“Seronok kan jadi budak.. tak payah nak fikir banyak benda.” Redza bersuara bila kami di bangku sambil memerhati Soffiya yang bermain buaian. Biasalah kalau bersama Soffiya, tempat kegemaran ialah taman permainan!
“Jadi, kau nak jadi budak semula, ke?” Aku gelak. Redza geleng kepala. “Kalau bolehlah.. aku memang nak kembali semula ke masa lampau aku.” “Huh? Kau ingat aku doraemon yang ada mesin masa tu ke?” Redza gelak makin galak. “Tak. Tapi kalau aku punya kesempatan tu balik, serius memang aku nak rewind balik hidup aku.” “Ok.. agak-agaknya waktu kau zaman bila tu kau nak bermula semula?” Aku melayankan saja Redza dan angan-angan mat jeninnya.
“Aku nak mula dari sekolah menengah. Aku nak betulkan semuanya.. supaya aku tak menyesal macam sekarang.” Tersirat! Aku pandang Redza. Matanya jauh merenung di kejauhan. Tanpa sebarang komen, aku pun hanya memandang ke depan dengan dalam hati penuh dengan tanda soal.
Seorang wanita bertubuh tinggi lampai menghampiri Soffiya dan memimpinnya hampir ke arah kami. Redza hanya berpeluk tubuh. Aku dah boleh agak siapa dia. Tiba-tiba dalam hati berdebar-debar.
“Auntie, ni mama Soffi.” Soffiya memperkenalkan. Aku bangun dan hulurkan tangan. Dia menyambut mesra. Buat masa ni tak ada lagi reaksi kurang senang.. aku agak. “Ayuni.. kan?” Peh, bangganya aku. Suraya ingat lagi nama aku!
“Ya. Suraya?” Dia angguk. “Sorry, aku tak beritahu kau yang Suraya nak datang sini jemput Soffi..” Redza menerangkan pada aku. “Ya.. sorry kalau I menganggu. Cuma nak bawa Soffi balik rumah family I. Nenek dia dah rindu dengan Soffi.” Suraya pulak tambah.
“Tapi, Soffi nak pergi dengan papa..” Soffiya dah merengek. Aku dah tunjuk isyarat pada Redza yang aku balik dulu, tapi dia buat isyarat suruh tunggu dulu. “Soffi.. papa ada hal.” Suraya memujuk. “Nak dengan papa jugak.. papa!” Soffiya dah mula nak menangis.
“Ok.. jangan nangis. Papa akan ikut Soffi sekali.” Redza dah angkat tangan tanda mengalah lalu Soffiya berteriak riang. “Sorry Nini, nampaknya aku kena balik dengan Suraya.” “Eh, tak apa. Aku boleh balik sendiri. Soffi.. auntie balik dulu. Bye!” Soffiya bersalaman dengan aku lalu melambai laju. Cepat-cepat dia mendapatkan Suraya lalu berpimpinan tangan kiri dengannya dan tangan kanan dengan Redza.
“Aku balik dulu, Nini. Jumpa lagi!” Redza melambai, macam Soffiya dan Suraya senyum cuma. Aku membalas senyumannya lalu mereka berjalan meninggalkan aku.
Aku tak terus balik ke rumah, tapi aku memerhatikan mereka dari kejauhan. Mereka melangkah seiringan dan sesekali terdengar gelak ketawa mereka bila Soffiya bersuara. Nampak Soffiya dah merajuk, Suraya mula mengusiknya yang dah berada atas dukungan Redza. Terhuyung hayang Redza yang cuba mengawal keseimbangan badannya bila Soffiya bergerak mahu mengelak dari Suraya. Tapi, tak lama lepas tu mereka dah bergelak ketawa balik. Ah, betapalah mereka ni masih kelihatan keluarga bahagia!
Aku tak tegar nak tengok kebahagian mereka lama-lama. Aku jadi sebak, sebab aku cemburu! Aku cuba buang perasaan tu, tapi aku tak mampu. Tambah pulak bila aku dah reunion balik dengan Redza, aku tak boleh tipu diri aku sendiri.
Betul kata Fareed, memang aku dan Redza ada sesuatu. Aku dan Redza berkawan dari tingkatan 4. Masa tu kami sekelas bila aku baru berpindah ke sekolah asrama tu. Dan mungkin sebab kami ni serasi, jadi persahabatan kami ni kekal lama hinggalah kami terpisah sebab dia ke luar negara untuk sambung belajar. Memang aku menangis selebat-lebatnya masa hantar dia kat airport, sebab masa tu aku dah sayang dia dan kalau boleh aku tak mahu jauh dari dia. Tapi, aku tak boleh nak beritahu perasaan aku pada dia sebab aku takut dia akan tolak aku dan persahabatan kami terus putus. Jadi, aku pendamkan semuanya dan aku tunggu dia habis belajar. 3 tahun aku tunggu dia habis belajar dan kami hanya berhubung melalui emel.
Aku tak boleh lupa betapa aku teruja nak tunggu dia balik semula ke rumah. Aku siap beli baju baru, mekap muka aku, siapkan diri awal-awal, malah dah mintak cuti untuk hari tu.
Bila balik dari UK, dia kenalkan aku dengan Suraya. Pertemuan yang patutnya menggembirakan dah jadi menyedihkan bila dia juga beritahu yang Suraya tu ialah isteri dia. Dia dah kahwin dengan Suraya! Aku cuba kawal air mata aku dari menitis dan senyum tanda gembira dengan perkhabaran tu. Dan lepas dari tu, itulah khabar terakhir yang aku dengar dari dia bila aku dengan sengaja terus hilang dari hidup Redza tanpa sebarang tanda.
Share this novel