BAB 6

Romance Completed 16857

Imam Khaleed dan Puan Fatimah saling berpandangan. Seketika kemudian, mata mereka terus terfokus ke arah Mak Esah. Berat benar hati mereka untuk menunaikan hajat wanita itu. Kemudian, mereka memandang Uwais. Pemuda itu kelihatan tenang di sisi ibunya.

“Imam, saya ikhlas mahu memperisterikan Nisa.”

Luah Uwais jujur.

“Uwais, kamu masih lagi belajar dan…kamu tahu tak yang Nisa dah pernah berkahwin?”

Imam Khaleed menyoal.

“Saya dah tahu, Imam. Ibu yang ceritakan pada saya. Untuk pengetahuan Imam. Saya dengan Nisa memang saling mencintai. Saya tahu kenapa ALLAH gerakkan hati saya untuk pulang ke Malaysia. Sebab… Rancangan ALLAH itu adalah untuk saya tahu tentang kebenaran ini. Saya kecewa bila ibu beritahu yang Nisa dah kahwin. Tapi, pada masa yang sama saya bersyukur sebab dia bukan lagi milik suaminya. Bukan saya mendoakan yang tak baik tapi, saya juga manusia biasa, Imam. Saya tak boleh tipu diri saya sendiri. Nisa dah habis edah dan saya ikhlas berhajat mahu memperisterikan Nisa.”

Ucap Uwais ikhlas dan jujur. Bicaranya lembut dan tenang setenang raut wajahnya juga. Dia tidak akan biarkan Khairunnisa’ lepas ke tangan sesiapa lagi. ALLAH sudah bukakan peluang untuk dia memiliki Khairunnisa’ dan dia tidak akan sia-siakan peluang itu. Hatinya kembali berbunga-bunga melihat Khairunnisa’ keluar sambil menatang dulang berisi minuman.

“Macam ni ajelah, Uwais. Saya serahkan hal ni pada Nisa. Saya takkan paksa kalau dia tak nak dan saya takkan halang kalau dia setuju. Kamu tanyalah dia sendiri. Saya dan Mak Mah ikut aje.”

Imam Khaleed memandang wajah anaknya. Khairunnisa’ terkaku di situ. Dia tahu abi masih terkilan dengan Nazril.

“Abi, izinkan Nisa barcakap dengan Uwais sekejap. Nisa perlu bincang perkara ni dari hati ke hati dengan Uwais.”

Khairunnisa’ meminta izin sambil melirik ke arah Uwais yang sedang merenungnya. Cepat sahaja renungan itu menembusi hatinya yang paling dalam. Imam Khaleed berfikir sejenak sebelum mengangguk perlahan. Biarlah Khairunnisa’ menilai hatinya sendiri. Dia berhak mencari bahagianya sendiri.

Khairunnisa’ dan Uwais duduk di atas pangkin. Tapi, dalam jarak yang agak jauh. Masing-masing tahu batasan yang telah digariskan oleh syarak.

“Apa yang awak nak bincangkan dengan saya, Nisa?”

Tanya Uwais memecahkan kebisuan antara mereka.

“Uwais, maafkan saya sebab saya diamkan perkahwinan saya dari pengetahuan awak. Saya tak tahu macam mana saya nak beritahu awak. Saya takut awak akan…”

“Saya tak pernah salahkan sesiapa, Nisa. Lebih-lebih lagi awak. Awak tak salah. Apa yang berlaku pasti ada hikmahnya. Saya kenal awak Nisa. Saya tahu awak takkan tipu saya. Mesti awak ada sebab kenapa awak sembunyikan pernikahan awak. Dan saya takkan tanya kenapa sebab saya yakin awak buat semua tu untuk kebaikan saya.”

Uwais mencelah.

Dia dapat tahu dari ibunya yang kisah perceraian Khairunnisa’ menjadi buah mulut penduduk kampung. Macam-macam tuduhan yang dilemparkan pada gadis itu. Sehingga ada yang menuduh Khairunnisa’ bukan gadis yang suci sebab itu diceraikan dalam masa dua bulan sahaja. NAUZUBILLAH! Sungguh pedih hati Uwais mendengar cerita ibunya.

Khairunnisa’ adalah gadis yang tahu menjaga maruah. Tentu ada sebab lain kenapa dia diceraikan. Dia mahu menutup mulut orang-orang kampung. Jika bekas suami Khairunnisa’ tidak sudi… Maka, sepuluh kali dia sudi menerima gadis itu sebagai isterinya.

“Uwais, awak lelaki yang baik dan saya tahu awak ikhlas. Tapi, saya rasa bersalah sangat pada awak. Dan saya tak mahu keputusan saya nanti dipengaruhi oleh rasa bersalah tu. Saya dah pernah tipu awak sekali. Takkan awak masih nak saya jadi isteri awak?”

“Nisa, saya cintakan awak. Dan perasaan tu tak pernah padam. Saya rasa itu sudah cukup untuk berikan jawapan pada soalan awak tu.”

Khairunnisa’ membisu mendengar jawapan daripada Uwais. Sememangnya, Uwais adalah lelaki pertama yang pernah bertakhta di hatinya. Siapa yang tidak terpikat dengan Uwais? Pemuda yang tinggi ilmu agamanya. Budi bahasanya sentiasa menjadi bualan orang kampung. Lebih-lebih lagi Uwais bakal menggenggam Ijazah Sarjana Muda Pengajian Al-Quran Dan Hadith.

“Saya gembira dengan pinangan ni tapi, saya tak layak untuk awak, Uwais. Kalau dulu mungkin saya akan setuju tanpa berfikir pun sebab saya memang cintakan awak. Tapi, sekarang keadaan dah berbeza. Saya janda, Uwais! Saya rasa awak tahu tentang apa yang orang kampung ni cakap pasal saya kan? Jadi, saya tak nak awak pun terkena tempiasnya nanti. Saya tak mahu nama baik awak tercemar kerana saya.”

Khairunnisa’ mengesat air mata yang menitis di pipinya. Sukar untuk dia gambarkan perasaannya saat itu. Dia benar-benar tersepit. Sebelah hatinya gembira dengan hasrat Uwais tapi, sebelah hatinya lagi masih ada pada Nazril. Walau cuma dua bulan dia menjadi isteri Nazril tapi, sudah cukup untuk dia memupuk rasa cinta pada lelaki itu. SUBHANALLAH! Apa yang perlu dia lakukan?

“Itu semua cakap orang yang tak pernah tahu tentang awak Nisa. Saya tak kisah tentang status awak. Saya tahu awak cuma ikut kehendak umi dan abi awak kan? Tapi, jodoh itu milik ALLAH. Sudah tertulis begitu dalam takdir awak. Saya tak akan pertikaikan apa-apa pun, Nisa. Yang penting awak tahu yang saya ikhlas cintakan awak dari dulu hingga sekarang.”

Balas Uwais lagi. Sorotan matanya jelas menggambarkan keikhlasan yang dizahirkan dengan kata-katanya tadi.

“Tapi saya…..”

Bicara Khairunnisa’ terhenti apabila sebuah kereta Audi RS 5 berwarna putih memasuki perkarangan rumah. Khairunnisa’ kenal kereta itu. Itu kereta Nazril! Spontan gadis itu bangun dari pangkin itu. Belum sempat dia membuka mulut, kelihatan Nazril turun dari kereta dan terus meluru ke arahnya.

“Nisa…. Maafkan saya! Maafkan saya! Saya nak awak balik Nisa! Saya perlukan awak…”

Luah Nazril tanpa mempedulikan keadaan sekeliling. Dia cuma mahukan Khairunnisa’. Fikirannya sudah tidak boleh tentang perkara lain selain… Khairunnisa’.

“Abang…”

Khairunnisa’ hampir tidak mengenali lelaki itu. Nazril yang sedang berdiri di hadapannya tidak seperti Nazril dulu. Yang kemas, kacak, dan memikat. Kenapa dia boleh jadi macam ni? Hati Khairunnisa’ tertanya-tanya.

“Nisa, saya nak awak jadi isteri saya. Tolong berikan peluang kedua pada saya. Saya perlukan awak. Saya cintakan awak, Nisa!”

Nazril merayu lagi sambil menangis tersedu-sedu. Khairunnisa’ tergamam. Perlahan-lahan dia menoleh ke arah Uwais. Lelaki itu kelihatan tercengang dengan kedatangan Nazril. Uwais sudah boleh mengangak bahawa itulah bekas suami Khairunnisa’. Jujur… Dia rasa terancam dengan kehadiran lelaki itu tapi, dia cuba mengawal emosinya sebaik mungkin.

“Abang, kenapa abang jadi macam ni?”

“Sebab saya rindukan awak!”

Jawab Nazril tanpa teragak-agak. Itu adalah hakikat yang perlu dia akui. Dia mahu Khairunnisa’ tahu yang dia benar-benar menyesal dengan tindakannya dulu.

Khairunnisa’ tidak tahu apa yang harus dia katakan. Jiwanya tersentuh dengan luahan jujur Nazril. Tapi, bagaimana dia harus berdepan dengan Uwais. Baru sebentar tadi Uwais meluahkan hasrat untuk memperisterikannya. ALLAHU AKBAR! Khairunnisa’ benar-benar keliru.

“Nisa, saya masuk dulu… Awak bincanglah dulu dengan…”

“Nazril…”

Khairunnisa’ menyebut nama itu dan Uwais cuma mengangguk. Terus dia tinggalkan Khairunnisa’ dan Nazril di situ. Uwais perasan… Wajah Khairunnisa’ berseri-seri saat memandang Nazril. Dia juga tahu itu adalah pandangan yang sarat dengan cinta. Uwais tersenyum pendek. ALLAH maha Mengetahui setiap sesuatu! Apa sahaja keputusan Khairunnisa’, dia akan terima dengan hati yang terbuka.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience