BAB 3

Romance Completed 3662

HERDIKAN itu, kata-katanya dan juga renungan tajam yang penuh rasa marah sesekali tidak akan luput dari kotak fikiran Areej. Mana mungkin dia akan melupakan pada lelaki yang begitu tegar menggelarkan dirinya lalai dan degil di depan sekelompok pelajar. Bukan salah diri ini, tidak juga meletakkan kesalahan itu pada orang lain. Bak kata pepatah Melayu, malang tidak berbau. Jadi kemalangan yang berlaku itu tidak dirancang mahu pun diharapkan terjadi. Namun, amarah lelaki itu terhambur dan dirinya disalahkan. Sampai hati Aish menuduhnya bukan-bukan. Kejamnya Aish Muhammad menggelar dirinya tidak layak menjadi seorang guru! Saat itu yang menjadikan Areej Nisrina membenci Aish Muhammad walaupun peristiwa menyakitkan hati itu sudah hampir dua tahun berlalu.

“Nak jaga aktiviti macam ni pun tak boleh. Elok tak payah jadi cikgu kalau ada sikap lalai. Bahayakan budak-budak aje. Menyusahkan betul!”

“Saya ke Bilik Guru sekejap nak….”

“Penting sangat ke sampai nak tinggalkan budak-budak ni main tanpa pengawasan guru?” Suara lantang Aish memintas kata-kata Areej. Areej terkedu.

“Saya nak ambil buku kedatangan,” jawab Areej. Sebak sudah mula menghuni.

“Degil!” Sepatah perkataan yang keluar dari mulut Aish tetapi cukup meruntun hati Areej. Pelajar-pelajar lain masih mengerumuni tubuh Syafiq yang masih menahan sakit. Kakinya yang terseliuh itu sudah mula membengkak. Areej serba-salah. Aish masih dengan marahnya.

“Azril, Faiz, papah Syafiq masuk kereta saya. Saya nak bawak pergi urut. Nak harap Cikgu Areej kamu ni dia bukan tahu apa-apa…”suara lantang Aish bergema. Arahan itu segera dipatuhi oleh pelajar yang disebut namanya tadi. Tubuh Syafiq diangkat, pelajar itu mengerang kesakitan. Terseliuh atau patah?

“Kalau patah kaki budak tu, awak jawab kat ibu ayahnya. Awak yang bertanggungjawab!” Aish merenung tajam pada Areej dan berlalu pergi menghampiri kereta. Syafiq sudah duduk di dalam kereta di temani dua rakannya tadi.

Areej hanya memandang pada kereta yang bergerak meninggalkan gelanggang bola tampar. Beberapa orang pelajar lain sudah bergerak menuju ke kelas dan sebahagian ke arah kantin sekolah. Jiwa Areej tersayat dengan kata-kata kasar Aish tadi. Kenapa dengan lelaki itu hari ini? Begitu mudah melemparkan kata-kata hinaan dan memarahinya tanpa memikirkan perasaan ini. Bersalah sungguhkah kerana meninggalkan gelanggang ini untuk seketika semasa pelajar-pelajar lelaki Tingkatan Tiga ini bermain bola tampar? Mereka budak kanak-kanak yang perlu diawasi setiap saat. Mereka sudah besar dan tahu menjaga diri. Kemalangan yang menimpa Syafiq itu tiada sesiapa yang menduga. Syafiq yang terlalu ghairah bermain dan melompat sehingga terjatuh dan menyebabkan kakinya terseliuh. Tetapi Aish amat marah dan menuduhnya cuai dan lalai dalam menjalankan tugas.

Bunyi deringan telefon mudah alih di atas tilam menoktahkan imbasan peristiwa itu. Areej mencapai telefon tersebut dan memandang skrin telefon melihat siapa yang menghubunginya. Ehh, nombor siapa? Walaupun fikiran tertanya-tanya, segera ditekan butang menjawab panggilan.

“Assalamualaikum.”

Ucapan salam suara itu menyentakkan Areej. Suara lelaki tetapi siapa?

“Waalaikumsalam. Siapa bercakap tu?”tanya Areej tidak berlengah.

“Areej Nisrina kan?” Suara lelaki itu menyebut nama penuhnya. Areej semakin kaget.

“Iya, saya Areej Nisrina. Awak siapa?”

“Saya Am. Saya bakal tunang awak….”

“Hahh!” Terjerit kecil dan Areej ternganga. Am? Bakal tunang? Ya Allah….

“Areej sihat ke?” Lelaki yang bernama Am itu bertanya khabar pula. Areej masih tergamam.

Diam seketika. Areej seakan kelu untuk bersuara walaupun menuturkan sepatah perkataan. Lelaki di dalam talian itu juga seakan mendiamkan diri. Mungkin menantikan jawapan Areej di atas pertanyaannya tadi. Jemari Areej yang memegang telefon seakan menggeletar.

“Hello…hello…senyap aje….” suara garau lelaki itu kedengaran. Areej seakan kalut.

“Err…err…ada ni…sihat je…” Areej bersuara dalam antonasi yang sedikit gagap.

“Maaflah menganggu Areej malam-malam ni. Tengah buat apa?” Lelaki itu masih ramah. Hanya Areej yang serba tak kena dibuatnya.

“Tengok tv.” Areej menjawab ringkas. Paluan degupan jantung ini semakin rancak. Mahu saja Areej menekan butang menamatkan panggilan tetapi akalnya tidak membenarkan tindakan itu.

Diam dan senyap sekali lagi. Hanya desahan nafas lelaki itu memukul gegendang telinga Areej. Siapa Am ini? Siapa pula yang memberi nombor telefon ini padanya? Emak ke? Kemungkinan itu seakan tepat kerana hanya emak yang pernah bertemu muka dengan lelaki yang ingin digandingkan dengan dirinya ini. Ahhh…emak tidak bergurau rupanya. Sudah nekad untuk menjodohkan aku dengan lelaki ini. Am…meniti nama ringkas itu difikiran.

“Areej…” suara lelaki itu menembus ke gegendang telinga.

“Hahhh…” Areej terkejut dengan panggilan itu tetapi terdiam semula.

“Nanti Am call lagi. Assalammualaikum.” Ucapan salam dititipkan dan talian ditamatkan. Areej masih tercengang dan termanggu. Terkejut sudah pasti. Am…lelaki misteri yang muncul tiba-tiba dan inilah lelaki yang akan menjadi pasangan hidupnya nanti. Ohhh…tidakkkk!!!!!!!!!Emak….tolong!!!!!!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience