BAB 5

Romance Completed 16857

“Apa yang kamu cakap ni, Naz? Mama dah carikan perempuan yang baik, yang sempurna untuk jadi isteri Naz. Tapi, apa yang Naz buat? Naz ceraikan dia tanpa sebab! Sampai hati Naz buat Nisa macam tu. Mama malu nak berdepan dengan keluarga Nisa, tahu tak? Sekarang Naz nak mama pergi pujuk Nisa untuk kembali pada kamu pula?”

Bentak Datin Hanani dengan hati yang terbakar. Geram sungguh dia dengan perangai Nazril. Dia hampir pengsan saat diberitahu oleh Imam Khaleed tentang hal perceraian Nazril dan Khairunnisa’. Dia tak sangka Nazril akan bertindak sebodoh itu. Dia tahu Nazril ceraikan Khairunnisa’ kerana Arissa. Sampai bila-bila pun dia tidak akan terima Arissa untuk jadi menantunya. Tidak akan! Kali pertama dikenalkan dengan Arissa, dia sudah tahu Arissa bukan gadis yang baik. Pakaiannya seksi mengalahkan artis barat! Sebab itu, dia cepat-cepat carikan perempuan yang baik untuk Nazril.

“Mama… tolonglah! Tolong telefon Nisa dan cakap yang Naz nak rujuk semula. Naz menyesal mama! Nisa perempuan yang baik. Naz perlukan Nisa, mama!”

Rintih Nazril sambil menangis tersedu-sedu. Sudah lebih tiga bulan dia menceraikan Khairunnisa’ dan sepanjang tempoh itu juga dia jadi sasau. Sasau dengan bayangan Khairunnisa’. Setiap saat, wajah mulus gadis itu hadir mengganggu fikirannya.

Urusannya di pejabat juga sudah mula terabai. Khairunnisa’ pula langsung tidak mahu menjawab panggilan telefonnya. Nak telefon rumah, dia malu pula pada ibu dan bapa mertuanya.

“Baru nak menyesal? Sepatutnya Naz kena sedar dari dulu lagi yang Nisa tu perempuan yang baik. Naz tu buta hati! Mama nak Naz pujuk Nisa sendiri. Sekarang ni dah lebih tiga bulan, tahu tak? Dah lepas edah! Lagipun, mama tak fikir yang Nisa akan terima Naz semula. Sebab tu, Naz kena ikut akal. Bukan ikut hati Naz yang buta tu tahu tak?”

Datin Hanani perhatikan Nazril yang sudah banyak berubah itu. Janggut dan misainya dibiarkan tumbuh meliar. Penampilannya juga bersarabai macam orang hilang arah. Dia juga tersentuh melihat keadaan Nazril begitu.

“Mama, tolonglah! Naz nak Nisa semula…”

“Maafkan mama! Mama tak akan tolong. Kalau Naz nak, Naz pujuklah Nisa sendiri. Mama dah malu nak cakap pasal kamu depan Nisa lagi.”

Jawab Datin Hanani. Perasaan simpati buat sang anak terpaksa disimpan dalam hati. Baru minggu lepas dia melawat Khairunnisa di kampungnya. Dia juga ada menyuarakan hasrat Nazril itu tapi, Imam Khaleed tidak memberikan apa-apa keputusan. Khairunnisa’ sendiri membisu. Rasanya dia faham tentang jawapan mereka.

Nazril meraup mukanya berkali-kali. Dia benar-benar menyesal kerana bertindak bodoh. Memang betul cakap mama. Hatinya buta sehinggakan dia langsung tidak boleh menilai setiap kebaikan Khairunnisa’. Khairunnisa’ tidak pernah merungut atau menjawab atas setiap layanan buruk yang dia berikan. Gadis itu tetap bersabar dengan apa yang telah berlaku. Dialah sebaik-baik perempuan yang dicipta untuk membuatkan dia sedar tentang erti sebuah cinta!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience