Terasa sisa-sisa Pavlova yang sengaja dibiarkan masih terselit di celah gigi. Aku ketawa sendirian, pengotor sungguh.
Strawberi, kiwi dan anggur hitam dah timbang dan dimasukkan ke dalam bakul. Aku memeriksa uncle Google di telefonku semula untuk memastikan senarai barang yang diperlukan supaya tidak ada yang tertinggal.
“Telur, mana pula tempat letak telur ni?”
Nampak sangat jarang beli barang dapur. Aku bertanya kepada cik adik manis yang bertugas di bahagian pakaian. Dengan sopan, dia membawa aku ke bahagian telur-telur.
Aduh, kenapa telur ni ada gred-gred pula. Tetapi jika diteliti, memang ada perbezaan dari segi saiz. Saiz A memang besar.
Aku cuba mencari saiz Z, tidak pula ketemuan. Mungkin tidak wujud. Malu pula jika hendak bertanya lagi dengan petugas tersebut kerana dalam senarai barang-barang tersebut, sudah terang lagi bersuluh, telur gred A sahaja yang diperlukan.
Tanpa banyak cerita aku memasukkan satu bungkusan 10 biji telur gred A ke dalam bakul. Barang-barang yang lain seperti tepung jagung dan gula kastor sudah ada di rumah kerana mamaku rajin membuat kuih-kuih tradisional untuk kudapan waktu petang kami sekeluarga.
Aku terus pergi membayar dan pulang segera ke rumah. Murah sangat kos barang-barang tersebut jika hendak dibandingkan dengan harga kek yang sudah siap di restoran itu tadi.
Yelah, sewa restoran mahal agaknya. Aku menyedapkan hati.
Tiba waktu yang dinantikan. Tanpa sempat aku menyalin pakaian, aku terus ke dapur kerana tidak keruan rasanya selagi projek kek yang terbayang-bayang dalam benakku sejak memandu di lebuh raya tadi tidak dimulakan segera.
Selepas menyediakan segala peralatan dan bahan yang diperlukan. Langkah pertama ialah pecahkan telur. Walaupun baru peringkat awal, tekanan sudah mula dirasai.
Share this novel