BAB 1

Romance Completed 3662

KETAWA sampai guling-guling? Perlu ke? Atau pun menangis meraung-raung sambil tarik-tarik rambut? Fuhh…dahsyat sungguh. Itu layak benar menjadi penghuni Wad Mental Hospital Bahagia Tanjung Rambutan. Elok-elok mental sihat walafiat, terus kena label pesakit jiwa. Areej pantas menggeleng kepala. Sesekali dahi diurut-urut. Bukan pening kepala tetapi urat-urat otak seakan berpintal dan kelemasan dalam masalah yang seakan tiada jalan penyelesaian.

“Umur tu bukan makin muda…tapi makin tua!”

Adus. Seakan ditimpa sebiji kelapa dan membuatkan kepala berpinar-pinar. Memanglah umur makin bertambah setiap tahun. Mana ada usia manusia semakin muda remaja!

“Itu nombor je!”

Hahh, alasan yang sering digunakan untuk mempertahankan diri ini daripada terus diasak dengan desakan-desakan melemaskan itu.Terbayang wajah emak yang pasti sudah cemberut menahan marah. Desahan nafas emak itu jelas kedengaran di telefon. Yang pasti emak sedang bersabar dalam melayan kerenahnya yang masih sambil lewa dan buat ‘derk’ je.

“Boleh tak sekali ni Areej dengar cakap mak?” suara emak makin tegas.

“Mak nak Areej buat apa? Paksa?” Areej membalas dengan soalan juga.

“Tak paksa cuma kena ikut!” Emak jawab bersahaja.

Areej berkerut dahi. Tak paksa? Bukan ke maksud paksa itu dekat-dekat dengan frasa ‘kena ikut’? Emak ini sengaja mahu memeningkan kepala yang sudah semakin kusut agaknya. Keluhan kasar dilepaskan lagi. Mengharapkan desahan nafas ini dapat ditafsirkan oleh emak di hujung talian.

“Hajat orang ni tak elok ditolak. Mak dah penat tunggu Areej cari sendiri.”

Huhuhuhu….emak dah penat…aku pula tenat! Menjawab salam emak, talian ditamatkan dan mula baring di atas katil. Tangan menggaru-garu rambut yang tidak gatal. Sekadar mahu menyingkirkan segala rasa gundah, marah, sakit hati, kecewa dan macam-macam lagi.

Tahun 2012….umur diri ini mencecah 29 tahun. Tahun 2013…usia tambah setahun lagi untuk jadi 30 tahun! Memang patut emak dah penat tunggu. Anak-anak emak dan abah yang lain bertemu jodoh dalam usia yang lebih muda dari diri ini. Alah, jodoh itu semua urusan Allah SWT, mungkin usia 30 tahun nanti baru bertemu jodoh. Hahh, emak saja yang sudah risau.

“Hai Kak, termenung jauh sangat tu…” teguran dari Farah menyentakkan lamunan Areej. Farah yang melangkah masuk ke dalam bilik hanya tersenyum-senyum. Tersengih-sengih gaya kerang busuk!

“Mengenang masa depan…” jawab Areej bersahaja. Farah sedikit berkerut dahi dan menyangkutkan tudung di penyangkut baju yang sudah tersedia.

“Apahal kak? Lain macam je bunyinya…” Farah ingin kepastian. Direnung wajah Areej. Areej masih selesa baring.

“Percaya ke tak kalau akak bagi tahu yang emak akak dah carikan jodoh untuk akak?”

“Hahh??” Farah menjerit kecil. Mungkin terkejut. Areej segera memandang wajah Farah.

“Percaya ke?” soal Areej.

“Kak, alhamdulillah…sapa kak?” Farah nampak teruja.

“Ehhh…apa hal nak Alhamdulillah ni?”

Farah ketawa kecil. “Siapa kak?”

“Kau dengan emak akak sekapal rupanya…” keluh Areej. Ketawa Farah masih ada.

“Kak, relaks lah. Akak tak suka ke?”

“Akak bukan tak suka tapi macam rasa terdesak sangat je. Akak ni dah tua sangat ke Farah? Dah nampak berkedut-kedut ke muka akak ni?” tanya Areej bertalu-talu.

Farah meneruskan tawa. Gusar di wajah Areej nampak jelas. Kasihan Kak Areej, bisik hati kecil Farah. Kak Areej tidak nampak tua walaupun usianya akan mendekati 30 tahun. Pada sesiapa yang baru mengenali Kak Areej, sudah pasti meletakkan usia wanita ini dalam lingkungan 24 hingga 26 tahun.

“Akak mana nampak tua. Saya ni yang nampak lebih tua dan matang dari akak walaupun saya ni muda remaja lagi.” Farah menjawab pertanyaan Areej dengan nada gurauan.

“Tahun depan akak 30 tahun la Farah…dah memang tua la tu…” lirih suara Areej dan memeluk bantal lebih erat.

“Itu sekadar umur je kak. Apa yang akak nak fikir-fikirkan sangat ni? Kalau dah sampai jodoh akak, akak tak boleh nak lari ke mana-mana pun,” nasihat Farah perlahan. Areej terdiam saja dan mengakui kata-kata Farah itu ada benarnya. Soal jodoh itu sudah ditetapkan oleh Allah SWT…

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience