MAWAR
9
MAWAR berdiri di hadapan cermin. Dia sudah bersolek cantik tapi Zakuan tetap tidak mahu memandang diri. Dia tidak akan serahkan Zakuan pada gadis bernama Cahaya itu. Zakuan miliknya. Dia lebih rela Zakuan mati dari Zakuan dirampas oleh Cahaya.
Mawar tidak peduli dengan kesakitan yang dialami oleh Zakuan. Dai terus-terusan mengenakan sihirnya pada Zakuan. Biar Zakuan jadi gila. Gila sepertinya. Mawar ketawa sendirian.
Mawar melekapkan jari telunjuk ke bibirnya.
“Syy…
”
Suasana banglo itu sunyi dan sepi. Suasana yang suram menyeramkan mereka yang duduk berhampiran banglo mewah itu. Pelbagai cerita mula kendengaran. Mereka melihat ibu dan anak dengan tubuh yang terbakar di balkoni banglo itu. Mereka tidak berani menghampiri. Siapa yang tidak kenal dengan keluarga kaya itu. Tambah pula Tuan Malek dan keluarga tidak rapat dengan penghuni yang berdekatan. Sikap bengis lelaki itu tidak disenangi.
Bukan mereka tidak kasihan dengan kisah yang menimpa adik-beradik itu. Mereka tiada keberanian untuk masuk campur.
Mawar duduk bermain buaian. Rambutnya beralun ditiup angin. Zakuan berdiri di sisinya. Zakuan seperti orang yang tidak keruan. Hatinya memberontak tetapi dia tidak mampu mengawal dirinya yang asyik mendengar kata-kata Mawar itu.
“Mawar nampak Cahaya bersama Abang Safuan. Mereka sedang bergelak tawa di dalam. Mawar memang selalu nampak mereka jumpa sembunyi-sembunyi dari abang.”
Zakuan menjegilkan matanya apabila dua nama itu disebut oleh Mawar. Jemari menggenggam kemas tali buaian itu.
Mawar senyum. Umpan sudah mengena.
“Mawar dah cakapkan. Cahaya tu ada hubungan sulit dengan Abang Safuan.”
Gigi Zakuan berlaga. Amarahnya semakin ke kemuncak.
“Aku bunuh mereka!”
Zakuan berlalu. Mawar tidak sabar melihat apa yang berlaku seterusnya. Dia tidak jika dalam banglo itu hanya tinggal dia bersama Zakuan. Tiada sesiapa lagi yang akan menggangu mereka.
“SYYY…” Safuan meletakkan jari telunjuk pada bibirnya.
Cahaya yang sedang duduk di atas kerusi itu membisu. Dia meletakkan kotak susu di atas meja makan. Seekor kucing melompat dari atas ke bawah menghampiri mangkuk berisi susu cair.
“Meowww…”
Bulu kucing itu diusap-usap lembut. Kucing comel itu mengangkat kepalanya. Lidahnya mula menjilat-jilat jari-jari kasar Safuan itu.
“Kau baliklah,” Safuan membuka mulut.
Cahaya menggeleng. Dia sudah bertindak sejauh ini masakan dia mahu berpatah balik. Nekadnya tidak akan berubah.
“Aku tak nak balik,” balas Cahaya. Lirikan matanya masih tertumpu pada wajah Safuan.
“Keluarga aku ni orang gila. Kau tak kasihan pada mak dan ayah kau?” Ton suara lelaki itu sudah berubah.
Cahaya mengebam bibir.
“Kenapa kau cakap macam tu?” soal Cahaya tidak senang hati dengan kata-kata lelaki itu.
Pengorbanannya itu seperti tidak dihargai.
“Baliklah…” pujuk Safuan terus-terusan.
Cahaya tetap menggeleng.
Bunyi dentuman pintu di ruang tamu mengejutkan kedua-duanya. Lelaki itu bingkas bangun berlari ke ruang tamu. Kemudian dia kembali dengan wajah cemas.
“Lari! Lari!” arahnya.
Dia menarik lengan Cahaya agar bangkit dari duduknya.
“Kenapa?”
Cahaya tercengang-cengang dengan tindakan lelaki itu.
“Aku kata lari!” pekik Safuan lantang.
Tubuh gadis itu ditolak ke pintu belakang.
“Aku tak nak balik!”
Gadis itu mengeraskan tubuhnya sebaik berada di muka pintu.
“Jangan degil. Aku tak nak kau jadi mangsa.”
Pintu itu terus dibuka.
“Aku…”
“Pergi, sebelum kau jadi mangsanya!” getus Safuan.
Cahaya masih tidak mahu membuka langkahnya. Dia tetap masih berkeras untuk berada di situ.
Zakuan muncul di belakang mereka. Wajah Safuan menjadi pucat. Cahaya pula menekup mulut melihat kedua belah tangan Tuan Malek berlumuran dengan darah. Kesan-kesan kelar jelas kelihatan.
Safuan segera menahan Tuan Malek. Tuan Malek bagaikan orang hilang akal. Safuan menolak Tuan Malek ke dalam bilik Stor. Pintu bilik itu dikunci dari luar.
“Cepat, pergi dari sini!” pekik Safuan lagi.
Kaki Cahaya seakan sudah terpaku di situ. Dia seperti tidak mampu untuk membuka langkah melarikan diri.
Zakuan pula muncul di muka pintu dengan muka yang bengis. Tangannya memegang sebilah kapak. Kapak diayunkan ke arah lelaki di depan matanya tetapi pantas Safuan mengelak.
“Jangan jadi gila!”
“Aku nak bunuh kau orang!”
Sekali lagi kapak dihayunkan tetapi berjaya ditangkap oleh lelaki itu. Penumbuk dilayangkan pada wajah lelaki tadi. Kapaknya berjaya dirampas. Dia menarik nafas panjang. Tersilap langkah mahunya kapak itu menetak tubuhnya.
“Kau dah gila.”
“Memang aku gila. Aku gila sebab kau tikam aku dari belakang.”
“Apa yang kau mengarut ni. Aku tak pernah tikam kau dari belakang atau menipu dengan kau.”
Gadis itu sudah terjelepuk atas lantai dengan esakan kecil. Tubuhnya menggeletar. Zakuan merapati dan cuba memujuk. Gadis itu menolak tubuhnya.
“Perempuan tak guna!” Dia mencekik leher perempuan itu.
“Lepaskan dia!”
Safuan tidak boleh duduk diam. Dia meluru dan cuba meleraikan pautan pada leher gadis itu daripada tangan Zakuan dari terus mencekik gadis itu.
Mata Cahaya sudah terjegil akibat dicekik. Lama-kelamaan tangannya yang meronta-ronta itu terkulai layu.
Nafasnya sudah terhenti. Zakuan masih tidak mahu melepaskan cengkaman pada lehernya. Tubuh Cahaya terkulai layu.
Mawar yang mengintai hanya tersenyum manis. Dia ketawa dalam hati. Memang itu yang dia mahu. Cahaya mati dalam tangan Zakuan.
Share this novel