"Ini ke... tempatnya?" Fatin bersuara sambil menjenguk keluar dari tingkap van. Suaranya tidak seceria biasa. Ada getar halus yang dia cuba sembunyikan.
Aku duduk di sebelah Lia, pandangan masih tertumpu pada bangunan usang di hadapan. Asrama B. Bangunan empat tingkat itu berdiri sunyi di hujung kawasan sekolah, terasing dari bangunan lain. Catnya pudar, ada tompok lumut hijau gelap menjalar di sisi dinding. Beberapa tingkap pecah, dan pintu utama yang separa terbuka itu mengeluarkan bunyi berkeriuk bila ditiup angin.
"Macam rumah tinggal," komen Zaki dari barisan belakang. Dia pegang kamera kecil, merakam suasana dari dalam van.
"Rumah tinggal yang kita nak duduk 7 malam," sambung Aina dengan nada sengaja dramatik. "Perfect setting untuk drama misteri."
Oh ya! Terdapat dua lagi pelajar yang turut serta dengan projek ni, Aina dan Sofea.
Tak tau kenapa dua pelajar perempuan ni tiba-tiba dilibatkan oleh cikgu.
"Cikgu betul ke ni selamat?" suara Sofea perlahan, matanya masih tak berkelip pandang bangunan tu.
Van berhenti. Cikgu Nizam buka pintu dan turun dulu, kemudian menoleh ke arah kami semua. “Selamat. Kalau tak, pihak sekolah takkan izinkan kita buat projek ni.”
Kami turun satu demi satu. Angin petang berhembus, membawa sekali bau hapak yang datang entah dari mana.
“Okay semua,” suara Cikgu Nizam kedengaran kuat. “Kumpul depan pintu. Kita akan masuk sama-sama.”
Kami berbaris. Aku pandang sekeliling. Tiada pelajar lain, tiada bunyi bising. Hanya angin dan daun kering yang bergeser atas tanah. Rasa macam... terlalu sunyi.
“Bangunan ini dah lama kosong, hampir dua belas tahun,” sambung cikgu. “Tapi dalam beberapa minggu ni, pekerja dah bersihkan sekadar yang perlu. Kamu semua diberi bilik masing-masing di tingkat satu dan dua. Guru pengiring akan duduk di tingkat tiga.”
“Cikgu… mana pekerja yang bersihkan bangunan ni?” tanya Hanna tiba-tiba.
Cikgu Nizam kelihatan teragak-agak. “Mereka hanya buat kerja waktu siang. Selepas pukul lima, bangunan ini akan dikunci. Jadi… semua akan berada di sini sampai pagi esok.”
Fatin menelan air liur. “Tak boleh ke kami balik dan datang pagi je?”
“Tak boleh,” jawab guru pengiring, Puan Rozita, yang muncul dari belakang dengan senarai nama dan kunci. “Itu syarat projek. Dokumentasi penuh—termasuk suasana malam. Lagi pun kamu semua dah bersetuju.”
Kami diam.
Cikgu Nizam melangkah ke pintu utama. Dengan sedikit tenaga, dia tolak daun pintu kayu yang berat dan berkarat itu.
Pintu terbuka perlahan, mengeluarkan bunyi seakan rintihan.
Selamat datang ke Asrama B.
Ruang dalam asrama itu sejuk dan lembap. Bau lama, seperti habuk bercampur kelembapan dan... sesuatu yang sukar dijelaskan. Seakan bau lama yang ‘hidup’.
Daniel dan Zaki segera mengaktifkan kamera mereka. Sofea keluarkan senarai barang dan peta asrama yang dilukis tangan.
Cikgu Nizam pimpin kami melalui koridor utama. Lantai simen yang ditampal seadanya, lampu-lampu berkelip, dan dinding penuh tampalan kertas lama—senarai peraturan, carta giliran tugas, dan beberapa nota yang dah hampir hilang tulisan.
“Kamu semua akan diberi masa satu jam untuk kemas bilik masing-masing dan siapkan diri,” kata Puan Rozita. “Selepas itu, kita akan berkumpul di ruang makan bawah untuk taklimat keselamatan.”
“Kalau ada soalan, boleh tanya bila-bila masa,” tambah Cikgu Nizam, matanya tertumpu pada Amelia seketika, seolah-olah mahu memastikan aku tak melarikan diri.
Kami mula bergerak ke bilik masing-masing. Aku dan Lia berkongsi koridor yang sama. Bilik aku nombor 109, dia di 110.
“Jangan lupa,” kata Lia perlahan masa kami buka pintu, “tengok bilik ni betul-betul. Kadang-kadang, tempat yang lama... simpan lebih daripada habuk.”
Aku hanya angguk. Dia masuk, tutup pintu perlahan.
Bilik aku sederhana. Satu katil besi, meja kayu buruk, almari yang pintunya hampir tercabut. Aku buka tingkap—tapi tak bergerak. Mungkin dah karat. Cahaya masuk dari celah langsir nipis yang reput. Di atas meja, ada satu kertas tertinggal.
"Jangan buka jam 3 pagi."
Aku pandang tulisan tu lama. Kertas itu kekuningan, tulisan seperti ditulis dengan pen dakwat. Aku pegang dan terasa sedikit lembap, seolah-olah baru ditinggalkan semalam.
“Aku ni paranoid sangat ke?” bisik aku sendiri. Tapi aku simpan nota tu dalam fail aku. Untuk bukti. Atau kenangan?
Jam 8 malam, kami berkumpul di ruang makan. Ruang itu luas tapi kosong. Hanya beberapa meja panjang dan kipas siling yang berputar perlahan. Lampu neon berkelip-kelip. Daniel tengah sibuk pasang tripod untuk rakam sesi taklimat.
“Aku rasa kita patut rakam semua benda,” katanya. “Even makan malam. Kalau ada gangguan, kita boleh detect.”
Fatin yang duduk di sebelah aku geleng kepala. “Gangguan? Baru malam pertama Daniel.”
Sofea datang dengan kotak makanan. “Nasi goreng ayam. Menu malam ni. Mujur sedap.”
Cikgu Nizam dan Puan Rozita duduk di hujung meja, memerhatikan kami.
“Kamu semua okay?” tanya Cikgu Nizam. “Ada sebarang masalah di bilik?”
Zaki angkat tangan. “Cikgu… katil saya ada ukiran nama. Tapi macam bukan nama saya. ‘Syafiqah 4A - 2011’.”
“Biasa tu,” jawab Puan Rozita. “Perabot lama, mungkin tinggalan pelajar sebelum ni.”
“Tapi... tak patut ada calar baru,” tambah Zaki perlahan. “Ukiran tu macam baru. Kayu dia masih lembut.”
Cikgu Nizam diam sejenak. “Cuba jangan terlalu fokus pada benda-benda kecil. Kita di sini untuk buat kerja, bukan untuk biarkan imaginasi berlari.”
Tiba-tiba, bunyi ketuk kuat kedengaran dari dapur belakang. Kami semua terdiam.
Daniel terus capai kamera.
Puan Rozita bangun. “Kemungkinan tikus. Bangunan lama... biasalah.”
Cikgu Nizam berdiri juga. “Saya pergi periksa. Teruskan makan.”
Aku dan Lia berpandangan. Tak perlu kata apa-apa. Kami tahu—itu bukan bunyi tikus.
Malam semakin larut. Selepas makan dan taklimat, kami bersurai ke bilik masing-masing. Aku mandi cepat-cepat, walaupun airnya sejuk macam ais. Lampu bilik aku malap, dan aku perlu letakkan beg sekolah untuk tahan pintu almari yang asyik terbuka sendiri.
Pukul 11 malam, aku baring. Tak boleh tidur.
Angin tiada, tapi langsir bergerak. Aku bangun dan periksa. Tak ada apa-apa.
Bila aku berpaling, aku nampak kertas di meja—yang aku simpan siang tadi—telah berpindah ke lantai. Macam… ada yang hembus keluar.
Aku angkat, lipat dan simpan dalam beg.
Dan ketika aku hampir pejam mata, aku dengar bisikan halus.
“Amelia…”
Aku duduk tegak. Jantung aku berdegup laju.
“Amelia… awak dah balik…”
Suara itu bukan datang dari luar. Bukan juga dari mimpi.
Ia datang… dari bawah katil.
Aku tak bergerak.
Selimut aku genggam sampai kuku masuk ke kulit. Jantung macam nak meletup. Telinga aku masih jelas menangkap suara perlahan dari bawah katil.
"Amelia… awak dah balik…"
Suara itu... bukan suara orang biasa. Ia garau, berbisik… tapi kedengaran dekat sangat. Terlalu dekat.
Aku tarik nafas perlahan, cuba capai telefon di tepi bantal. Skrin gelap. Bila aku tekan butang, tiada tindak balas. Mati.
Tiba-tiba—ketukan. Sekali. Di bawah tilam. Tepat di bawah belakang aku baring.
Aku terlompat bangun dan terus ke pintu.
Tapi...
Pintu bilik tak boleh buka. Grendel longgar sejak petang tadi, tapi sekarang—macam dikunci dari luar.
"Amelia..." suara itu merangkak naik, seperti seseorang tengah panjat dari bawah katil.
Aku berpaling. Kosong.
Tak ada siapa.
Tapi bau. Bau hanyir dan masam memenuhi bilik. Dan suhu—jatuh mendadak. Nafas aku keluar dalam bentuk wap.
Tiba-tiba, cermin kecil di sudut meja retak sendiri. Tiada angin. Tiada getaran. Tapi cermin itu berderai—dan aku nampak sesuatu di pantulan serpihan terakhir.
Seorang perempuan. Rambut panjang. Mata putih kosong. Mulutnya terbuka—tapi tiada suara keluar. Hanya satu bisikan, langsung ke kepala aku:
“Tolong kami. Buka semula.”
Lampu bilik padam.
Dan aku menjerit.
Jeritan aku mengejutkan seluruh bangunan.
Lia yang biliknya sebelah terus keluar, mengetuk pintu aku berulang kali sambil panggil nama. Tapi pintu cuma terbuka sendiri beberapa saat kemudian—dengan bunyi geseran panjang macam kuku yang mencakar lantai. Bila dia masuk, aku sudah duduk di lantai, pucat, tak mampu bercakap.
Cikgu-cikgu pun datang. Tapi aku cuma mampu geleng kepala bila mereka tanya apa jadi. Tak guna aku cerita—mereka takkan percaya.
Malam tu aku tidur dengan Lia di biliknya.
Dan malam pun bersambung.
Di tingkat satu, bilik nombor 104.
Fatin gelisah dalam tidur. Mukanya berkerut, tangan terketar-ketar di bawah selimut. Lampu bilik malap, dan kipas di atas kepala berpusing perlahan... sangat perlahan... sehingga berhenti sendiri.
Senyap.
Fatin kelihatan sedang mengalami mimpi buruk yang membuatkan dia bergerak-gerak kecil.
Dalam mimpinya, dia berlari dalam koridor asrama yang kosong. Cahaya merah menyala dari hujung dinding, dan suara tangisan kanak-kanak bergema dari setiap arah.
Tiba-tiba—di hujung koridor itu muncul bayangan hitam, tinggi dan kurus, dengan tangan panjang meleret ke lantai. Mata dua titik putih menyala, merenung tepat ke arahnya.
Dia berpaling untuk lari tapi lantai koridor bertukar jadi lumpur pekat, menenggelamkan kakinya. Suara tangisan itu berubah jadi ketawa garau, melengking panjang.
Fatin tersedar dengan nafas terputus-putus. Tapi... tangannya masih tenggelam dalam sesuatu yang sejuk dan basah.
Dia tarik selimut—dan terdiam.
Berderau rasanya apabila dia melihat keadaan sekelilingnya.
Katilnya penuh lumpur. Bau tanah lembap menusuk hidung. Dan di atas bantal, ada kesan jari kecil dan hitam. Lima jari. Seolah-olah... tangan kanak-kanak yang pernah tidur di situ.
Di dinding bilik, dengan lumpur yang sama, tertera tulisan:
“JANGAN AMBIL TEMPAT KAMI.”
Fatin terjaga kembali, suasana biliknya kelihatan biasa. Seperti tiada yang berlaku. Hanya bunyi kipas yang tenang berpusing. Rupanya dia mimpi di dalam mimpi.
Dia menarik selimut dan menyambung tidurnya.
was it nice? enjoy it.
Share this novel