BAB 8

Romance Completed 6524

“Assalamualaikum..” salam aku beri setelah 20 minit perjalanan pulang ke rumah yang menjadi syurgaku.

“Waalaikumussalam. Sara! Allahu, rindunya ayah dekat kamu..” ayah muncul di sebalik pintu. Segera aku salam insan yang banyak berkorban untuk diri ini.

“Sara pun rindu ayah. Sangat!” tubuh itu aku peluk.

“Kalau rindu kenapa tak balik-balik sepanjang tiga tahun kat sana?” suara kakak kedengaran. Aku sengih, tayang muka tak bersalah. Tangan itu aku cium sebelum dia memeluk aku.

“Kakak ni, kot ya rindu sangat kat Sara tak payahlah peluk kemas-kemas. Lemas dah ni,” usikku, membuatkan kakak melepaskan pelukannya sebelum cubitannya singgah ke lengan.

“Mama dan Fahim dah tahu Sara balik?” tanya ayah. Aku eleng kepala. Rasa sakit bila sebaris nama itu disebut. Nyata, hati aku masih tak sembuh.

“Nanti Sara pergi melawat mama. Sara naik atas dulu, nak rehat..”

masuk ke dalam bilik, aku rebahkan badan ke atas katil. Tiga tahun lepas, seminggu selepas aku meninggalkan Malaysia, aku mendapat khabar yang Fahim sudah sedarkan diri. Itu sudah cukup untuk buat aku lega. Setiap kali mama aku hubungi, mama tidak pernah menyebut tentang Fahim dan aku pula tidak pernah bertanya. Untuk apa melukakan hati sendiri lagi?

Petang itu, aku memandu ke rumah mama. Walau kata hati berperang sesama sendiri, tetapi tetap juga aku gagahkan diri. Yakin yang Fahim tidak akan ada di sana. Fahim pastinya berada dengan Dayana, yang aku yakin sudah menjadi isterinya. Bukankah itu impiannya sejak dulu?

“Assalamualaikum, mama..” Aku berikan salam melihat mama yang sedang memberi ikan di kolam mininya makan.

“Waalai.. ya Allah! Sara! Rindunya mama dekat kamu..” mama seperti ayah, sudah memeluk aku sebelum aku sempat berikan reaksi apa-apa.

“Sara bila balik? Kamu sihat? Macam mana Jepun? Seronok tak? Kamu balik ni..”

“Mama, banyak sangatlah soalan mama ni. Pening Sara mana satu nak jawab,” mama memukul lembut belakang tubuhku.

“Tidur sini malam ni ya? Temankan mama..” aku buat muka berkerut. Mama lupa ke dia ada anak lelaki? Dan kalau Dayana tahu aku ada dekat sini, tak ke haru nanti?

“Fahim outstation. Esok baru balik,” seakan mengerti, mama memberikan jawapan yang mampu buat aku hembus nafas lega.

Kata mama, Fahim tak jadi berkahwin dengan Dayana. Selepas seminggu dia sedarkan diri, mereka putuskan hubungan yang terjalin sejak masing-masing berumur 24 tahun. Sebab?

Tak pernah pula aku tanya mama. Mungkin tak ada jodoh. Aku? Entah. Aku sendiri tak pasti reaksi apa yang patut aku berikan bila mama sampaikan berita itu. Nak cambahkan semula harapan yang pernah ada, aku rasa itu semua sia-sia. Fahim tak kan pernah sedar cinta aku walau sampai sekarang aku masih cinta.

Aku renung bintang yang bertebaran di langit. Indah. Balkoni tingkat atas banglo keluarga Fahim memang jadi kegemaran aku dari dulu. Agak terlindung. Jadi tak bertudung pun tak apa. Mama sudah masuk tidur. Tinggal aku yang masih segar matanya. Menikmati indahnya ciptaan Dia.

“Mama!” terasa ada tangan yang sudah memeluk aku dari belakang sebelum sempat aku berpaling.

“Fahim rindu mama lah!” mendengar suara itu, aku cuba rungkaikan pelukan tersebut. Dan bila aku dah berjaya, aku nampak wajah terkejut Fahim.

“S..Sa..Sara! Sorry, aku.. aku ingatkan mama.. A..aku..” tanpa menunggu kata-katas seterusnya, aku terus berlari ke bilik tetamu. Mengunci terus pintu dan menangis semahu-mahunya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience