BAB 9

Romance Completed 8177

Asyadhia menyelusuri jalan yang terdampar di hadapan mata. Dia tidak tahu dia berada di mana dan bagaimana dia berada di sini juga sukar untuk ditebak. Langkahnya terus diatur sehinggalah dia bertemu sebuah taman. Indah! Kelihatan seorang lelaki sedang duduk membelakanginya. Aturan langkahnya cermat menghampiri tempat duduk lelaki tersebut. Dan apabila lelaki itu berpaling ke arahnya, Asyadhia menutup mulut. Matanya sudah berair. Kebetulan apakah ini?

“ A.. ayah!” sebaris nama itu terzahir dari bibir nipisnya. Ayahnya senyum. Apabila jarak antara mereka semakin dekat, tubuh tua ayahnya pantas dirangkul erat. Sungguh dia rindu pada insan tersebut.

“ Kakak rindu ayah. Rindu sangat-sangat..” Asyadhia bersuara dalam tangis.

Terasa ada tangan yang mengusap belakang kepalanya, dan dia tahu, itu ayahnya. Asyadhia terusan menangis. Jika dulu, dia punya tempat untuk berkongsi segala rahsia, tempat untuk meluahkan segala resah yang ada dalam jiwa, namun, pemergian ayah meragut kegembiraannya. Bukan ibu tidak mampu menjadi pendengar yang setia, tetapi dia tidak mahu lebih membebankan ibu yang ketika itu masih bertarung dengan perasaan sendiri. Ya, jika diikutkan, ibu lebih terseksa, lebih terluka dengan semua yang terjadi dalam keluarga mereka, dan kerana itulah, Asyadhia tidak mahu menjadi beban buat ibunya.

“ Ayah pun rindu kakak, ibu dan adik-adik.. Tapi, maafkan ayah sebab tak dapat berada di sisi kalian saat kalian rebah dulu. Kakak maafkan ayah, kan?” Asyadhia mengangguk laju. Pelukan dikemaskan.

“ Ayah jangan pergi lagi. Kakak tak kuat tanpa ayah di sisi. Kakak perlukan ayah,”

“ Syyhh.. jangan macam ni sayang.. Kakak kan ada Khalish. Nanti dia akan jadi suami kakak. Dia akan jadi pengganti ayah. Dia akan sayang kakak, jadi pelindung keluarga kita juga. Kakak tak gembira ke?”

“ Tapi abang Khalish dah buat kakak sedih, ayah.. Dia buat kakak macam orang bodoh. Dia tipu kakak. Buat kakak tercari-cari siapa dia, sedangkan dia ada depan mata kakak selama ni. Dia buat kakak keliru dengan perasaan sendiri. Kakak jatuh hati pada dia tanpa sedar dia tunang kakak,” ayahnya senyum. Wajah Asyadhia diangkat.

“ Kakak tak redha dengan semua ni? Tak yakin dengan aturan Allah?” Asyadhia bungkam.

“ Kakak percaya, yakin, dan redha dengan semua yang dah terjadi ayah. Tapi, kakak cuma rasa tertipu dengan dia. Kenapa dia tak berterus terang je dengan kakak? Kenapa buat kakak macam ni??” Asyadhia meluahkan perasaan.

“ Kalau kakak yakin dan percaya pada ketentuan Allah, kakak dengar dulu penjelasan daripada Khalish. Khalish buat semua tu untuk kebaikan kakak juga. Kakak sayang ayah kan?” Asyadhia angguk.

“ Kalau kakak sayang ayah, janji dengan ayah.. kakak akan jaga ibu, jaga adik-adik seeloknya. Kakak takkan ketepikan mereka walaupun lepas kakak kahwin nanti. Dan kakak juga kena janji, kakak akan kahwin dengan Khalish. Ayah takkan pilih orang yang salah untuk jadi menantu ayah. Untuk jadi penjaga dan pelindung anak ayah. Untuk jadi pengganti ayah. Ayah tahu, hanya Khalish yang terbaik buat anak ayah. Janji ya, sayang?” mutiara jernih di pipi Asyadhia semakin laju mengalir keluar dari matanya. Bayang ayah semakin hilang dari pandangan.

“ Ayah.. jangan pergi!! Kakak janji, kakak akan tunaikan segala permintaan ayah. Tapi ayah jangan pergi lagi.. Kakak nak ayah! Ayah!!! Ayah!!!” Asyadhia terjelupuk ke lantai. Air matanya dibiarkan turun baik air terjun. Pertemuan yang singkat, tetapi cukup untuk melunaskan kerinduan yang sekian lama membungkam di hatinya.

Asyadhia membuka mata. Dipandang sekelilingnya yang bukan seperti yang dilihat sebentar tadi. Dia berada di atas katilnya! Dan peristiwa tadi.. adakah ia mimpi? Atau petunjuk kepada semua yang sedang dihadapi saat ini? Asyadhia melepaskan keluhan. Dia tahu, Allah kini sedang menunjukkan dia jalan untuk membuat keputusan. Wajah diraup. Moga ini yang terbaik..

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience