BAB 10

Romance Completed 809

Nurani seolah tidak percaya dengan apa yang dibacanya. Jadi Haikallah
pemain gitar band sekolah mereka selama ini dan dialah yang tujukan
lagi ‘Sungai Lui’ untuknya. Malah lebih mengejutkannya lagi, Haikal
mempunyai perasaan terhadapnya.

“Jadi kamu benar-benar tidak tahu tentang surat ini?” tanya Nurani
lagi setelah dilipatnya surat itu baik-baik dan dimasukkan kedalam kocek
bajunya. Dia cuba berlagak senormal yang mungkin.

Haikal menggeleng-gelengkan kepalanya, kemudian bertanya, “Apa yang
ditulis dalam surat itu? Siapa yang menulisnya?”

Nurani menarik nafas lega, kemudian berkata, “Tidak ada apa-apa. Hanya
surat daripada Cikgu Uthman menyuruh saya menjaga buku ini baik-baik.”

“Oh, saya ingatkan surat cinta daripada Cikgu Uthman tadi.”

Nurani menjegilkan matanya pada Haikal. “Apa kamu kata?”

Haikal tersengih menampakkan barisan giginya yang tersusun rapat.
Nampaknya dia sudah mula dapat membiasakan diri.

“Jadi, kamu sudah membaca buku ini. Apa pendapat kamu?” tanya Nurani .

“Saya sebenarnya lebih menyukai buku berbentuk biografi. Jadi agak pelik
juga apabila saya susah untuk melepaskan buku ini apabila mula
membacanya. Fast paced, orang kata.”

“Benarkah?” soal Nurani seperti tidak percaya.

“Benar,” jawab Haikal sambil tersenyum. “Jadi saya habiskan membacanya
pada waktu rehat pagi tadi. Lagipun saya bukannya suka berbual-bual
kosong pada waktu rehat.”

“Tetapi sekarang ini saya lihat kamu agak ramah juga,” duga Nurani .

Haikal kelihatan serba-salah semula.

“Entahlah. Saya juga tidak tahu. Mungkin kerana saya rasa selesa
mengenali kamu. Mungkin juga kerana kita dipertemukan dengan cara sama
iaitu melalui Cikgu Uthman ,” jawab Haikal.

“Nampaknya Cikgu Uthman telah mengenakan kita,” kata Nurani .

Mereka tersengih sesama sendiri apabila mengenangkan Cikgu Uthman dan
menyambung perkenalan mereka. Nurani nampaknya cukup gembira mengenali
Haikal yang pada pandangannya tidaklah terlalu pendiam apabila sudah
cukup dikenali. Perbualan mereka mula berlanjutan dan Nurani sendiri
tidak menyangka yang kesedihannya terhadap sikap Cikgu Dania tempohari
sebenarnya mempunyai rahmat yang tersembunyi. Sekarang dia mengenali
seorang rakan yang cukup baik sekali dan mempunyai banyak persamaan
dengan dirinya.

Jadi, mahukah kamu jika saya menceritakannya kesudahan novel ‘Bagaikan
Maharani’ ini? tanya Haikal cuba berjenaka.

“Jangan!” kata Nurani sambil menutup telingannya dan ketawa mereka berdua
mula berderai seiring dengan hiruk pikuk pelajar yang mula menyambung
latihan sukan mereka.

Angin yang berhembus pada petang itu sangat mendamaikan walaupun cuaca
bulan Mei agak panas pada tahun ini dan pada petang itu juga, pepohon
rhu di situ telah menjadi saksi terjalinnya persahabatan antara dua
insan yang saling tidak mengenali antara satu sama lain sebelum ini.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience