BAB 3

Drama Completed 346

“Alahai abang ni. Mereka yang cakap tu tak tahu, bang. Kalau Nana mati, Nana masuk syurga. Anak mati, anak masuk syurga juga. Dua-dua mati, dua-dua masuk syurga.”

Saleem memandang wajah isteri tercinta dengan rasa sayu. Raihana masih asyik dengan telefon pintarnya sambil bersandar di birai katil. Katanya, dia sedang membaca maklumat penting dalam group fac tentang kelahiran alami.

“Tapi, abang sayang Nana dan anak kita ni.”

Saleem mengusap perut isterinya dengan penuh kasih sayang. Sudah enam bulan usia kandungan. Sesekali terasa tendangan kecil si bayi di permukaan. Saleem sangat gembira dan teruja. Inilah kali pertama mereka berdua akan bergelar ayah dan ibu setelah empat tahun mereka berkahwin.

“Abang, semua orang pun akan mati. Mati itu pasti. Nana harap, kalau Nana mati, biarlah mati syahid ketika berjihad. Jihad Nana melahirkan anak tu, kalau mati dapat pahala mati syahid, bang.”

Jawapan Nana sangat menggusarkan hati kecilnya.

“Kalau Nana mati, kasihanlah anak kita tiada ibu.”

“Apa yang nak dikasihankan, bang? Abang ceritalah yang ibunya mati syahid masa jihad melahirkannya. Patut berbangga. Lagipun nenek dia ada, atuk dia ada, masih ramai yang ada.”

“Kalau anak kita yang mati? Sedihlah, dah empat tahun kita berusaha nak dapat anak.”

“Kita kena sabar, bang. Kalau anak kita mati, pasti dia akan tunggu kita di syurga.”

Saleem memandang Nana tanpa berkelip.

“Kalau dua-dua mati?”

“Abang kahwinlah lain. Cari yang lebih baik daripada Nana.”

Saleem terkesima. Matanya bergenang. Segera dia bangkit daripada katil menuju ke tandas di dalam bilik. Remuk hatinya mendengar jawapan bersahaja isterinya.

Ah, hanya semudah itukah?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience