BAB 6

Family Completed 9821

Selesai Iskandar makan, Sarah mengemas apa-apa yang patut kemudian masuk ke dalam bilik.

Sarah membuka diari yang mencatat sejarah tentang dirinya. Peristiwa pertama kali ke sekolah, peristiwa mula berkenalan dengan rakan-rakan seperjuangan, peristiwa jatuh cinta dan kemudian dilukai dan bermacam-macam lagilah.

Semuanya ada dalam diari tersebut. Diselak ke helaian yang sudah ditanda. Terselit sekeping gambar si dia. Diusap gambar tersebut. Diambil pen yang tergantung elok di diari itu.

Laju tangannya mencatit peristiwa diri yang sudah lama ditinggalkan.

-----
‘Diari,

Aku rasa gembira sangat hari ini. Dia makan makanan masakanku. Dia tersenyum memandang aku. Wajah yang selama ini kurindui, telah ada kembali bersinar di wajahnya.

Ahh…betapa aku rindukan wajahnya itu, diari. Tapi aku tahu. Status kami membataskan hubungan yang terjalin. Aku tidak boleh menyintainya. Tetapi aku hanya boleh menyayanginya. Kenapalah kau dipertemukan dahulu dengan dia? Bukan aku.

Mungkin tiada jodoh antara kami yang membuatkan aku hanya boleh menjadi seseorang yang terlarang dalam hubungan ini. Aku tak bisa digelar perampas. Aku tak sanggup yang lain-lain mencemuh aku kerana merampas hak seseorang yang aku sayangi.

Mungkin ini adalah takdir kita. Sayang sekali kita tidak ditakdirkan bercinta. Pasti aku akan menyintaimu lebih dari si dia menyintai atau menyayangimu. Pasti aku akan menjaga dan membelaimu sepanjang hayatku. Pasti aku akan menunaikan segala permintaanmu, sayang.

Mungkin aku tidaklah sempurna, tetapi hatiku memiliki mu sepanjang umurku. Mungkin aku tak bisa memiliki, dirimu seumur hidupku….’
-----

Coretan ringkas dalam diari Sarah yang begitu bermakna dan mendalam maksudnya. Dia menutup diari tersebut dan memeluk sekuat hatinya. Kemudian, Sarah menyimpan diari tersebut di bawah bantal tidurnya. Sarah membaringkan diri. Mendongak memandang kipas yang berputar laju. Entah bila masa matanya semakin mengecil. Dan akhirnya, terlelap.

Iskandar masuk ke dalam kamar tidurnya dan membaringkan diri di atas katil. Tersenyum kecil sahaja. Tidak disangka ajakan Iskandar secara main-main sebentar tadi, dituruti oleh Sarah. Tersenyum teringatkan kelakuan Sarah yang kekok tadi. Malam itu, Iskandar tidur bertemankan senyuman yang tidak pernah lekang dari bibirnya.

Seawal jam 6 pagi, Iskandar sudah bangun. Melihat disebelah sang isteri sedang lena dalam tidurnya. Entah bila Suri pulang, tidak pula Iskandar sedar. Dia bangun dan menuju ke bilik mandi untuk membersihkan diri dan bersolat Subuh. Selepas lengkap berpakaian, Iskandar turun ke bawah. Dia lihat Sarah sibuk menyediakan sarapan. Iskandar melihat jam di tangan. Baru pukul 7. Dia melabuhkan punggung di kerusi meja makan.

“Assalamualaikum.” salam diberi oleh Iskandar.

“Waalaikumussalam.” jawab Sarah perlahan. Tersenyum memandang abang iparnya itu. Wajah Sarah memerah. Sarah menyenduk bihun goreng ke dalam pinggan Iskandar.

“Sarah tak makan sekali?” Iskandar bertanya.

“Abang makanlah. Kejap lagi Sarah makan.” ujar Sarah.

“Nanti lambat pulak Sarah nak ke office. Makan sekalilah.” pelawa Iskandar. Pelawaan itu tidak pula ditolak. Takut nanti dikatakan tidak sudi pula. Dia turut melabuhkan punggung. Disenduk bihun goreng ke dalam pinggannya. Suri yang baru sahaja melangkah ke tingkat bawah menjenguk ke dapur apabila terdengar suara orang berbual. Sarah yang tersedar akan kehadiran Suri, segera bertanya.

“Kak Suri nak makan?” tanya Sarah.

“Hmm…tak payahlah. Kak Suri dah janji dengan kawan. Sarah makanlah. Have fun.” terus sahaja Suri berlalu ke arah rak kasut. Sarah terasa seperti disindir. Tidak sukakah Kak Suri melihat kemesraan aku dan Abang Is? Memang dia tidak suka. Bukankah Abang Is itu suaminya, getus hati Sarah. Selesai makan sarapan, Sarah bersiap untuk ke tempat kerja. Sarah melintasi ruang tamu untuk ke pintu utama. Dilihatnya Iskandar sedang duduk sambil membaca surat khabar. Tidak kerjakah? Tetapi Iskandar lengkap berpakaian. Malas hendak mengambil tahu. Sarah mengambil kasut dari rak. Setelah menyarung kasutnya, dia berkira-kira hendak beredar.

“Jom Abang hantar Sarah.” pelawa Iskandar. Sarah jadi segan.

“Ehh…tak apalah, Bang. Sarah boleh naik teksi.” ujar Sarah menolak pelawaan itu.

“It’s okay. Lagipun, office Abang satu jalan je dengan office Sarah kan.” kata Iskandar. Sarah tidak tahu hendak berkata apa lagi. Dia membuntuti Iskandar sehingga ke kereta. Sepanjang perjalanan alunan radio mengisi ruangan hening mereka.

“Sarah dah berapa lama kerja kat sini?” tanya Iskandar sekadar untuk memecahkan keheningan.

“Erm…dah 2 tahun lebih.”

“Ohh…lama jugaklah.” Iskandar berkata. Sarah sekadar mengangguk.

“Sarah tak teringin nak sambung belajar balik ke?”

“Ada jugak perasaan tu. Tapi, Sarah fikirkan Ibu. Kesian Ibu kat kampung seorang diri. Kak Suri pulak ada kat K.L. Dah berkeluarga. Atleast, Sarah selalu jugak balik kampung jenguk Ibu.” jelas Sarah panjang lebar. Iskandar mengangguk. Tanpa mereka sedar, kereta Iskandar sudah sampai dihadapan pejabat Sarah. Selepas mengucapkan terima kasih, kereta Iskandar menderum pergi.

“Wahh…siapa lelaki tu?” tanya Zera. Iqa di sebelah sibuk bercakap telefon.

“Itu Abang Is lah.” jawab Sarah ringkas.

“Ohh…husband Kak Suri?” Zera bertanya lagi. Sarah mengangguk perlahan.

“Handsome.” Iqa pula berkata spontan. Mereka sama-sama tergelak.

“Dia inikah….” ayat Zera tergantung. Sarah memandang Zera sambil mengerutkan dahi.

“Apa dia?” Sarah bertanya.

“Yang kau…” ayat Zera tergantung lagi. Sarah tersenyum penuh makna. Mereka berjalan beriringan masuk ke dalam pejabat.

Bos Sarah yang terbaru, baru sahaja dikenalkan kepada pekerja-pekerja yang lain. Hanya Sarah sahaja tidak sempat diperkenalkan. Kerana Sarah ada urusan di luar. Keesokkannya setelah Sarah masuk ke pejabat, Sarah dipanggil masuk ke bilik bos.

“Yes, boss.” Sarah berkata. Apa pula kesalahannya kali ini? Sedangkan setahu dia, tidak ada kesalahan yang dilakukan setakat dia bekerja selama 2 tahun di syarikat tersebut.

“Tolong taipkan surat-surat ni balik.” arahan daripada bos barunya. Sarah terkejut dan memandang wajah bos tersebut tanpa berkelip. Bos itu merenung wajah Sarah kembali.

“Ada apa, Cik Sarah?” tanya bosnya.

“Tapi bos, ini bukan kerja saya. Ini kerja Suzana, secretary bos.” kata Sarah perlahan. Ada getar marah dalam nada suaranya.

“Saya peduli apa ini kerja siapapun. Yang penting, saya nak AWAK yang siapkan.” tekan bosnya. Sarah mendengus marah. Segera dicapai fail-fail tersebut dan keluar dari bilik pejabat bos baru itu. Dihempaskan fail-fail ke atas meja. Terkejut Iqa yang berada di meja sebelah. Menjenguk ke rakan yang sedang amuk itu.

“Kenapa dengan kau ni, Sarah?” Iqa bertanya sambil menghisap lolipop. Perangai Iqa yang satu ini dari dulu tidak pernah berubah.

“Ada ke patut kerja Suzana suruh aku yang buat. Gila ke hape orang tua tu.” bentak Sarah marah. Tidak pernah Iqa lihat Sarah sepanas baran itu.

“Dia suruh kau buat apa?” tanya Iqa lagi.

“Dia suruh aku taip surat-surat apa kejadah ni.” ditolak fail tersebut dengan kasar. Bos baru yang ternampak perbuatan Sarah itu, menuju ke arah gadis itu.

“Cik Sarah…ada apa-apa yang Cik Sarah tak puas hati, boleh terus je datang jumpa saya. Tak perlulah nak amuk kat sini.” sindir bos baru itu. Sarah menundukkan wajah. Tapi masih tidak puas hati.

“Memang dah agak dah. Perempuan ni belakang je baru berani. Bila dah berdepan, takut jugak.” bos baru itu masih dengan sindirannya. Iqa duduk semula di tempatnya. Kejap lagi, meletuplah perang. Sarah mendongak memandang bos itu. Dia berdiri tegak.

“Kerja saya dekat sini bukan untuk taip surat. Kerja-kerja filing macam ni, secretary bos yang sepatutnya buat. Kalau saya yang kena buat, apa guna jawatan saya sebagai Account Exec kat sini. Kerja saya buat gaji and tengok company cash flow. Bukan buat kerja yang sepatutnya secretary kena buat.” bidas Sarah berani. Bos baru itu memandangnya dengan satu pandangan yang amat jelek. Terdengar seseorang berdehem. Mereka sama-sama memandang. Pengarah Urusan! Apa yang dibuat disitu? Nampakkah dia akan pergaduhan mulut sebentar tadi? Sarah segera menundukkan wajah.

“Apa yang kecoh-kecoh kat sini ni?” tanya Pengarah Urusan syarikat yang Sarah kerja itu.

“Dia nilah, Pa. Haikarl suruh dia buat kerja, merungut pulak. Banyak songeh.” ujar lelaki yang memanggil dirinya Haikarl itu.

“Kenapa, Cik Sarah?” bos besar bertanya pula pada Sarah. Sarah mengangkat wajahnya perlahan.

“Maafkan saya, Tuan Syed. Sebenarnya bos berikan saya kerja yang tak sepatutnya saya buat. Seperti taip surat and filing. Ini bukan kerja saya Tuan. Ini kerja Suzana. Secretary bos. Kerja saya hanyalah siapkan paycheck and observe company cash flow.” terang Sarah lembut. Bos besar yang dikenali sebagai Tuan Syed mengangguk.

“Karl, kenapa bagi kerja yang tak sepatutnya pada Sarah?” Tuan Syed beralih kepada Haikarl.

“Ala…perempuan ni, Pa. Kecoh je lebih. Dah tahu bukan kerja dia, bagi jelah kat Suzana.” Haikarl membela diri yang sedang bersalah. Sarah memandangnya jengkel.

“Sudah!!! Papa tak nak kamu kecoh-kecoh kat sini. Pergi buat kerja kamu. Maafkan Haikarl ya, Sarah.” ucap Tuan Syed. Meminta maaf bagi pihak Haikarl.

“Tak apa, Tuan.” ujar Sarah. Tuan Syed beredar dari situ. Sarah duduk semula di tempatnya. Haikarl masuk menonong ke dalam biliknya semula. Geram tidak dapat mengenakan Sarah. Sudahlah di hari pertama Haikarl masuk, Sarah tiada di pejabat. Bila berjumpa hari kedua, Sarah langsung tidak menegurnya selamat pagi. Seolah-olah Sarah tidak menghormati Haikarl sebagai bos baru di pejabat itu. Di dalam bilik, Haikarl menggenggam penumbuk. Nantilah kau Sarah. Pasti aku akan kenakan kau, omong Haikarl sendirian.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience