Bab 4 DIA YANG MEMILIH

Fantasy Series 136

Pagi itu, selepas sesi sarapan yang hambar dan penuh bisikan mimpi, keenam-keenam mereka berjalan ke arah Blok Asrama B—di mana semuanya bermula.

Tiada pelajar lain di situ waktu pagi. Bangunan itu memang sudah lama tidak digunakan, kecuali untuk projek dokumentari mereka. Cikgu-cikgu takkan perasan kalau mereka masuk sebentar, asalkan tidak buat bising.

Amelia berjalan paling depan. Walaupun jantungnya berdegup kencang, dia berpura-pura tenang. Lia di sebelahnya, memegang kamera kecil yang belum dihidupkan.

“Kita tengok je, okay?” pesan Amelia.

“Tak masuk ke dalam?” tanya Aina perlahan.

“Belum. Kita tengok dulu. Kalau ada apa-apa pelik… kita lapor cikgu,” jawab Sofea, tegas, walaupun nadanya goyah.

Mereka berhenti di hadapan ruang bawah tangga. Cahaya pagi masuk melalui tingkap yang tinggi, memberikan sedikit penerangan pada kawasan gelap itu.

Papan kayu yang semalam masih di situ.

Cuma… posisinya berubah. Ia tidak tertutup seperti sebelumnya. Ia tercondong ke tepi—seperti telah diketuk dari dalam.

“Aku rasa aku nampak benda ni tertutup masa kita keluar malam tadi,” kata Lia. “Sekarang terbuka sikit…”

Mereka saling berpandangan. Hanna tunduk dan cuba menjenguk ke dalam celah papan.

“Tak nampak apa-apa. Tapi…”

“Kenapa?” tanya Fatin perlahan.

Hanna menelan air liur. “Ada bau.”

Amelia juga menghidu. Bau itu kuat—bau tanah basah yang tenggelam dalam sesuatu yang lebih tajam… seperti besi berkarat. Darah?

“Tak logik. Siapa buka benda ni pagi-pagi?” Aina bersuara.

“Dan kenapa…” Sofea tunduk, menunjuk ke lantai, “…ada kesan cap jari?”

Mereka semua tunduk. Betul. Di atas lantai berdebu, ada kesan tangan. Lima jari yang panjang dan sempit, kesannya dalam, seolah ditekan kuat ke lantai. Dan ia tidak kelihatan seperti tangan manusia biasa.

Fatin melangkah ke depan. “Biar aku tengok.”

Amelia cepat-cepat halang. “Fatin, jangan—”

Tapi sebelum dia sempat menahan, papan kayu itu terjatuh dengan sendiri—gedebuk!

Bunyi itu bergema dalam ruang kosong. Dan sekali lagi, lubang hitam di bawah tangga itu terdedah sepenuhnya.

Tiada siapa menyentuhnya.

Lia secara refleks menghidupkan kamera. Tangannya menggigil.

“Rakam semua. Rakam sekarang.”

Amelia menyuluh ke dalam. Tangga batu itu turun ke arah ruang yang dipenuhi bayang. Tapi kali ini, dia nampak sesuatu yang dia pasti tiada semalam.

Kain putih. Diletakkan elok di anak tangga ketiga.

Sofea tunduk dan tarik kain itu keluar perlahan. Ia seperti kain batik lama yang sudah lusuh dan berbau hapak. Bila dia membuka lipatannya, sesuatu terjatuh dari dalam.

Bunga cempaka kering. Dan seutas getah rambut berwarna merah jambu.

Mereka berpandangan. Perlahan-lahan, Fatin tunduk dan ambil gelang itu. Dia memandangnya… dan senyum.

Senyuman itu buat Amelia rasa nak lari.

“Cantik kan?” Fatin berbisik.

“Macam… aku punya dulu masa kecil.”

Lia menoleh pada Amelia. Wajah mereka sama-sama tegang.

Sesuatu telah dibuka.

Dan Fatin… mungkin bukan Fatin lagi.

Tengahari itu, semasa makan tengahari, suasana di kantin senyap luar biasa. Walaupun bunyi sudu dan garpu berdenting, tiada seorang pun dari kumpulan dokumentari membuka mulut. Semua masih terkesan dengan mimpi malam tadi—dan apa yang mereka nampak di ruang bawah tangga.

Amelia hanya menyentuh nasi gorengnya tanpa selera. Lia menggigit straw plastik berulang kali. Hanna termenung jauh.

Fatin pula—senyum.

“Tak nak makan ke?” tegurnya ceria, terlalu ceria.

Mereka berpandangan. Suara Fatin masih sama, tapi… ekspresi wajahnya kaku. Senyum yang tak kena tempat. Mata dia tak ada cahaya.

“Kau okay, Tin?” tanya Amelia perlahan.

Fatin angguk. “Kenapa pulak tak okay? Aku rasa… lebih baik dari biasa.”

Aina menyiku Lia perlahan di bawah meja. Lia mengangguk, faham maksudnya.

Ada yang tak kena dengan Fatin.

Malam itu, Amelia dan Lia bersetuju untuk pasang kamera kecil di luar ruang bawah tangga. Kamera itu GoPro milik sekolah yang mereka gunakan untuk rakaman dokumentari. Mereka set timer dan biarkan ia merakam sepanjang malam.

"Kalau esok tak ada apa-apa, kita delete. Tapi kalau ada benda pelik..." bisik Amelia.

"…kita tunjuk cikgu. Atau simpan dulu," sambung Lia.

Tepat jam 2:47 pagi, kamera merakam sesuatu.

Seorang pelajar perempuan, rambut panjang melepasi bahu, berjalan perlahan ke arah ruang bawah tangga. Bajunya putih lusuh. Cahaya lampu koridor hanya menampakkan separuh wajah.

Wajah itu—Fatin.

Dia berdiri di hadapan papan kayu. Tangannya menyentuh tulisan di kayu itu. Perlahan-lahan, dia tunduk dan mula bercakap sesuatu. Tapi suaranya… bukan suara Fatin.

Ia dalam bahasa yang tak difahami, seperti gabungan bunyi berdesing dan geraman perlahan.

Kemudian, dia senyum. Matanya tertutup, tapi dia senyum panjang seperti sedang mendengar arahan.

Dia berpaling dan jalan semula ke arah blok asrama. Sebelum hilang dari rakaman, dia berhenti dan menoleh.

Menatap terus ke arah kamera.

Keesokan paginya, bila mereka tayangkan rakaman pada Aina, Hanna dan Sofea—semua terdiam.

“Dia tak sedar dia keluar bilik?” tanya Hanna.

“Mustahil… pintu kita semua kunci. Aku sendiri kunci pintu bilik Fatin,” jawab Aina, seram.

“Tapi dia keluar. Dan…” Amelia menekan spacebar untuk pause video. “Dia macam tahu dia dirakam.”

Selepas prep malam, mereka berkumpul di bilik Hanna. Fatin pula tiada bersama. Katanya dia pening kepala.

“Kau rasa dia tahu apa kita tahu?” tanya Sofea perlahan.

Lia mengangguk. “Aku rasa dia dah bukan dia sepenuhnya.”

“Tapi siapa… atau apa yang dia jadi?” Aina bersuara.

Amelia menyandar pada dinding, berfikir. “Mungkin bukan dia yang cari benda tu. Tapi… benda tu cari dia.”

Tiba-tiba, ketukan kuat di pintu mengejutkan mereka.

DUK DUK DUK.

“Siapa tu?” Hanna bertanya.

Sunyi.

DUK DUK DUK.

Lia bangun dan membuka pintu perlahan. Tiada siapa.

Tapi di lantai depan pintu, ada satu kain putih, dilipat rapi. Bila dibuka, di dalamnya ada bunga cempaka kering dan seutas gelang getah rambut berwarna merah jambu—warna kegemaran Fatin.

Sofea tunduk.

“Dia… tengah serahkan diri.”

**

Keesokan harinya, Sofea diarahkan masuk ke bilik guru untuk serahkan dokumen projek. Dia lalu bilik fail lama, yang terletak di bangunan pentadbiran. Satu fail berwarna biru lusuh terjatuh dari rak—tanpa disentuh.

Dia tunduk dan ambil fail itu.

Di mukanya tertulis: "KES HILANG: NOR AISYAH BT ZAHAR - 1993."

Dalam fail itu, hanya ada dua helai kertas dan satu gambar. Gambar seorang pelajar perempuan dalam uniform sekolah. Wajahnya hampir sama dengan Fatin. Terlalu sama.

Tapi nama dalam fail lain.

Di belakang gambar, ada tulisan tangan:

“Dia akan bangkit semula melalui yang serupa.”

Petangnya, mereka berenam duduk diam dalam bilik, memandang gambar itu.

“Sama seratus peratus,” kata Hanna.

“Kalau betul… maksudnya benda tu tak pernah berhenti. Ia tunggu pengganti,” balas Lia.

Amelia menggenggam gambar itu erat.

“Dan dia dah pilih Fatin.”

Tengah malam itu, Hanna terdengar bisikan dari bilik mandi. Dia bangun perlahan dan menyusup keluar.

“Fatin?” panggilnya.

Tapi suara itu bukan suara Fatin.

Ia seperti dua suara bertindih, satu lelaki dan satu perempuan, bercakap serentak.

“Duduk sini… kau sama macam dia…”

Cermin di bilik air berwap. Tapi di cerminnya, ada tulisan:

“Seorang lagi.”

Dari dalam salah satu tandas, bunyi air mengalir… tapi semua pili tertutup. Hanna langkah ke belakang, lutut menggigil.

Tiba-tiba, daun pintu tandas terbuka perlahan… dan di belakangnya—Fatin, berdiri diam, senyum lebar.

Mata Fatin hitam sepenuhnya.

Hanna menjerit. Dunia jadi gelap.

**

Esok pagi, Hanna masih tak sedar. Dia dibawa ke bilik rawatan. Doktor kata dia trauma dan alami kejutan saraf. Tapi tak ada sesiapa yang tahu kenapa.

Kecuali mereka berlima.

Dan Fatin—duduk di katilnya, memandang ke luar tingkap. Tangannya melukis sesuatu pada meja kayu dengan pensil.

Amelia curi pandang.

Fatin sedang lukis sebuah pintu, dan dari celah pintu itu, banyak mata keluar menjenguk.

Amelia memandang Lia. Wajahnya pucat.

"Dia... dah mula buka."

im sory if there is any typo

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience