BAB 3

Romance Completed 16857

Imam Khaleed terkejut dengan kepulangan anak tunggalnya lewat dinihari itu dengan menaiki teksi. Lebih-lebih lagi apabila melihat Khairunnisa’ menjinjing beg pakaian. Isterinya juga mempamerkan wajah hairan. Kenapa Khairunnisa’ balik tanpa Nazril, suaminya?

“Assalamualaikum abi… Umi!”

Khairunnisa’ menyalami tangan abinya dan selepas itu, dia terus memeluk uminya erat. Di situ, dia tangisannya terhambur untuk kesekian kalinya.

“Kenapa ni Nisa? Kenapa Nisa balik lewat malam macam ni? Mana Nazril?”

Soal Imam Khaleed dan saat itu, dia seakan dapat meneka sesuatu. Gusar jiwanya apabila benaknya mula berfikir yang bukan-bukan. Khairunnisa’ tidak menjawab. Hanya tangisannya yang menjadi jawapan kepada soalan abinya.

“Kenapa dengan anak umi ni? Nisa bergaduh dengan Nazril ke? Nazril tahu ke Nisa balik rumah umi?”

Puan Fatma mengusap belakang anaknya penuh kasih. Tersentuh hatinya mendengar tangisan anak tunggalnya itu. Dia meleraikan pelukan dan wajah sugul Khairunnisa’ direnung lama. Khairunnisa’ menggeleng perlahan sebagai jawapan kepada soalan uminya tadi. Memang Nazril tak tahu yang dia sudah bertolak pulang ke kampung.

“Abi tak pernah ajar anak abi jadi isteri yang derhaka. Kalau Nisa keluar dari rumah tanpa izin Nazril, abi takkan benarkan Nisa masuk dalam rumah abi. Abi tak nak bersubahat dengan Nisa. Tunggu di sini! Abi nak masuk telefon Nazril suruh dia datang sini ambil kamu balik.”

Tegas Imam Khaleed.

“Abang Nazril… Dah ceraikan Nisa, abi!”

Ujar Khairunnisa’ perlahan. Serentak itu Imam Khaleed dan Puan Fatma saling berpandangan. Mereka seakan tidak mahu percaya apa yang terluncur dari bibir Khairunnisa’ sesaat tadi.

“Cerai? Betul ke Nisa?”

Tanya Imam Khaleed dan anggukan dari Khairunnisa’ membuatkan dia berishtighfar panjang. Puan Fatma juga begitu. Terus sahaja wanita awal 50-an itu menangis. Sedih mengenangkan nasib anak tunggal mereka. Kenapa Nazril menceraikan Nisa? Apa yang Nisa dah buat? Ya ALLAH! Puan Fatma mahu membiarkan persoalan itu memukul benaknya. Dia tidak mahu membebankan anaknya dengan soalan-soalan begitu. Biarlah Khairunnisa’ bertenang dahulu.

“Umi, bawa Nisa masuk dalam rumah. Dah lewat malam ni.”

Kata Imam Khaleed dalam getar suara menahan perasaan.

“Baiklah abi. Jom kita masuk dulu sayang!”

Ajak Puan Fatma seraya tangannya melingkari pinggang Khairunnisa’. Mereka beriringan masuk ke dalam rumah. Imam Khaleed hanya mampu berishtighfar untuk menenangkan hatinya. Dia benar-benar gusar! Kenapa Nazril melafazkan talak pada Khairunnisa’? Adakah Khairunnisa’ melakukan sesuatu yang tidak baik sehingga dia diceraikan? Walhal, baru dua bulan lepas dia yang menikahkan Nazril dengan Khairunnisa’. ALLAHU RABBI! Dadanya yang sebu diusap perlahan.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience