BAB 9

Romance Completed 809

Akhirnya hari yang ditunggu oleh Nurani telah tiba. Hari Rabu. Hari
aktiviti kokurikulum pelajar. Dan setelah menjaringkan beberapa jaringan
bola jaring, Nurani melihat jam di tangannya sudah pukul 4 petang.
Hatinya mula resah. Cikgu Dania masih tidak mahu memberhentikan permainan
bagi memberi peluang kepada pemain untuk rehat. Dia mula hilang tumpuan
apabila mengingatkan yang Cikgu Uthman mungkin sudah menunggunya dengan kecewa.

“Tumpukan perhatian!” sergah Cikgu Dania padanya apabila sebiji bola
melantun ke kepalanya di sambut dengan ketawa rakan sepasukannya.

“Nampaknya fikiran Miss Nurani kita ni sudah melayang ke tempat lain.
Take five, everybody.Kita rehat sekarang,” kata Cikgu Dania lagi.

Setelah mendengar kata-kata Cikgu Dania itu, tanpa berlengah lagi, Nurani
segera meninggalkan rakannya yang mula berehat dan menuju ke arah pohon
rhu tempat dia dan Cikgu Uthman berjanji untuk berjumpa. Apabila melalui
padang hijau dan melepasi beberapa orang pemain hoki yang juga sedang
berehat, Nurani memandang ke arah bangunan tempat latihan band sekolah
mereka. Pelik, tidak ada bunyi muzik hari ini. Tidak berlatihkah mereka
hari ini, fikirnya.

Setelah sampai di tempat yang dituju. Matanya melilau mencari kelibat
Cikgu Uthman tetapi tidak kelihatan. Hanya pohon rhu yang menjadi
penunggu setia di situ. Dia menarik nafas panjang dan dengan satu
keluhan berat, terpaksa menerima hakikat yang Cikgu Uthman tidak sudi
berjumpanya. Mungkin itu sebabnya Cikgu Dania keberatan memberi peluang
padanya untuk rehat. Siapa tahu. Mungkin ini semua hanyalah rancangan
Cikgu Uthman dan Cikgu Dania . Mungkin mereka berdua sedang
mengetawakannya sekarang ini.

Tanpa membuang masa, dia mengambil keputusan untuk beredar dari situ.
Tiba-tiba dari belakang sebuah pohon rhu yang agak besar terpacul
seorang kelibat yang sangat dikenalinya.

“Haikal? Apa yang kamu buat di sini?” Nurani seolah tidak percaya dengan
apa yang dilihatnya. Bagaimana Haikal boleh berada di sini? Adakah
Haikal juga bersekongkol mahu mengenakannya? Namun dari reaksi Haikal,
nyata dia juga tidak faham dengan apa yang berlaku.

“Nurani ? Err… saya sebenarnya sedang menunggu Cikgu Uthman .”

Tersentak Nurani apabila mendengar kata-kata Haikal itu. Dia yang
sebenarnya menunggu Cikgu Uthman , bukannya Haikal. Sepatunya dia yang
berkata sedemikian.

“Sebenarnya saya yang…” dia membatalkan niatnya untuk meneruskan
kata-kata sebaliknya bertanya, “Jadi, apa urusan kamu dengan Cikgu Uthman ?”

Haikal kelihatan ragu-ragu untuk berceDania namun setelah didesak Nurani
akhirnya dia membuka mulut.

“Sebenarnya saya menunggu kamu…”

“Saya? Kenapa?”

“Kerana ini,” jawab Haikal sambil menghulurkan buku yang cukup dikenali
oleh Nurani . Buku ‘Bagaikan Maharani’ karya Ramlah Awang Marshad yang
ingin sekali dibacanya.

“Cikgu Uthman menyarankan saya membacanya dan meminjamkan saya bukunya.
Setelah selesai dan memulangkan padanya, dia beri saya semula buku ini
tetapi kali ini katanya supaya saya memberikan pada kamu pula kerana
kamu ingin sekali membaca buku ini.”

Benar, dia ingin sekali membaca buku itu. Tetapi dia memang bercadang
untuk membeli buku itu sendiri. Kenapa Cikgu Uthman bersusah payah
meminjamkannya bukunya? Namun apabila dilihatnya tangan Haikal yang
masih lagi menghulurkan buku itu, dia segera menyambut buku itu.

“Terima kasih,” katanya pendek pada Haikal sebelum membelek buku itu
secara rambang.

Ketika itulah sehelai kertas yang berlipat rapi terjatuh dari halaman
buku tersebut. Nurani segera mengutip kertas itu dan dahinya berkerut
apabila membaca surat itu yang ditujukan padanya. Dia memandang surat
itu dan wajah Haikal bersilih ganti namun Haikal tidak menunjukkan riak
muka yang mencurigakan. Malah wajahnya masih kelihatan merah kerana
malu-malu.

“Kamu tidak tahu tentang surat ini?” tanya Nurani .

“Sudah tentu saya tidak tahu.” jawab Haikal.

Setelah yakin dengan jawapan Haikal, Nurani segera membaca isi kandungan
surat itu.

Nurani ,

Maafkan saya kerana tidak dapat berjumpa kamu di sini lagi. Tidak elok
untuk seorang guru seperti saya kelihatan berdua bersama anak murid
perempuannya. Namun, tentu kamu masih ingat kata-kata saya yang kita
tetap berkawan.

Nurani , sebagaimana Cikgu Dania mengetahui kamu menyukai saya, saya juga
mengetahui Haikal menyukai kamu. Saya selalu melihat dia memerhatikan
kamu ketika berlatih muzik pada waktu petang. Walaupun dia seorang yang
pendiam, dia adalah seorang pemain gitar yang berbakat. Jadi saya harap
kamu dan dia dapat berkawan. Ingat, cinta monyet tidak menjanjikan
apa-apa tetapi persahabatan sejati menjanjikan seribu satu pengalaman
berharga.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience