BAB 6

Romance Completed 4163

Suasana jalanraya waktu itu sangat sibuk. Kereta berderet-deret di lampu isyarat yang menghala ke arah Lebuhraya Pasir Gudang. Aku menjeling sekilas jam tangan Seiko yang berada di pergelangan tangan kiriku. Pukul tujuh. Memang waktu begini jalanraya masih sesak memandangkan masing-masing mahu pulang ke rumah setelah penat seharian bekerja mahupun bersekolah.

Aku menyandarkan kepala di kerusi tempat dudukku di dalam bas sekolah. Terasa lenguh pula leherku hari ini. Pandanganku dihalakan ke tengah jalan raya yang sesak memandang kenderaan yang masih tidak bergerak menanti isyarat hijau pada lampu isyarat.

Aku masih teringat lelaki itu. Haziq. Ya, lelaki itu. Sudahkah dia melupakan aku? Otakku menerawang jauh mengingati kembali saat pertama kali kami berjumpa. Entah bila kami akan bertemu lagi. Sebuah keluhan aku lepaskan. Pandangan mata ku arahkan ke bas sekolah yang berhenti di sebelah bas sekolah yang dinaiki olehku. Agak terganggu dengan bunyi suara yang datang daripada bas itu. Pandangan mata ku alihkan ke arah bertentangan bila aku lihat ramai pelajar lelaki di bas itu.

“Hazirahhhhhhhhh!!!” laung suatu suara yang memanggil namaku daripada bas itu. Laungan itu telah memaksaku untuk menoleh kembali untuk melihat pemilik suara itu yang sangat ku kenali.

Senyumannya membuat pandangan mataku kaku. Kehadirannya di hadapanku kini mematikan semua persoalan yang bermain difikiranku sebentar tadi.

Melihat aku yang masih terpaku memandangnya, akhirnya dia menjerit kembali.

“I love youuuuu!!!” dan serentak itu sebuah sorakan kedengaran daripada bas itu. Senyumannya lebar hingga ke pipi.

Aku masih tidak percaya aku berjumpa dengannya setelah sekian lama kami terpisah. Hampir tiga tahun kami tidak bersua muka. Tiada khabar berita.

Hazwan Haziq. Hari ini kita berjumpa lagi. Saat aku masih mencari jawapan kepada semua persoalan tentang kita. Tentang hubungan kita. Hubungan kita yang terjalin tanpa kata, terpisah kerana masa. Aku juga mahu mendengar daripada mulutmu, apakah benar Najihah kekasihmu.

Aku terus menatap wajah itu tanpa kata. Memandang anak matanya. Mencari kejujuran daripada mata itu. Dia juga masih menatapku dengan senyuman yang sangat ku rindui selama ini. Aku masih menatapnya ketika bas sekolahku mula bergerak meninggalkan bas sekolahnya di belakang.

Air mata yang tidak ku tahu sejak bila telah membasahi pipi kini semakin laju mengalir keluar daripada tubir mata seperti air takungan yang melimpah apabila empangan pecah. Semakin ku seka, semakin laju ia mengalir keluar.

‘Aku rindu dia!’ Hanya itu yang mampu aku katakan saat bas kami membawa haluan yang berbeza. Dia masih melihatku menerusi jendela. Aku juga masih melihatnya dalam juraian air mata.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience