fikir juga pasal mentua.”

“Huhh, malas nak fikir mentua ke apa!” dengus Areej masih dengan perasaan marahnya. Linda ketawa kecil. Wajah adik bongsunya itu masih kelat dan masam.

“Bukan ke Am tu selalu call Areej tiap-tiap malam? Tak selidik ke betul-betul siapa Am tu sebenarnya?” Linda menduga lagi.

“Nak tanya banyak-banyak macam mana kak? Mulut Areej ni macam kena gam UHU tau. Kalau nak sembang pun tergagap-gagap. Agaknya mesti dia ingat Areej ni si gagap. Kelu lidah la kak,” rungut Areej dan disambut ketawa Linda yang semakin menjadi-jadi.

“Try your best sis. Am tu lelaki yang baik. Dia akan sayang, cinta, kasih dan rindu pada Areej. Percayalah cakap akak ni. Lagi satu, lebih baik kita terima si dia yang menyintai kita lebih banyak daripada kita menyintai dia. Itu akan memberi kebahagian pada kehidupan Areej dan Am nanti.” Kak Linda berubah menjadi ‘Doktor Cinta’ malam ini. Begitu yakin sekali Kak Linda menyandarkan kebahagiaan Areej bersama lelaki itu. Satu keluhan dilepaskan lagi. Jiwa ini masih gundah. Fikiran ini masih kebingungan. Hati ini masih kacau-bilau. Semuanya kerana kehadiran seorang lelaki misteri bernama Am. Am yang masih menjadi tanda tanya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience