BAB 6

Romance Completed 3662

MASIH hambar, masih tiada perasaan. Itu yang dapat Areej simpulkan mengenai hubungannya dengan Aish. Sejak peristiwa tempoh hari, Aish tidak lagi mendekatinya, tidak lagi mencari kesalahan untuk berbalah dan tidak lagi menyakitkan hati Areej. Ini sepatutnya melegakan tetapi Areej merasai sesuatu yang semakin hambar. Jika selama ini jeling-menjeling di antara keduanya menjadi tindakan yang paling gemar dilakukan, namun semua itu sudah tidak berlaku lagi. Aish dengan tugasnya, Areej dengan tanggungjawabnya. Suasana menjadi aman damai tetapi suasana itu semakin mencengkam jiwa dan perasaan Areej. Bingung.

Bunyi telefon mudah alih yang menandakan satu SMS diterima segera menyedarkan Areej. Dicapai telefon tersebut, dan SMS tersebut adalah kiriman Am. Sejalur senyuman mekar di wajah muram Areej. Jika perhubungan dengan Aish sudah hambar, pertalian yang ingin dibina bersama Am semakin mekar dan membahagiakan. Walaupun lelaki itu masih misteri, Areej sudah menerima kehadiran lelaki itu yang akan menjadi suaminya tidak lama lagi. Biarlah Am terus menyembunyikan identiti. Apa yang Areej perlukan hanya perhatian lelaki itu yang tidak pernah gagal diberikan untuk Areej. Am seorang lelaki yang cukup memahami dan sentiasa bersabar mendengar segala keluh-kesahnya.

+Assalam.Bz ke?Dh breakfast?

Kiriman SMS itu memang ringkas tetapi padat dengan perasaan yang kian dirasai oleh Areej. Memang benar kata Kak Linda, menerima kehadiran Am tidak akan merugikan. Cintailah lelaki itu. Sayangilah dirinya kerana Am sendiri sering menitipkan kata-kata romantis pada Areej.

-Wassalam.X bz pn.dh mkn pg td.ni tgh termenung.

Balasan SMS ini terus dihantar. Saat itu mata Areej terpandang pada tubuh seseorang yang melangkah masuk ke dalam ruang Bilik Guru, menghampiri mejanya dan terus duduk. Areej hanya memerhati. Aish yang tidak sedar sedang diperhatikan kerana nampak sibuk menaip sesuatu di telefon mudah alihnya. Tersengih-sengih dan seketika meleret senyumannya. Untuk siapa senyuman manis itu? Apa yang pasti, saat ini Areej agak terpana dengan senyuman itu. Lelaki itu rupanya mempunyai senyuman yang mempersona. Pandangan Areej ternoktah apabila bunyi SMS yang diterima masuk. Membaca SMS itu, raut wajah Areej semakin tersenyum.

+Knp tgh termenung?ingtkan sapa?Jgn ingt org lain,awk tu dh jd tunang sy.

-Sj suka termenung.Fikirkan bla la sy ni blh knl awk.tgk awk.jmpe awk.

+InsyaAllah,tak lama lg awk akn knl,tgk,jmpe n syg sy lbh dr sy syg awk.

Areej memejamkan mata seketika. Berkali-kali minda ini cuba untuk mencari gambaran seorang lelaki yang bernama Am. Cukup misteri, terlalu menguji kesabaran. Guru-guru lain yang teruja ingin mengetahui siapa tunangan Areej Nisrina hanya mendapat jawapan sama ada gelengan kepala atau jungkitan bahu. Areej tidak kenal, tidak pernah jumpa, tidak pernah tahu siapa lelaki itu. Pengenalan diri hanya sekadar dengan nama yang terdiri dari dua huruf. AM.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience