BAB 8

Romance Completed 8177

“ Ka.. kat mana dia jumpa abang Khalish? Kat mana?”

“ Dekat kedai kek tu lah! Aku rasa tunang kau dah balik Malaysia lah, Dhia. Kalau tak, mana dia tahu cerita si Amin tu cuba tackle kau? Mesti dia ada sekali kan time tu? Takkanlah dia pasang spy pulak,” Asyadhia memegang kepala. Amin jumpa abang Khalish di kedai kek abang hensem? Tetapi, macam mana?

“ Kenapa ibu tak beritahu aku apa-apa pun fasal semua ni? Kalau dia dah balik, mesti ibu atau ummi abang Khalish sendiri akan beritahu aku,” Faralyna angkat bahu. Dia sendiri tidak punya jawapan untuk soalan itu.

“ Mungkin dia ada sebab sendiri yang kita tak tahu?” telahnya. Asyadhia bungkam. Jika benar abang Khalish punya alasannya sendiri, tidak bolehkah dia ambil tahu walaupun hanya sekelumit? Langsung tidak diketahui apa-apa tentang bakal suaminya itu. Apa kegemarannya, apa minatnya, semuanya kosong! Kosong! Sedangkan semua perihalnya ada dalam poket lelaki itu. Bahkan mereka juga bakal menjadi suami isteri. Tidakkah lelaki itu memikirkan tentang hatinya jua?

Asyadhia menyarung tudung. Faralyna yang baru muncul dari dapur tidak sempat menghalang tika melihat kelibat Asyadhia menghilang di sebalik pintu utama. Asyadhia mundar-mandir di deretan kedai. Niatnya untuk ke kedai kek itu seakan dihalang oleh hati sedangkan akal memaksa untuk dia pergi. Dia mahu tahu perkara sebenar. Dia mahu menyelidiki semuanya!

“ Awak ada masalah ke? Kenapa dari tadi mundar-mandir kat sini je terus?” Asyadhia tersentak mendengar sapaan yang tiba-tiba. Lelaki itu senyum. Ya, lelaki itu sememangnya tidak pernah lekang dengan senyuman! Dan mungkin kerana itulah ramai gadis tertawan dengan jejaka itu, termasuk dirinya yang hampir jatuh cinta!

“ Tak letih ke awak asyik senyum je?” seperti yang dijangka, Azad senyum lagi. Senyuman yang mampu mencairkan hati sesiapa saja. Dipandang wajah Asyadhia dalam-dalam sebelum gadis itu kembali menunduk.

“ Senyum tu kan satu sedekah. Cara paling mudah untuk kita dapatkan pahala,”

Asyadhia terangguk-angguk. Azad senyum memandang kelakuan gadis itu. Setiap tingkah gadis itu seakan telah menggam seluruh hatinya untuk melekat pada Asyadhia. Si manis Asyadhia. Yang sentiasa mencuit hatinya sejak dahulu lagi. Beg kecil di tangan diserahkan kepada Asyadhia. Gadis itu memandang pelik. Curiga barangkali.

“ Just a gift from my heart for someone like you,” ujarnya sebelum berlalu dari situ. Asyadhia terpinga-pinga. Hatinya berbunga bahagia walau ada resah bertapak di jiwa.

Sesampainya di rumah, Asyadhia membuka beg kecil itu. Tidak sabar untuk melihat isinya. Adakah ia kek seperti hari-hari sebelumnya? Kad yang ada diletakkan di sisi. Bungkusan itu dikoyakkan sampulnya. Terlopong mulutnya tika melihat apa yang terkandung di dalam kotak itu!

“ Ci.. ci.. cincin?” sebentuk cincin belah rotan yang diriasi dengan berlian-berlian kecil terhampar di ruang mata. Asyadhia menutup mulut. Tidak percaya! Kad di sisi diambil.

‘ Saya tahu, saya dah banyak buat salah pada awak. Saya dah buat awak sedih, dan buat awak kecewa dengan saya. Tapi.. Saya cuma nak awak tahu, semua yang saya lakukan adalah untuk masa depan kita. Masa depan kita sebagai suami isteri. Saya cuba untuk melindungi awak walau dari kejauhan. Saya nak pastikan awak juga sudah bersedia untuk menggalas tanggungjawab ini. Ya, saya Khalish awak. Khalish Azad. Orang yang selalu buat kek tiramisu untuk awak. Orang yang selalu menghulurkan seukir senyuman untuk awak. Yang selalu ada untuk awak.. I really do. Really do love you. KA’

Asyadhia terasa mahu menjerit saat itu jua. Tidak menjangka insan yang dicari selama ini rupanya sentiasa ada di hadapan mata! Sekian lama dia menanti, mengharap kehadiran lelaki itu, dan nyata dia ditipu sendiri!

“ Dhia? Kenapa ni? Kenapa kau menangis?” Faralyna yang baru memasuki bilik mereka terpana melihat Asyadhia yang sedang menangis di kepala katil.

“ Dhia? Dhia? Wei.. kau jangan takutkan aku! Aku panggilkan Zira dengan Zara, ya?” Faralyna sudah bersedia untuk melangkah sebelum bicara Asyadhia membuat dia kaku di situ.

“ Rupanya selama ni dia tak jujur pun dengan aku. Dia sentiasa ada dekat dengan aku. Sentiasa memerhatikan aku. Cuma aku je. Aku je yang tak tahu selama ni dia ada di samping aku. Cuma aku je yang ibarat boneka untuk tontonan dia. Adil ke macam tu Lyna? Dia tahu semuanya tentang aku, tapi aku? Patut ke aku teruskan hubungan ni sedangkan aku ibarat patung saja?” Faralyna mampir ke arah Asyadhia yang sedang memeluk lutut dengan tangisan yang kian kuat.

“ Siapa yang kau maksudkan, Dhia?”

“ Abang Khalish, a.k.a Azad, a.k.a abang kedai kek tu.. Dia tunang aku Lyna! Tunang aku! Selama ni dia ada depan mata aku je! Aku yang tak sedar. Tak tahu! Sanggup dia permainkan aku, Lyna.. sanggup dia biarkan aku terkapai-kapai macam ni. Terikat dalam ikatan yang aku sendiri tak pasti. Dia buat aku tertanya-tanya sampai aku keliru dengan perasaan aku sendiri. Kenapa Lyna? Kenapa dia buat macam ni?”

Faralyna tercengang. Terkedu mendengar cerita yang keluar dari mulut temannya. Abang hensem yang selama ini menjadi perhatian mereka rupa-rupanya tunang kawan baik mereka sendiri! Dan lebih malang lagi, Asyadhia sendiri tidak tahu bahawa lelaki yang menjadi tumpuan ramai gadis itu adalah tunangnya. Faralya menghampiri Asyadhia, dan dibawa tubuh genit itu ke dalam pelukan. Cuba menyalurkan sedikit kekuatan.

“ Sabar Dhia. Kau kena sabar. Dan kau kena percaya, Allah sedang aturkan yang terbaik untuk kau. Anggap ini satu ujian untuk kau sebelum kau membina masjid. Kau kena fikir secara rasional tentang hal ni. Jumpa Khalish, dan minta penjelasan. Aku yakin, ada sebab dia lakukan semua ni. Kau kena percaya pada dia. Yakin pada Allah jua,”

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience