“Masa awal-awal Haleef tahu dia kena kanser otak, dia murung. Suka marah-marah.” Abang Qaim a.k.a Along bercerita kepadaku.
“Dia takut. Dia kata dia tak bersedia untuk mati. Dia jadi tak bersemangat nak belajar.” Abang Qaim tersenyum pahit. “Tapi dia jenis pendam. Tak cerita kat sesiapa. Satu hari, Along nampak dia menangis.”
Aku mengerutkan muka.
“Kita tak rasa sakit yang Haleef rasa, Daler . Dia kata kat Along rasa macam nak pecah kepala. Bila Along suruh dia buat rawatan radiasi, tubuh dia jadi lemah. Satu per satu benda dia tak boleh buat. Daler tahu tak yang bola tampar tu dah macam nyawa Haleef ?”
Aku senyap. Teringat kata-kata Haleef hari tu.
“Daler , kau tahu tak, tahun lepas aku wakil sekolah bola tampar.”
Dari gaya Haleef , aku dapat lihat yang dia memang minat bola tampar. Tapi aku tak tahu sejauh mana minatnya itu.
“Bola tampar tu lah satu-satunya kenangan dia dengan ayah dia sebelum ayah dia buang dia kat Darussakinah. Pasukan ayah dia dulu johan lawan universiti-universiti. Dia kata dia nak jadi johan kat malaysia, supaya ayah dia kenal dia, boleh bangga dengan dia. Kamu boleh bayang tak apa Haleef rasa bila dia tak mampu lagi nak lompat buat servis? Tak mampu lagi nak dig bola bagi lepas net?” Abang Qaim menyapu air mata yang mengalir di pipinya.
“Tapi Haleef hebat. Dia tak terus tenggelam. Dia kata kat Along, mungkin Allah bagi dia sakit sebab nak tarik perhatian dia yang selama ni buat something sebab nak tarik perhatian ayah dia. Lepas tu, dia kata kat Along, dia sanggup hilang semua yang dia ada, asalkan Allah ada bersama. Dia tak sanggup kalau Allah bagi dia semua nikmat, sampai dia lupa nak meminta pada Allah, sampai buat dia jauh dari Allah. Dan sejak hari tu, dia mula buat peraturan-peraturan tu.” Abang Qaim berhenti bercerita. Dia meraup wajah.
Itu rupanya sejarah wujudnya peraturan-peraturan tu..
Abang Qaim bangun dari kerusinya.
“Along nak pergi jumpa Haleef kejap.” Dia membetulkan letak cermin matanya dan masuk ke dalam wad Haleef .
Aku tersandar lemah.
“Aku jeles sangat bila kau cerita kat aku apa yang mak kau buat kat kau. Bila kau cerita pasal abang kau yang sporting. Ayah kau yang terlebih caring. At least, kau pernah rasa semua tu. Aku..” Dia menarik nafas dalam. “Aku tak pernah rasa, Daler .”
Ya Allah! Setitis. Dua titis. Tiga titis. Air mata yang mengalir kubiar jatuh menuruni dagu.
Share this novel